Thursday 30 April 2015

Kuih Sepit Perindu Tok Kiah

Assalamualaikum sahabat semua,


Pada kali ini saya ingin bercerita tentang satu lagi perniagaan yang baru sahaja saya dan isteri ceburi iaitu menjual kuih sepit.Ada juga yang panggil kuih ni sebagai kuih kapit.Kalau orang Kedah memang panggil kuih sepit pun.Tapi tak kesah la nak panggil namanya yang mana satu janji benda yang saya jual ni adalah benda yang sama.Kuih Kapit pun dia Kuih Sepit pun dia jugak.Kalau tak silap saya kuih ini adalah satu kuih yang hampir pupus kerana kesukaran untuk membuatnya.Antara kuih lain yang juga hampir pupus adalah karas dan kuih beras (yang pakai acuan kayu tu).

Kalau nak diikutkan sebenarnya tok saya iaitu sebelah isteri saya telah lama menjual kuih sepit ini sewaktu raya ataupun menerima tempahan semasa kenduri kahwin.Masa mula-mula dia jual dulu tok bungkus kuih ni dalam tong roti yang besi tu.Satu tong roti tu dulu dia jual dengan harga RM30 sahaja.Saya pun tak pasti boleh dapat berapa ratus keping.Rasanya 1000 keping boleh kot masuk dalam tong tu.Musim terus berlalu, zaman pun bertukar sehinggalah sekarang ni orang jual 50 keping dengan harga RM15 yang perisa asli.Lepas tu ada innovation yang orang Melayu buat dengan letak perisa lain seperti mentega kacang,coklat,strawberry dan sebagainya dengan harga 50 keping RM18.
Pada masa tu mak mertua dan isteri saya lah yang menolong tok membuat kuih sepit sewaktu raya atau setiap kali menerima tempahan.Tok yang tukang bancuh andunan, mak mertua tolong bakar kat dapur arang dan isteri yang tolong lipat sama ada jadikan bentuk gulung ataupun 3 segi.Jadi sebenarnya, membuat kuih sepit dikalangan keluarga belah isteri bukan lagi asing pada mereka.Isteri saya sendiri pun dulu tolong lipat kuih sepit ni sewaktu sekolah menengah lagi.

Selain daripada kuih sepit ni, keluarga belah isteri saya juga mahir dalam membuat kuih loyang sama ada perisa manis ataupun pedas.Kemudian, ada satu lagi yang cukup susah nak dapat sekarang ni iaitu halwa maskat.Ini pun satu lagi yang susah nak dapat kerana sukar nak membuatnya.Halwa ni mak sedara saya yang boleh membuatnya.Dia sendiri pun perlukan masa selama 5 tahun untuk memahirkan diri membuat halwa maskat ni supaya betul-betul ikut resepi maknya yang telah meninggal dunia.Bagi saya sendiri, saya tak suka makan halwa maskat kerana saya tak suka makan kuih yang terlalu manis.Tapi halwa maskat mak sedara saya berbeza.Rasanya tak la manis sangat tapi menjadi.Ada orang kata halwa ni kalau tak manis tak jadi.Oleh kerana halwa ni tak terlalu manis jadi memang saya pulun la makan halwa ni bila dia buat.Tapi untuk loyang dan halwa ni depa buat hanya untuk santapan keluarga sahaja buat masa sekarang.Masa ke depan mungkin boleh menerima tempahan.

Oleh kerana tok saya sekarang ni sudah pun tua dan dah tak larat lagi nak buat kuih ni, jadi mak mertua saya cuba untuk menghidupkan semula amalan tradisi mereka membuat kuih sepit sewaktu perayaan.Ditambah pula dengan minat isteri saya dalam bidang perniagaan, maka mereka telah bersetuju untuk menjual kuih sepit ini sewaktu perayaan dan dibuka tempahan sepanjang tahun untuk kenduri kahwin,hantaran, sebagai snek sewaktu tengok tv di rumah ataupun  melayan tetamu yang datang.Dengan harapan mak mertua saya supaya keluarga mereka dapat mengimbau kembali kenangan mereka bersama membuat kuih ini.Sebenarnya idea hendak menjual kuih sepit ni dah lama dibincangkan di kalangan mereka,cuma masalahnya mak mertua saya pada masa itu bekerja di kantin sekolah.Jadi memang tidak ada masa untuk membuatnya.Tapi sekarang dia hanya bekerja di tadika sahaja dan kerja yang dilakukannya tidak lah berat seperti di kantin.Jadi sekarang ni mak mertua saya memang mempunyai masa untuk memenuhi permintaan pelanggan yang tempah kuih sepitnya.

Saya baru sahaja mengiklankan bisnes kuih sepit ni di Facebook saya dan isteri dan alhamdulillah permintaan untuk kuih ini amat menggalakkan.Untuk minggu ni sahaja isteri dan mak mertua saya kena siapkan hampir 1000 keping kuih sepit ni.Nasiblah saya pun bercuti 4 hari bermula dari 1/5/15 hingga 4/5/15.Jadi bolehlah saya menolong sedikit sebanyak melipat kuih ni ka.Kurang-kurang cepat la sikit semua tempahan tu disiapkan.

Akhir kata, jika ada sapa-sapa yang membaca blog saya ini ingin membuat tempahan kuih sepit bolehlah terus melawat facebook page kami iaitu https://www.facebook.com/pages/IQsha-BabyHouse/1382167195363110?ref=hl.Kat bawah ni senarai harga yang kami jual.


Harga Kuih sepit perisa Asli 50pcs RM10
Harga Kuih sepit perisa Coklat 50pcs RM15
Harga Kuih sepit perisa Mentega Kacang 50pcs RM15
Harga Kuih sepit perisa Asli 100pcs RM20
Harga Kuih sepit perisa Coklat 100pcs RM25
Harga Kuih sepit perisa Mentega Kacang 100pcs RM25

Wassalam


Monday 20 April 2015

Bedak Sejuk Herba Madu Kelulut

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin mengiklankan produk sahabat saya Syaik Ambran iaitu Bedak Sejuk Herba Madu Kelulut.

Pada mulanya, Syaik datang ke kilang saya mengadu pasal permintaan untuk bedak sejuk keluarannya di luar kemampuan makcik-makcik di kampung untuk membuatnya.Makcik-makcik ni kebanyakkannya adalah ibu tunggal ataupun suri rumah sepenuh masa di Baling.Yela mana nak bancuh bedak sejuk dan kemudian nak kena titik satu-satu di atas talam sebelum dijemur.Kalau dapat order sampai 1 tan mana la nak larat titik bedak sejuk tu satu persatu.Jadi, hasil perbincangan saya dengan dia, maka saya telah membuat satu design mould bedak sejuk untuknya.1 mould boleh buat sebanyak 8836 biji bedak sejuk.Bayangkanlah dia perlu order 24 keping mould untuk menampung permintaan pelanggan di sekitar Kedah dan Penang sahaja.Kerja dia sekarang lebih senang.Bancuh bedak sejuk kemudian sapu sahaja pada mould lepas tu jemur sahaja.6 keping mould siap dalam masa 30 minit sahaja jika cuaca panas.Walau bagaimanapun, kita lupakan cerita saya dengan mould bedak sejuk ni dulu dan kita cerita pasal khasiat bedak sejuk herba madu kelulut ini.

Syaik Ambran telah memberi sedikit bedak sejuk herba madu kelulut ini kepada saya sebagai sample untuk saya sendiri cuba pakai dan rasai perbezaannya.Cara pakainya sama sahaja macam kita pakai bedak sejuk biasa cuma yang berbezanya bedak sejuk ini boleh dipakai di seluruh badan dan bukannya hanya pada kulit muka sahaja.Mulanya saya ambil sedikit bedak tu letak atas tangan, pastu saya bancuh sikit dengan air kemudian lumur kat muka.Mak ai...ada satu bau herba yang bagi saya agak kuat menusuk hidung saya.Tapi bau itu akan hilang selepas bedak sejuk ni kering kat muka.Kalau kita nak hilangkan bau herba tu kita boleh bancuh bedak sejuk ni dengan menggunakan air mawar.Masa kita lumur kat muka tu kita kena lumur macam menyental daki-daki kat muka kita.Bila bedak sejuk tu dah kering kemudian kita pun terus sahaja basuh muka kita untuk hilangkan putih bedak sejuk ni.Saya sendiri dapat rasai perbezaan kulit muka saya selepas membasuh bedak sejuk yang dah kering ni.Kulit saya rasa halus dan gebu.Lepas tu rasa macam licin sahaja.Saya pun pelik juga herba apa yang Syaik Ambran letak kat dalam bedak sejuk ni.Yang madu kelulut tu saya tau la.Bila tanya dia trus cakap rahsia..haha...terkena saya.Yela takkan la dia nak bagitau ramuan rahsia bedak sejuk madu kelulut keluaran dia ni pada saya pulak kan.Kang tak pasal-pasal saya jual rahsia bedak sejuk dia kepada D'Herb.Hehe

Antara Khasiat Bedak Sejuk Herba Madu Kelulut

1-Menaikkan Seri Wajah
2-Menghaluskan Kulit Wajah
3-Anti Penuaan
4-Anti Pengoksidaan
5-Menipis dan Menghilangkan Jeragat dan Jerawat pada Kulit Yang Berminyak, Kulit Kering dan Kusam




Menurut Syaik, bedak sejuk ini boleh dipakai seisi keluarga termasuk ibu,ayah,anak,tokwan dan toknek.Smua boleh pakai kerana bedak sejuk ini adalah produk penjagaan kulit wajah tak kira lelaki atau perempuan.Anak remaja adalah individu yang paling kerap menghadapi masalah jerawat dan jeragat ni.Cubalah bedak sejuk ini dan insyaallah dengan izin yang Maha Kuasa ianya mujarab.



Harganya bagi saya amatlah murah kalau nak dibandingkan dengan kesannya pada kulit wajah saya.Harganya cuma RM10.00 sahaja tak termasuk postage.

Jadi kalau ada kawan-kawan yang nak order boleh contact saya sama ada melalui email ataupun facebook.Saya hanya menolong kawan saya memasarkan produknya sahaja.Terima kasih

Wassalam.

Thursday 16 April 2015

Tips Untuk Membeli Hartanah

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tips untuk membeli hartanah sama ada rumah ataupun tanah. Kitar hidup manusia sudah lazimnya berkeinginan untuk memiliki rumah sebagai sebuah kediaman yang selesa untuk keluarga.Cuma jenis rumah yang dibeli itu bergantung kepada kemampuan pendapatan kita.Ada yang mampu beli rumah kos rendah, ada yang mampu beli rumah kos sederhana dan ada yang mampu membeli rumah banglo atau kondominium.Walau apa pun jenis hartanah yang kita mampu beli sebenarnya tidak mengapa kerana setiap hartanah ini berpotensi untuk melonjak harganya pada masa hadapan jika kita membeli mengikut tips yang akan diberikan nanti.

Lokasi

Lokasi adalah sesuatu yang paling penting dalam pemilihan untuk membeli sesebuah hartanah.Antara lokasi yang baik untuk kita membeli hartanah adalah

1-Berdekatan dengan tempat kerja
2-Berdekatan dengan kemudahan awam seperti pasaraya,balai polis,hospital,sekolah dan sebagainya
3-Tempat yang selamat daripada masalah sosial seperti jenayah,pusat hiburan dan penagihan dadah
4-Tempat yang selamat daripada bencana alam seperti banjir,tanah runtuh dan sebagainya

Ini adalah contoh lokasi untuk kita memiliki rumah kita sendiri.Kalau kita membeli rumah untuk tujuan disewakan pula kita perlu mengikut lokasi di bawah

1-Tempat yang menyediakan pekerjaan kepada ramai orang seperti berdekatan dengan kawasan perindustrian atau pusat bandar.
2-Tempat yang mempunyai pelajar seperti berdekatan universiti,politeknik,kolej swasta dan sebagainya
3-Mempunyai radius 1 jam perjalanan daripada kediaman kita kerana memerlukan kita sentiasa untuk melihat rumah sewa dan menunjukkan rumah kepada penyewa yang berminat.Bayangkan kalau saya berada di Kulim dan membeli rumah di Kuala Lumpur.Jika ada penyewa yang mahu menyewa, saya terpaksa turun ke Kuala Lumpur untuk menunjukkan rumah kepadanya.Ini adalah sesuatu yang amat membebankan saya.Ada juga kes yang sebegini tetapi tuan rumah meminta jasa baik jiran berdekatan untuk menolongnya dan akan diberi saguhati setiap bulan kepada jiran tersebut melalui hasil sewa bulanan.

Kesemua lokasi ini boleh menjadikan rumah sewa kita laris di pasaran dan tidak putus-putus mendapat penyewa setelah penyewa yang sedia ada keluar.Jadi sahabat semua boleh bezakan rumah yang mahu dibeli untuk kegunaan sendiri ataupun untuk disewa.

Harga

Kita mesti memilih hartanah yang ditawarkan lebih murah daripada nilai sebenar supaya kita membuat untung sewaktu membelinya.Saya pernah berpesan bahawa adalah tidak bijak membeli sebuah tanah lot dengan harga RM30 ribu dengan keluasan 8000 kaki persegi sedangkan harga semasa bagi sebuah tanah seluas 1 ekar adalah RM25 ribu sahaja.Senang faham kita boleh membeli 5 buah tanah lot 8000 kaki persegi dengan harga RM25 ribu sahaja.


Untuk membeli hartanah pada harga yang rendah daripada nilai pasaran selalunya kita akan membelinya melalui cara lelong ataupun daripada mereka yang terdesak hendak menjual seperti persengketaan adik beradik,kalah judi, dan sebagainya.Sewaktu inilah kita boleh mendapat harga yang terbaik apabila membeli sesuatu hartanah.

Kita perlu faham istilah "The Power Of Money" apabila membeli sesuatu hartanah.Maksudnya kita mempunyai duit yang banyak dan tidak terdesak pun untuk menghabiskan duit itu.Kalau ada sesiapa yang mahu duit yang kita ada tu boleh tapi mestilah menjual dengan harga yang lebih rendah.Ini terjadi kepada saya sewaktu saya mempunyai RM50 ribu di dalam bank apabila loan MBSB saya lulus.Kalau saya gopoh pada masa itu rasanya saya hanya mempunyai sebuah tanah lot 8000 kaki persegi sahaja di Bandar Baharu dengan harga RM30k.Lagi balance RM20 ribu tidak cukup pun untuk saya membina sebuah rumah di atas tanah lot tersebut.Tanah lot itu juga tidak sesuai langsung untuk saya menanam apa-apa pokok.Tapi dengan perancangan yang betul dan izin Allah SWT RM50 ribu tu cukup untuk membeli sebuah rumah kos rendah, tanah 3 relung dan menyelesaikan hutang saya sebanyak RM10k dengan bank RHB.

Membuat Keuntungan

Kita mesti memilih hartanah yang boleh memberi kita keuntungan sewaktu kita memilikinya.Dalam kes saya sendiri, saya hanya membuat keuntungan sewaktu membeli rumah kos rendah kerana saya mendapat hasil sewa setiap bulan.Tapi saya telah membuat kerugian dengan memiliki tanah yang tidak diusahakan.Tanah saya masih lagi belum memberi apa-apa hasil kepada saya setiap bulan kerana masih belum diusahakan dengan apa-apa tanaman.Ini amat merugikan kerana saya terpaksa menggunakan duit gaji ataupun duit titik peluh saya untuk membayar kepada bank.


Antara faktor yang menyebabkan tanah tersebut masih belum diusahakan bagi saya adalah kerana jarak perjalanan dari Kulim ke tanah tersebut adalah 3 jam.Ini amat menyukarkan saya untuk sentiasa memantau apa-apa sahaja tanaman yang boleh ditanam di tanah tersebut.Jadi sebenarnya saya telah pun membuat kesilapan berkaitan lokasi apabila membeli tanah itu.Mujurlah saya tidak membuat kesilapan berkaitan harga kerana saya membeli tanah tersebut dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

Saya berharap sahabat semua boleh menjadikan 3 tips ini dalam membuat keputusan membeli sesebuah hartanah.Untuk membeli sesebuah hartanah memanglah memerlukan modal yang agak tinggi dan sepatutnya kita tidak melakukan kesilapan dengan membeli hartanah yang boleh merugikan kita.Ditambah pula jika kita membeli hartanah kemudian tidak mampu membayar kepada bank sehingga hartanah kita dilelong.Ini amatlah memeritkan kepada mereka yang pernah berhadapan dengan masalah ini.Semoga masalah ini tidak terjadi kepada kita.

Akhir kata, saya ingin mengajak sahabat semua melakukan solat sunat sebelum Solat Subuh kerana

Diriwayatkan hadith dari Qatadah hadith dari Zurarah b Aufa hadith dari Said b Hisyam hadith dari Aisyah hadith dari Nabi (s.a.w) yang bersabda: ‘Rak’atal fajri khairun minad-dunya wa-ma fiha.’ (Yang bermaksud: Dua rakaat solat (sunat) sebelum Solat Fajr (ie. Subuh) itu lebih baik dari (nilainya dari nilai) dunia dan seisinya.) [Hadith Muslim, Kitab Solat] 

Jadi sesiapa sahaja yang rajin melakukan solat sunat sebelum Subuh ini adalah orang kaya sebenar kerana telah memiliki dunia dan segala isinya.Walau apa sahaja hartanah yang kita miliki ia hanyalah sementara sahaja sewaktu kita hidup di dunia dan tidak boleh dibawa masuk ke dalam lubang kubur.Apa yang boleh dibawa hanyalah amalan kita yang boleh menyediakan hartanah yang terbaik di dalam syurga Allah SWT.


Pemilikan hartanah tidak sepatutnya membawa kita jauh daripada Allah SWT kerana semuanya adalah hakNya yang Maha Esa.Kita hanya meminjamnya yang boleh kita jadikan sebagai alat untuk menyara kehidupan kita di dunia.Matlamat seorang Muslim adalah untuk memiliki kekayaan supaya boleh kita gunakan kekayaan itu ke jalan Allah yang mana kekayaan sebenar adalah apabila kita dimasukkan ke dalam syurga dan menikmati segala kemewahan hidup di sana.Tapi kenapa ramai Muslim yang kaya namun makin jauh daripada Allah SWT.Ini adalah kerana Muslim tersebut tidak selalu mengingati mati.

Wassalam.

Thursday 9 April 2015

Resepi Sup Ayam Ala Thai

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang satu resepi yang selalu juga saya masak setiap kali saya balik kampung.Untuk pengetahuan sahabat semua, bidang masakan bukanlah asing dalam keluarga saya kerana arwah abah saya dahulunya bekerja sebagai chef di pusat peranginan Gunung Jerai.Manakala mak saya pula sampai sekarang masih membuka kedai makanan ala Thai di kampung.Jadi kalau setakat masakan ala Thai macam Tomyam,sup,paprik,masak merah,nasi goreng dan sebagainya memang saya mahir membuatnya.Saya juga mahir dalam membuat laksa.Tujuan saya hendak share dalam blog ini adalah sebagai satu usaha saya untuk memberi resepi masakan yang kebanyakkan orang Melayu amat kedekut untuk share terutama kalau dia ni seorang tauke makanan.Manalah tahu jika ada sahabat semua yang mahu membuka kedai makanan ala Thai bolehlah menggunakan resepi saya ini dan boleh diubahsuai mengikut selera masing-masing.Saya berharap agar perkongsian saya ini dapat memberi ilmu yang bermanfaat kepada sahabat semua dan juga sebagai bekalan yang boleh saya bawa ke alam Barzakh.

Sup Ayam Ala Thai

Bahan-Bahan

1-Ayam 1 atau 2 ketul sama ada bahagian dada atau yang ada tulang (kerat halus-halus sebesar ruas jari)
2-Air 1 gelas plastik
3-1 sudu sos tiram
4-2 sudu kecil Serbuk perencah sup Adabi
5-Gula,garam,ajinamoto
6-2 ulas bawang putih
7-2 biji cabai Melaka
8-Air asam limau
9-Daun sup,daun bawang
10- 1 biji tomato
11-1 biji bawang

Cara-Cara Memasak

1-Masukkan air 1 gelas ke dalam periuk.Gelas pakai yang gelas plastik warna putih tu.Yang kadang-kadang kita tengok ada kedai buat air pakai gelas plastik ni.Kalau kat kedai mak pakai senduk yang besar.Saya ukur air dia lebih kurang penuh 1 gelas plastik

2-Masukkan ayam 1 atau 2 ketul.Ayam ni boleh kita kerat halus-halus.Yang paling penting bila kita masukkan ketulan ayam ni kena tenggelam dalam air.

3-Masukkan 1 sudu sos tiram jenama Ladas.Nak pakai jenama lain pun boleh tapi mungkin berlainan rasa.Macam kat rumah saya pakai sos tiram lembu berlaga.Sudu pakai yang sudu plastik yang Cina selalu pakai untuk hirup sup tu.Kalau pakai camca sukatannya tidak betul.

4-Masukkan perencah sup jenama Adabi yang serbuk tu.Sukatannya 2 sudu kecil.

5-Yang ni bahagian yang paling penting yang orang lain takkan share.Selalunya orang tulis sesedap rasa sahaja.Masukkan 3 sudu kecil gula,2 sudu kecil ajinamoto dan 1 sudu kecil garam halus.Kalau tak bubuh ajinamoto tak pe ker?Boleh tapi tak sedap.Nak rasa macam sup makan kat kedai mesti kena ada ajinamoto.Kalau nak bagi makan kat anak-anak saya akan masukkan 2 sudu kecil gula dan 1 sudu kecil garam.

6-Dah masuk semua ni kita masak dengan api yang slow sampai mendidih.Kenapa pakai api slow?Untuk bagi sup kita tu rasa pati ayam dan kita tak mahu air kita tersejat dengan cepat.Kalau air tersejat rasa sudah berubah pasal air dah kurang.

7-Lepas dah mendidih, kita ketuk bawang putih 2 ulas dengan pisau dan cincang kecil-kecil , ketuk cabai melaka 2 biji dan masukkan ke dalam sup.

8-Masukkan 1 sudu kecil air limau.Air ni saya guna yang buatan Thailand punya.Kalau nak guna limau nipis pun boleh.Tapi pastikan sup tu tak la masam sangat.Rasa macam ada rasa masam sahaja.Kalau terlalu masam tak sedap.

9-Potong  2 helai daun sup, 2 helai daun bawang,1 biji bawang India atau Holland (sebiji besar 2 jari) dan 1 biji tomato.

10-Tomato akan beri rasa masam kepada sup.Jadi kalau saya bubuh tomato saya letak 1 sudu kecil sahaja air asam.Kalau tak bubuh tomato saya letak 2 sudu kecil.

11-Biar sekejap 2 3 minit lepas tu tutup api.

Sup ni hanya sedap dimakan sewaktu masih panas.Kalau dah sejuk memang tak sedap.Kalau kat kampung saya suka masak sup ni guna kaki ayam.Mak akan simpan kaki ayam kalau dia tahu saya nak balik kampung.Bayangkan tengok la sehari mak akan ambil 2 ekor ayam.Kalau dia simpan 1 minggu dah 28 kaki dah.Memang best la buat sup.Tapi kalau nak masak ayam banyak ketul pun boleh.Yang paling penting sukatan air dan perencah.Kalau pakai 3 gelas air semua sekatan kena jadikan 3 kali ganda.Contoh nak buat 1 ekor ayam.Bila letak dalam periuk kita perlukan 20 gelas air.Jadi semua sukatannya kita jadikan 20 kali ganda sahaja.Jadi rasanya pasti akan sama macam kita buat untuk 1 gelas air.

Pak Njang saya yang paling suka makan sup ni.Kalau dia tahu saya ada kat kampung dan dia ke rumah mak saya mesti saya kena buat sup ni.Sup ni sebenarnya mak belajar dari orang Pattani sendiri yang datang bekerja dengan mak suatu masa dahulu.Pada masa itu mak tak reti lagi masak masakan Thai.Jadi dia hanya jadi tauke dan ambil pekerja Pattani untuk masak.Sedikit demi sedikit dia belajar sampailah dia sendiri yang masak sekarang.

Nanti saya akan kongsi lagi resepi masakan mak saya yang ala-ala Thai ni untuk posting yang akan datang.

Wassalam.

Tuesday 7 April 2015

10 Tip Berkesan Tangani GST

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin share dengan sahabat semua 10 tips yang Dr Azizan berikan kepada saya melalui email beliau.Semoga kita semua mendapat manfaat.

Anda ingin pelajari cara-cara pantas menguruskan masalah kewangan?

Apabila merenung kembali di saat saya kanak-kanak dahulu, dengan hanya wang 50 sen saya mampu membeli sebungkus nasi lemak beserta teh panas. Kini dengan jumlah yang sama, jika saya membeli sebungkus nasi lemak, mungkin saya hanya dapat bekas pembalutnya sahaja. Nampak sangat nilai matawang kita semakin lama semakin sikit nilainya. Perkara ini terjadi akibat daripada kenaikkan kos sara hidup tanpa henti setiap tahun.

Hari ini, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan pertambahan kos sara hidup yang baru iaitu cukai GST. 1 haribulan April 2015 merupakan tarikh bersejarah bagi negara ini, kerana tarikh ini merupakan bermulanya kuatkuasa GST. Terus terang saya katakan ramai di kalangan rakyat negara ini runsing akan wujudnya GST. Mereka masih belum bersedia untuk menghadapi cabaran baru ini. Golongan berpendapatan rendah dan sederhana antara golongan yang paling gelisah dan golongan ini jugalah yang kini tengah sibuk-sibuk memikirkan pencarian pendapatan baru bagi menampung kos sara hidup GST.


“Jangan bazirkan tenaga fokus kepada masalah, lebih baik fokus seluruh tenaga bagi mencari jalan penyelesaiannya.”


Bila difikirkan semula, memang tidak dinafikan orang ramai akan menjadi marah dengan GST ini. Lagi-lagi jika kerajaan boros dan tidak uruskan kewangan dengan baik melalui cukai yang diterima dari rakyat jelatanya. Bagi saya, GST wujud atau tidak bukanlah perkara utama memberi lesen untuk anda membebel cerita masalah kewangan diri serata negara. Bukankah lebih baik masa membebel ini digunakan untuk membina satu pelan kontingensi bagi menangani masalah GST sebelum ianya memudaratkan anda dalam jangka masa yang panjang.

Saya amat peduli dengan keharmonian ekonomi keluarga orang ramai, terutamanya mereka yang tidak pernah didedahkan dengan ilmu-ilmu kekayaan dan kejayaan. Bagi mengurangkan kerunsingan, saya bercadang untuk berkongsi beberapa tip-tip peribadi yang berkesan ke atas diri saya dan saya berharap ia juga dapat memberi kesan positif terhadap sesiapa yang membacanya.


Tip GST #1 : Akaun Kewangan Peribadi 


Sebelum anda mencari pendapatan baru, apa kata anda cek dahulu akaun kewangan peribadi anda. Cuba teliti perbelanjaan-perbelanjaan bulanan anda sebelum ini, kemudian bandingkannya dengan anggaran perbelanjaan yang bakal dikenakan GST. Adakah berlaku peningkatan kos? Bagaimana pula dengan pendapatan bulanan apatah lagi jika anda bergaji tetap, adakah ia masih mampu menampung peningkatan kos ini?
Jika tidak, mulalah anda memotong kos-kos yang tidak memberi manfaat diri seperti kos perbelanjaan hiburan. Sebelum anda sibuk menjaga kewangan negara, lebih baik anda sibuk uruskan kewangan keluarga terdahulu.


Tip GST #2 : Jangan Bakar Duit


Ini isu yang paling sensitif, kalau cakap ni mesti confirm ada yang marah. Hentikan aktiviti-aktiviti bakar duit, dalam bahasa lain beli rokok, apatah lagi jika ia merosakkan kesihatan. Kos bagi merawat kesihatan bukanlah murah. Saya pernah terbaca satu papan tanda di Jakarta yang bertulis “Jika anda miskin, anda jangan jatuh sakit sebab kos merawat kesihatan itu tidak murah."
Anda faham ker tak faham apa yang diperkatakan oleh papan tanda itu? Tak kisahlah anda tuan kepada medical card takaful atau tidak, sebab bila dah sakit teruk nanti anda akan tetap tafakur walau ada takaful.


Tip GST #3 : Buat Perbandingan


Jangan berbelanja 'mengkhinzir' buta. Rajinkan sikit diri itu, pilih di mana tempat hendak berbelanja dan bandingkan harga dengan kedai lain. Pilih dan beli barang harga yang paling menjimatkan kos. Berhati-hati dengan peniaga yang tamak, ini kerana terdapat peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barang atau servis tanpa mempunyai pendaftaran cukai GST yang sah. Jika jumpa peniaga macam ni, jangan bagi peluang, pergi lakukan report ke pihak berkuasa berkenaan peniaga itu. Bak kata pepatah orang Melaka, “memang hawau peniaga ni”.


Tip GST #4 : Memasak


Siapa yang rajin ke dapur sahaja faham bahawa makan di rumah lebih murah kosnya dari makan di kedai. Sepatutnya, makan di rumah lebih kos efektif dan sihat kecuali anda penggemar makan mee segera yang akan memutuskan urat perut serta gugurkan rambut. Alang-alang dah memasak, lebih baik jadikan ia bekal ke tempat kerja atau sekolah.


Tip GST #5 : Pengangkutan


Masih ingat lagi satu ketika dulu, TV ada mengeluarkan iklan “Jom berkongsi kereta." Mungkin jika iklan ini dikeluarkan pada hari ini, pasti ramai yang akan mengikutnya. Kira kos perbelanjaan pengangkutan bulanan anda, jika anda memandu kereta sendiri dan rasa kosnya terlalu mahal maka ajak rakan sepejabat join naik satu kereta dengan anda. Pakat-pakat dengan rakan, kongsi kos petrol kereta. Kalau anda tidak mempunyai rakan, belajarlah pergi ke tempat kerja dengan menaiki pengangkutan awam.


Tip GST #6 : Jangan Tambah Hutang


Sudah-sudahlah dengan perangai lagak berbarang baru seperti berhutang duit membeli kereta baru sekadar untuk ditayangkan orang sekeliling. Jangan tambah hutang yang tidak mendatangkan hasil.


Tip GST #7 : Tambah Ilmu


Belajar membina kewangan. Bersedia untuk laburkan sedikit wang dalam pencarian ilmu yang boleh meningkatkan pendapatan bulanan anda. Anda boleh dapatkan ilmu ini menerusi bahan bacaan seperti buku, majalah, internet dan media sosial. Jika ada pulus lebih, cuba lapangkan masa untuk hadiri seminar-seminar dari mentor yang berjaya. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja anda mampu menangani GST.


Tip GST #8 : Jom Berniaga


Bermulalah berniaga dengan modal yang rendah, nak lagi best belajar niaga tanpa modal. Berniaga itu mudah. Ramai anak didik saya berniaga secara online atau menjadi ejen dapat hasilkan pendapatan RM20,000 hingga RM50,000 sebulan.


Tip GST #9 : Tingkatkan Sedekah


Sedekah memilik kuasa dan impak yang besar terhadap kehidupan. Melaluinya, Allah SWT mampu datangkan anda rezeki tidak disangka melalui cara aturanNya yang cukup luarbiasa. Dengan bersedekah juga, Allah SWT akan lapangkan setiap rezeki kita. Lagi banyak anda bersedekah, Insya Allah lagi banyak anda akan menerimanya kemudian.


Tip GST #10 : Tingkatkan Pergantungan Kepada Allah SWT


Dari kesemua tip-tip diatas, tip terakhir inilah yang paling penting dan utama yang wajib anda lakukan. Tingkatkan lagi pergantungan diri kepada Allah SWT. Percaya di setiap kesusahan yang diterima pasti ada kesenangan yang menjelma. Tidak akan bergerak satu zarah pun jika Allah SWT tidak mengizinkannya.


GST bukanlah punca sebenar masalah kewangan kita, diri kita sendiri merupakan punca utama kenapa wujudnya masalah kewangan diri dan keluarga. Uruskan kewangan dengan cara yang terbaik bagi mencipta kebebasan dari masalah kewangan di masa hadapan.


Petikan daripada Dr Hj Azizan Osman 

Wassalam

Thursday 2 April 2015

Matlamat Saya Dalam Hidup

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang matlamat hidup saya untuk masa yang akan datang.Matlamat saya terbahagi kepada 2 iaitu matlamat di dunia dan matlamat di akhirat.Sebelum ni saya banyak merancang untuk mencapai matlamat dunia sahaja sehinggakan kadang-kadang saya terlepas peluang untuk mencari pahala ibadah sebagai bekalan saya di akhirat.

Matlamat dunia

Daripada sekolah menengah lagi saya telah pun membayangkan yang saya akan menjadi seorang pekerja professional secara makan gaji.Tidak pernah langsung terlintas di pikiran saya untuk menjadi seorang peniaga.Saya juga merancang untuk mendapatkan moto kap,kereta,rumah,tanah,isteri,anak, dan superbike.Kalau diikutkan hanya superbike sahaja yang masih belum Allah tunaikan untuk saya miliki.Saya sendiri pun tak tahu kenapa bila saya mempunyai wang, tidak terlintas langsung dipikiran saya untuk memilikinya.Tetapi apabila wang saya telah habis dan tidak dapat membeli superbike secara cash saya sangat-sangat idamkannya.Saya pernah bergurau dengan kawan-kawan mungkin ajal saya datang sewaktu saya menunggang superbike.Allah masih belum izinkan saya memilikinya kerana ajal saya masih belum tiba.Hehe.Itu adalah satu sangka baik kepada Allah untuk mengubat hati saya yang selalu meruntun untuk memiliki superbike.

Umur saya sekarang sudah pun mencecah angka 30an.Kalau diikutkan umur umat Nabi Muhammad SAW ni hanya sampai kepada 64 sahaja.Hanya mereka yang terpilih oleh Allah sahaja yang boleh hidup sampai mencecah usia 80 an ke atas tanpa nyanyuk.Jadi mungkin saya masih boleh hidup lagi 30 tahun ataupun kurang daripada itu.Tapi apa yang pasti, saya sangat suka jika boleh hidup tanpa perlu bekerja.Maknanya saya telah pun mencapai kebebasan kewangan dalam hidup.Untuk mencapai kebebasan kewangan bukanlah satu kerja yang mudah melainkan hanya jika kita dilahirkan sebagai seorang yang kaya.

Saya sangat idamkan kehidupan yang sederhana sahaja.Mempunyai sebuah rumah kampung di atas tanah seluas 1 ekar untuk saya usahakan tanaman sayur-sayuran,ternak ayam kampung,ada kolam ikan air tawar dan pokok buah-buahan di sekeliling rumah.Kerja saya hari-hari adalah melihat kebun dan juga ternakan.Bila boring boleh la memancing di kolam sendiri.Saya sangat sukakan kehidupan yang mana saya mempunyai banyak masa untuk berulang ke masjid dan melakukan solat jemaah setiap hari.Mungkin saya boleh jadikan masjid sebagai rumah kedua saya.Pada ketika saya memikirkan kehidupan tua saya yang sebegini saya pun terpikir takkanlah nak tunggu tua baru lah nak jadikan masjid sebagai rumah kedua.Saya banyak berpikir kembali tentang setiap ayat Al Quran yang mengatakan dunia ini hanyalah khayalan semata-mata.Bodohlah kepada mereka yang hanya mahu mengejar keduniaan tanpa memikirkan akhirat iaitu tempat kita yang kekal abadi.Berbaloikah kita untuk hidup senang di dunia selama 60 tahun kemudian sengsara di neraka Allah untuk selama-lamanya.Pada ketika saya memikirkan saya berasa amat bersalah dan saya perlu berubah untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat

Matlamat Akhirat

Matlamat ini saya masukkan dalam perancangan hidup saya selepas saya habis membaca terjemahan Al Quran kira-kira bulan puasa tahun lepas.Pada waktu puasa 2014 saya terlibat dengan menjual di bazar Ramadan.Memang letih apabila mengenangkan penglibatan saya berniaga setiap hari di Bazar Ramadan.Tapi selepas 2 minggu berniaga dan telah mendapat keuntungan, saya mula terpikir kenapa saya perlu mengejar dunia sedangkan saya tidak merebut peluang mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan.Bila letih berniaga semestinya saya tidak dapat melakukan solat sunat terawih di masjid.Ini amatlah merugikan.Jadi saya cuba listkan apa benda yang perlu saya tunaikan kepada Allah SWT sebagai balasan kepada Allah yang telah menunaikan hasrat saya di dunia.Semuanya Allah SWT dah tunaikan hanya tinggal superbike sahaja.Bila saya telah listkan semuanya dan pikir kembali alangkah malunya saya kepada Allah SWT.Allah SWT memberi semua nikmatnya kepada saya tetapi tidak ada satu pun yang saya boleh beri kepada Allah SWT sebagai lambang hambanya yang bertakwa.Ini list untuk saya mencapai matlamat akhirat saya.

1-Solat 5 waktu setiap hari secara berjemaah.

Sebelum ini saya banyak meninggalkan solat Subuh kerana terasa amat payah untuk bangun daripada tidur.Saya mengenalpasti masalah saya berpunca daripada sifat saya yang suka tidur lewat kerana leka dengan movie.Tapi bila dipikirkan kembali kenapa saya perlu tunggu tengok movie sedangkan semua movie yang tv tayang dah pernah saya tengok melalui wayang ataupun dvd.Jadi cukup tak masuk akal untuk tengok movie 2 kali.Jadi pukul 10 sudah kena masuk tidur.Baru senang bangun Subuh

2-Khatam Al Quran paling kurang 1 kali setahun

Setakat sekarang memang susah pun saya nak baca Al Quran.Kalau baca pun saya akan pilih surah yang selalu kita dok baca sahaja seperti Yasin, Waqiah, Ar-Rahman dan Al-Mulk.Kalau nak baca habis 1 Al Quran ni saya ingat lepas daripada khatam masa darjah 6 dulu sampai sekarang ni masih belum khatam.Teruk betul saya ni sampai macam tu sekali lupa pada Al Quran.

3-Hafal juzuk 30 dan surah-surah lazim

Selalunya bila solat saya akan baca surah Al-Ikhlas dan An-Nas sahaja.Surah lain tu kadang-kadang ja baca.Banyak surah dalam juzuk 30 memang saya tak hafal langsung.Jadi menjadi cabaran kepada saya untuk hafal dahulu surah-surah juzuk 30 dan kemudian barulah hafal surah-surah yang lazim seperti Yasin, Waqiah, Ar-Rahman dan Al-Mulk.Saya sendiri pun tak tahu berapa tahun untuk saya lengkapkan hafalan saya.Tapi kalau kita ada set matlamat benda ni bukannya sesuatu yang mustahil kerana yang penting kena ada azam untuk menghafal.

4-Melakukan segala sunnah Nabi Muhammad SAW

Kalau nak diikutkan memang terdapat banyak sunnah Nabi Muhammad SAW daripada yang mudah sampailah kepada yang paling sukar seperti berkahwin 4 orang.Saya telah listkan 100 sunnah Nabi Muhammad SAW dalam posting yang lepas dan saya juga telah membeli buku sunnah-sunnah Rasul.Insyallah, saya kena buat satu-satu sampailah lengkap menjadi amalan saya seharian.Ulamak pernah berkata kalau nak ubah kebiasaan diri kita kena buat benda tu selama 40 hari.Barulah boleh melekat dalam hati.Contohnya nak biasakan diri ambil wuduk sebelum tidur, kena buat dahulu 40 hari barulah boleh ubah kepada sunnah yang lain pula.

5-Melakukan solat-solat sunat

Kalau macam solat sunat seperti tahayyatul masjid dan sunat qobliah atau banqdiah ada la jugak saya buat cuma jarang-jarang la pasal saya selalu solat seorang diri.Kalau solat kat masjid tu barulah buat solat sunat ni.Tapi sebenarnya terdapat banyak lagi solat sunat yang saya masih belum amalkan seperti tahajjud,taubat,hajat,witir,tasbih,dhuha,wuduk, dan sebagainya.

6-Berpuasa sunat pada setiap kali hari yang disunatkan.

Kalau bab puasa wajib saya memang tak ada masalah untuk menunaikannya.Daripada kecil memang tak pernah tinggal.Cuma bab puasa sunat yang liat sedikit.Cuma saya ni dikira bertuah pasal saya jenis tak makan pagi atau sarapan.jadi kalau nak berpuasa tu bukanlah satu benda yang sukar.Cuma nak tahan perut bila orang lain sedang makan tu yang sukar.Macam sekarang saya hanya baru berjinak-jinak dengan puasa isnin dan khamis.Tu pun kadang-kadang miss pasal tak tahan dengan kawan nak belanja makan ataupun cuaca yang panas.

List ni saya buat setelah saya dapat menyempurnakan segala yang wajib.Sebab tu saya listkan perkara yang sunat.Kepada sahabat yang masih belum dapat tunaikan yang wajib cuba tunaikan dahulu yang wajib kemudian barulah beralih kepada yang sunat.Tak pa.Pelan-pelan kayuh.Proses nak jadi seorang Muslim yang bertakwa juga sama susahnya dengan menjadi seorang yang kaya di dunia.

Wah.kalau nak ikutkan list ni memang dah berat ni untuk saya lakukan.Mungkin akan ambil masa 10 hingga 20 tahun baru boleh lengkapkan kot.Tapi malu lah saya kepada Allah kerana hakNya sebagai Pencipta Alam tidak saya tunaikan sedangkan Allah SWT telah pun menunaikan hak saya sebagai manusia di muka bumiNya.Sedih bukan.Walau apapun saya berazam untuk berubah dan selalunya jika kita telah setkan matlamat dalam hidup kalau tak dapat semua pun dapat separuh pun jadilah.

Saya sendiri pun tidak pasti adakah dengan melakukan semua amalan ini cukup untuk membawa saya ke syurga tetapi dari apa yang saya tahu, kita dimasukkan ke dalam syurga kerana redha Allah SWT kepada kita kerana segala amal kebajikan kita tidak dapat membeli syurga Allah SWT.Jadi perlu ada azam untuk berubah kepada yang lebih baik kerana sebagai manusia biasa kita sebenarnya banyak melakukan dosa kepadaNya setiap hari.Sama ada dosa kecil ataupun dosa besar.Marilah kita semua berubah menjadi seorang Muslim yang bertakwa.

Wassalam.

Wednesday 1 April 2015

Cara-Cara Membayar Cukai Pintu Secara Online

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang cara-cara membayar cukai pintu secara online melalui maybank2u.Saya telah pun mendapat surat daripada Majlis Perbandaran Sungai Petani untuk membayar cukai pintu untuk bulan Januari sampai Jun 2015 sebanyak RM33.60 pada bulan lepas.Tapi memandangkan saya sibuk dengan kerja terus saya lupa tentang bil cukai pintu ni sehinggalah datang pula surat kedua yang cas saya RM2.00 untuk bayar cukai pintu.Jadi jumlah yang saya kena bayar ialah RM35.60.Saya mula la dok pikir nak kena ambil cuti ni untuk bayar cukai pintu.Dari Kulim ke Sungai Petani pun ambil masa 1 jam jugak perjalanan.Tak masuk lagi dengan buang masa beratur.Nak tunggu saya cuti hari Ahad surat tu bagitau kena bayar sebelum 4/4/15.Pikir punya pikir saya teringat kenapa saya tak bayar online saja.Mungkin boleh.Jadi memang boleh pun bayar secara online.Cara-caranya ialah

1- Login akaun www.maybank2u.com.my

2- Klik pada bahagian Payments.

3- Pilih Make a One-Off Payment

4- Pada pilihan kategori,pilih Assessment.

5- Pilih Majlis Perbandaran masing-masing.Contoh macam saya adalah Majlis Perbandaran Sungai Petani

6- Masukkan jumlah yang perlu dibayar, no akaun bil cukai pintu yang ada pada bil (no akaun ada tanda \ tapi kita tak perlu letakkan tanda \ tu)

7- Dah bayar print screen resit untuk rekod mana la tau tetiba pihak Majlis tak terima pulak bayaran daripada kita.

Senang bukan nak bayar bil cukai pintu.Tak perlu ambil cuti,jimat minyak dan masa beratur.Kadang-kadang apa sahaja benda yang perlu kita settle tapi boleh dilakukan secara online baik kita buat secara online sahaja.Kalau tak tahu kena la belajar supaya boleh menyenangkan kita.Kalau ada pakcik-pakcik atau makcik-makcik yang memang tidak tahu langsung pasal IT bolehlah minta tolong anak-anak atau cucu-cucu yang pandai.Rasanya zaman sekarang ni payah nak cari budak-budak yang tak reti bab internet ni.Daripada dok abis masa main game online, facebook ataupun layari web panas lebih baik korang tolong tokwan atau toknek settlekan bil api dan lektrik pakai online ja.Dapat la jugak pahalanya.

Wassalam