Friday 10 July 2015

Keperluan Hidup Vs Kehendak Nafsu

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin bercerita tentang kelemahan orang kita iaitu orang Melayu dalam memilih antara keperluan dan kehendak.Kalau dulu-dulu masa saya masih di bangku persekolahan sewaktu tingkatan 2, saya ada belajar tentang keperluan benda hidup iaitu

1-Air
2-Makanan
3-Udara
4-Tempat tinggal

Ini adalah keperluan asas benda hidup dan pada zaman moden ini telah ditambah dengan pakaian dan pengangkutan sebagai 2 perkara asas yang perlu ada untuk melengkapkan kehidupan seorang manusia di muka buni Allah SWT ini.

Air.

Air yang diperlukan oleh tubuh badan kita hanyalah air masak ataupun air putih sahaja.Tetapi manusia telah mengkelaskan keperluan air ini kepada kasta-kasta yang tersendiri yang menyebabkan manusia keliru dengan air yang diperlukan oleh tubuh badan dengan air yang melambangkan kasta.Contohnya orang miskin hanyalah minum daripada air paip yang dimasak.Manakala golongan pertengahan mungkin akan minum air berkarbonat seperti coca cola,pepsi,teh air,kopi air dan sebagainya.Manakala mereka yang daripada golongan atasan akan menikmati espresso,white coffee,jus dan sebagainya yang dihidangkan di tempat-tempat ekslusif seperti restoren mewah dan lounge.Jadi pemilihan air dalam masyarakat sekarang lebih kepada menunjukkan kasta dan bukannya minum untuk keperluan tubuh badan.

Makanan

Tubuh badan kita boleh menampung kehidupan kita tanpa makanan selama 7 hari.Jika selama ini kita tak makan badan akan menggunakan lemak di bawah kulit kita untuk dibakar sebagai tenaga.Dan jika dilihat saiz badan rakyat Malaysia termasuklah saya sendiri menunjukkan yang kita ini sebenarnya terlebih makan dalam kehidupan kita seharian.Makanan juga turut disediakan untuk melambangkan kasta.Selalunya apa yang kita selalu dengar orang miskin akan makan nasi,ikan masin,telur goreng,kicap,ikan temenu dan sebagainya yang menjadi juadah harian mereka.Kalau golongan pertengahan pula mereka akan menikmati ayam,daging,ikan gred A seperti siakap,jenahak,kerapu,merah,tenggiri, dan sekali sekala akan menikmati fast food di Pizza Hut,KFC atau Mc Donald.Manakala golongan atasan akan menikmati makan mereka di restoren mewah yang menyajikan lobster,udang laut yang besar tapak tangan tu (satu set makanan Cina di restoren makanan laut di Bukit Tambun adalah RM788 untuk udang laut),makanan daripada luar negara seperti makanan Barat dan sebagainya.

Udara

Hanya udara yang tidak melambangkan kasta.Semua golongan akan menikmati udara yang sama.Yang membezakannya hanyalah kualiti udara yang disedut sahaja seperti udara di dalam hutan adalah lebih segar daripada udara kampung dan udara kampung adalah lebih segar daripada udara di bandar.

Tempat Tinggal

Tempat tinggal bagi golongan miskin adalah rumah seperti flat,setinggan dan rumah kos rendah.Untuk golongan pertengahan pula mereka akan memilih rumah kos sederhana seperti rumah teres ataupun rumah kembar 2 dan apartment.Manakala golongan atasan pula lebih suka memilih banglo dan kondominium sebagai tempat tinggal mereka.

Pakaian

Pakaian juga boleh melambangkan kasta pemakaiannya.Daripada baju T-shirt yang berharga RM10 sampailah kepada pakaian yang ditempah daripada pereka fesyen tempatan yang mencecah ribuan ringgit.

Pengangkutan

Selalunya mereka yang berpendapatan rendah mungkin hanya memiliki sebuah motorsikal sahaja dan mereka yang berpendapatan pertengahan yang akan menambah kereta sebagai pengangkutan.Mereka yang berada pula akan memilih kereta mewah dan kapal terbang sebagai pengangkutan.

KENAPA KITA MEMILIH KEPERLUAN KITA UNTUK HIDUP SUPAYA IA MELAMBANGKAN STATUS KITA?

Ini adalah satu soalan yang hanya perlukan satu sahaja jawapannya iaitu kita suka bermegah dengan pangkat dan pendapatan kita.Contohnya jika kita bekerja sebagai doktor ataupun jurutera kita rasa malu untuk menaiki motorsikal untuk berulang ke tempat kerja.Kita rasa malu untuk membeli air di tepi jalan.Kita rasa malu untuk makan makanan orang miskin sewaktu kita makan dihadapan kawan-kawan.Kita rasa malu untuk memakai baju bundle dan kita rasa malu untuk tinggal dalam sebuah rumah teres.Kita rasa malu kerana seolah-olah satu dunia tahu apa pekerjaan, pangkat dan pendapatan kita sedangkan tidak pernah lagi saya berjumpa dengan manusia yang keluar dari rumah dan meletakkan signboard di lehernya dengan tulisan "SAYA SEORANG DOKTOR" ataupun " SAYA SEORANG JURUTERA" ataupun "SAYA SEORANG PEGUAM".Akhirnya, jawatan yang disandang itulah yang menjadikan seseorang manusia itu berasa susah dalam kehidupannya kerana setiap apa yang dia perlu ada kena sesuai dengan jawatannya.

Saya juga berjawatan professional dan pendapatan saya juga tidaklah layak untuk menjadikan kehidupan saya ini mewah tapi walau berapa sekalipun pendapatan saya, ia tetap tidak akan mengubah siapa diri saya dan asal usul saya.Saya tidak memilih makanan dalam hidup saya.Daripada makanan yang mewah sampailah ke makanan seorang kuli semua saya pukul rata kerana saya tidak pernah cerewet dalam pemilihan makanan.Saya juga hanya membeli seluar dan jeans bundle sebagai pakaian saya seharian sama ada sewaktu kerja ataupun keluar berjalan.5 helai seluar Dockers bundle saya yang saya pakai ke tempat kerja hanya berharga RM10 sepasang.Saya hanya membeli baju baru kerana saya tidak berapa suka memakai baju bundle.Itupun bukannya yang mempunyai jenama.Seluar jeans bundle saya juga hanya berharga RM20 sepasang sama ada Levi's ataupun Lee.Saya juga hanya tinggal di sebuah rumah teres 3 bilik yang saya sewa dengan bayaran RM170 sebulan.Tidak terlintas pun untuk saya menyewa ataupun membeli sebuah banglo untuk melambangkan status saya.Saya juga hanya berulang alik ke tempat kerja menggunakan motosikal Honda Wave sebagai kenderaan saya.Jika hujan ataupun memerlukan saya memakai kereta barulah saya ke tempat kerja dengan kereta.Saya tidak malu dengan cara hidup yang sebegini kerana tidak semua orang tahu apa kerja dan jumlah pendapatan saya.Malah saya cukup yakin jiran saya pun silap-silap tak tahu pun apa kerja saya.Kalau ada yang tanya saya akan jawab kerja kilang sahaja.Kalau ada kawan-kawan yang tahu pun memang mereka sudah mengenali saya daripada kecil inilah cara hidup saya.Adakah saya perlu mengubah cara hidup saya hanya untuk memuaskan hati masyarakat yang memandang mereka yang berjawatan tinggi perlulah bergaya,makan makanan mewah,mempunyai rumah besar dan kereta besar.TIDAK.Saya adalah saya dan jika saya mahukan sesuatu pun bukan kerana orang tetapi kerana untuk memuaskan diri saya sendiri.Contohnya daripada kecil saya meminati superbike dan satu hari saya akan memilikinya.Memiliki superbike bukan bermaksud saya mahu menunjuk-nunjuk atau melambangkan status saya tapi hanyalah kerana minat saya daripada kecil.Itupun kalau nak diikutkan sudah lama saya mampu untuk memilikinya tapi saya dahulukan perkara lain yang lebih mustahak daripada melayan nafsu saya untuk memilikinya.

Kesimpulannya, kita perlulah berbelanja mengikut keperluan kita dan bukannya kehendak hati.Pedulikan apa sahaja kata orang disekeliling dan hanya menurut kata hati.Kalau kita boros berbelanja hanya untuk memuaskan hati masyarakat jika kita ditimpa masalah kekurangan duit bukannya masyarakat yang hendak tolong memberi duit kepada kita.Pejabat zakat dan badan kebajikan pun takkan menolong kita kerana jawatan yang kita sandang dan pendapatan bulanan kita tidak melayakkan kita menerima bantuan.Dalam minda kita perlu sentiasa untuk menyediakan "payung sebelum hujan" iaitu jumlah simpanan yang cukup untuk menampung kehidupan kita pada masa hadapan.Jangan juga lupa bahawa betapa ramainya orang Melayu di Malaysia yang diistiharkan muflis kerana cuba bergaya melebihi pedapatan mereka.

Saya suka mengkritik gaya hidup golongan pertengahan kerana golongan inilah yang saya lihat paling banyak berbelanja melebihi pendapatan.Kalau golongan miskin memang mereka ni hidup dengan cara miskin.Kalau daripada golongan berada pula kebanyakkannya mereka dahulunya ada datang daripada golongan miskin ataupun pertengahan.Mereka berusaha menjadi usahawan kemudian berjaya mendapat pendapatan yang berjuta sebulan.Dalam diri mereka sebenarnya tidak mahu menunjuk-nunjuk kemewahan yang mereka ada tetapi apakan daya.Mereka perlu memiliki rumah dan kereta mewah untuk mengurangkan cukai perniagaan mereka.Semua barang mewah ini bukannya didaftar atas nama mereka tetapi nama syarikat mereka.Hanya itulah caranya mereka berjimat daripada duit mereka dikebas oleh kerajaan.

Fikir-fikirkanlah gaya hidup sahabat semua dan semoga menjadi pedoman buat semua.

Wassalam.