Wednesday 22 December 2021

Banjir


lensa menangis
merakam nenek tua
menyapu air mata
keluar daripada teratak
yang ditenggelami banjir
engkau yang kebasahan
dilanda ombak jahil
memaki mentari
yang menurun hujan
sebagai balasan Tuhan
dalam senyum
nenek lap ranjang lumpur
sebagai teman beradu
agar mimpi malam ini
tetap indah seperti kelmarin
nukilan rasa
sang belantara rimba

Pengalaman bermalam di Pulau Songsong Yan



 Assalamualaikum semua,

Pada hari Sabtu dan Ahad baru-baru ni saya, Omar, Aimi,Faril,Faisal,Mat,Pakdi,Zack telah melakukan tinjauan awal untuk aktiviti kelab Ktechno membawa staf yang berminat ke Pulau Songsong.Berikut adalah hasil daripada tinjauan tersebut.

1- Tandas – kemudahan tandas ada disediakan disebelah surau.Tetapi tiada air yang disediakan.Pengunjung perlu mencedok air telaga dan dimasukkan ke dalam bekas untuk membasuh.Oleh kerana itu keadaan tandas agak mengerikan bagi tandas lelaki dengan sisa buangan tidak diflush dan ada tandas yang tersumbat.Bagi tandas perempuan kebersihan agak ok tapi bau amat tidak menyenangkan.Pintu luar tandas lelaki dan perempuan telah tiada dan pintu tandas bahagian dalam ada yang terkopak atau tidak dapat ditutup dengan sempurna.Dalam kes tandas ini kami hanya menggunakan tandas semulajadi untuk urusan air kecil dan air besar.

2- Kemudahan surau - ada disediakan lengkap dengan telekung dan sejadah.Tapi wuduk perlu ambil di telaga kerana tiada air disurau.

3- Telaga – Ada 2 buah telaga disini yang lengkap dengan timba.Sebuah telaga ada 2 timba.Kualiti air amat memuaskan dan rasa payau jugak kurang.Amat sesuai digunakan untuk ambil wuduk,mandi dan memasak.

4- Elektrik – Tiada kemudahan elektrik di sini.Hanya ada lampu solar yang akan bernyala sewaktu malam untuk menerangi beberapa kawasan sekitar pulau ini

5- Gangguan mistik – Ada rakan yang menceritakan disini ada gangguan mistik ditambah pulak di pulau ini mempunyai 3 kubur penduduk asal pulau ini yang telah lama meninggal.Walau bagaimanapun sepanjang kami berada di sini tiada kejadian aneh yang berlaku.

6- Suasana malam – Sewaktu malam nyamuk agak banyak dan angina juga bertiup dengan agak laju sewaktu perubahan pasang surut air.

Selain itu berikut adalah beberapa kelebihan pulau ini.

1- Pantai yang landai dan pasir yang putih.Mempunyai karang,gamat,rumpai laut,ikan yang cantik dan sesuai untuk aktiviti snorkeling.Aktiviti memancing juga boleh dibuat.

2- Mempunyai gazebo sebagai tempat untuk berehat atau boleh digunakan sebagai tempat tidur

3- Tempat yang sesuai jika hendak berkelah atau balik hari kerana kami dapati banyak keluarga besar yang datang ke sini untuk berkelah.

wassalam

Friday 6 August 2021

Bangsa Tikus

Aku tujukan puisi ini untuk politikus negara.


Kasihan tikus,
Berlari kelaparan,
Bertungkus-lumus,
Mengejar habuan,

Mengikut jalan yang sama,
Dijerat perangkap di tengahnya,
Segala sampah dianggap harta,
Gonggong ke sarang untuk dikira,
Siang lena malam berjaga,
Mengigit semua merosak jiwa,

Ada umpan perisa bisa,
Perut merajai kepala,
Rakus mengunyah derita,
Sendawa bahagia,
Pedih berpijar perit terasa,
Menunggu masa ajal menjelma,

Mata layu dan sayu,
Anak kecil mati pilu,
Di sini sungguh malu,
Di sana kena palu...

Nukilan Rasa
Sang belantara rimba



Rimba cintaku


Ekspedisi rimba cintaku,
Membuat langkah menjadi kaku,
Tersadung akar rindu,
Terpenjara banir kalbu,
Sesat dalam shahdu,

Ku cuba temui denai ke hatimu,
Simpangnya berliku,
Riuh unggas mengutuk malu,
Kau kayu gaharu,
Aku penglipur sendu,

Aku mahu,
Lebah Ilahi memandu,
Ke arah semerbak harummu,
Menjadi kasturi pakaianku,
Kekal abadi kelak di situ...

Nukilan Rasa
Sang belantara rimba



Musibah


Wajah mega itu,
Terukir rona senja,
Rintik kabut salju membasahi,
Pipi lembah,gunung dan rimba,
Sepasang rembulan bersinar redup,
Menguntum duka melukis rindu...

Gerigis tembok lapar si anak,
Memamah ranting tabah si ibu,
Deruan ombak nafas pesakit,
Mencorak pantai resah perawat,
Penjara belantara rakyat,
Menjadi kicauan yang berhormat...

Awan mendung pasti kan berarak,
Sirna pelangi pasti kan muncul,
Gerimis luka pasti kan berhenti,
Kerana bilah cahaya harapan,
Akan kembali terhunus,
Mengisi ceria di lurah nestapa,
Berkat kitaran alam Yang Maha Esa...

Nukilan Rasa,
Sang belantara rimba