Showing posts with label Hobi. Show all posts
Showing posts with label Hobi. Show all posts

Wednesday, 11 January 2017

Hobi Ternakan Arnab

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang hobi saya iaitu ternakan arnab.Sebenarnya, saya telah pun membela beberapa ekor arnab sebelum ni sewaktu saya bujang dan semasa telah berkahwin.Pada kali pertama saya membela arnab, ada arnab saya yang mati pasal saya bagi makan sayur terbuang hasil daripada pasar malam.Ni idea Pak Omar la ni.Walaupun bawak balik rumah, basuh bersih-bersih dan keringkan tapi bila arnab makan tetap dia mati juga.Huhu.Kali kedua saya membela arnab, saya lebih berhati-hati tentang soal makanannya.Tapi pada waktu itu saya sibuk dengan perniagaan pasar malam jadi saya membuat keputusan untuk sembelih sahaja arnab tu untuk jadi santapan saya.Hehe.Mungkin sahabat semua kata saya ni kejam kerana menyembelih arnab Tapi bagi saya sendiri, saya tiada masalah untuk membela arnab, sembelih arnab tersebut dan makan kerana binatang yang halal dimakan tetap binatang walaupun nampak comel.Lagipun ianya halal di sisi Islam.Cuma hati kena kering sikit la pasal tak ramai orang boleh sembelih binatang comel macam arnab ni.Tambah-tambah sebelum kena sembelih arnab ni akan berbunyi sayu.Tapi sebenarnya arnab adalah haiwan yang paling cepat mati apabila kena sembelih berbanding binatang lain.Kebanyakkan orang kita bila sebut ja daging arnab memang ramai yang tak lalu, tapi bila kita bagi makan tanpa sebut daging apa memang bertambah-tambah selera dia menikmati daging arnab tu. 

Sekarang ni adalah kali ke 3 saya membela arnab.Saya mulakan dengan membeli sepasang arnab kampung dan sepasang arnab mix teddy bear dengan carlifornia white.Yang arnab kampung tu bulu warna coklat, berbulu pendek dan bermata hitam.Bentuk badan biasa untuk arnab kampung.Yang mix tu bulu warna keseluruhannya putih, bermata merah dan berbulu panjang macam arnab teddy bear.Badan pula agak besar berbanding arnab kampung.Sebab tu saya katakan ia mix teddy bear dengan carlifornia white.Saya membeli 2 pasang arnab ini dengan harga RM100 di sebuah kedai binatang dekat Bandar Perda.4 ekor arnab ni saya tempatkan masing-masing dalam sangkar yang saya buat sendiri menggunakan jaring besi.Satu ekor satu sangkar supaya saya boleh kawal kadar pembiakan arnab ni dan supaya arnab ni tidak bergaduh sesama sendiri.Dalam banyak blog pasal penternakan arnab ada diberitahu yang arnab betina lebih bersifat teritorial untuk kawasan sendiri.Kalau kita campur betina dengan jantan nanti yang si jantan tu akan selalu kena cakar dengan yang betina.Jadi baik asingkan biar depa duduk satu sangkar satu ekor.Senang nak jaga dan bela.

Makanannya pula saya ada membeli satu guni palet yang 25kg tu di Padang Serai dengan harga RM24 seguni.Palet ni berwarna koko dan kalau diikutkan kandungannya adalah untuk mengemukkan arnab tu.Ada juga palet yang berwarna hijau yang kandungannya banyak serat tapi palet hijau ni harga mahal sikit la.25kg depa jual RM40 seguni.Memandangkan saya membela arnab untuk makanan jadi saya menggunakan palet koko supaya arnab saya cepat gemuk dengan daging.Walaubagaimanapun, arnab tetap memerlukan serat supaya tidak menghadapi masalah cirit birit.Jadi saya lebih selesa bagi arnab saya daun pisang yang banyak kat sebelah rumah, kangkung kampung yang Pakcik Senapi setiap minggu cari untuk dijual dan rumput israel.Setakat sekarang, arnab saya tiada masalah menghadam semua makanan ni.Ada satu lagi makanan yang saya bagi hanya pada hujung minggu sahaja iaitu alfalfa hay ataupun rumput alfalfa.Rumput ni mahal harganya.3kg depa jual RM18 kat kedai makanan binatang di Taman Selasih, Kulim.Harga mahal jadi kasi makan hujung minggu udah ler.Serat ni semua hanya untuk mengelakkan cirit birit iaitu jika arnab hanya makan palet koko sahaja.Saya juga hanya bagi makanan serat ni di waktu pagi sahaja.Waktu malam 100% palet sahaja.

Arnab betina mix saya telah pun melahirkan 3 ekor anak tapi 2 ekor telah pun mati pasal kena pijak dan lambat makan susu.Yang tinggal hanya seekor sahaja yang paling besar antara depa 3 ekor tu.Memandangkan arnab betina saya masih lagi mentah dan pertama kali melahirkan anak, jadi dia tak reti nak bagi anak ni makan susu.Dah sudah keja saya la pulak asingkan anak ni dengan ibu dia pastu bagi makan anak arnab ni 3 kali setiap hari.Saya kena pegang ibu dia pastu pegang anak dia dan bagi susu ibu arnab secara manual.Selepas dalam 2 minggu, arnab ni pun mula buka mata dan barulah saya letakkan balik anak arnab ni dengan ibu dia pasal bila dah besar anak arnab ni tahu jek cari puting susu ibu dia sendiri.Kebarangkalian untuk anak arnab ni mati dipijak ibunya juga agak rendah.saya letak dengan ibunya pun sebab anak arnab ni tak mahu makan susu kucing yang saya belikan di kedai.Sekarang ni sihat jek dia dengan ibunya.Cuma ibu arnab ni bila ada anak dia mula la garang mengalahkan Joyah.Asyik nak gigit ja tangan kita bila nak letakkan makanan dalam sangkar dia.

Sekarang ni semua arnab saya sihat-sihat dan gemuk-gemuk belaka.Bila dah banyak sangat beranak pinak mungkin saya akan pertimbangkan untuk sembelih.Tapi rasanya saya hanya akan sembelih arnab kampung sahaja.Arnab mix ni terlalu comel jadi rasa kesian sikit nak sembelih.Huhu.(mula sembang kemas hati kering tapi kalah gak dengan arnab teddy bear ni).Mungkin projek lepas ni adalah untuk buat banyak lagi sangkar supaya saya boleh masukkan arnab carlifornia white yang boleh saya jadikan ternakan untuk makanan saya sekeluarga (mungkin saya sorang saja yang makan.Huhu).

Wassalam.

Monday, 11 May 2015

Cara-Cara Membiak Pokok Kucai

Assalamualaikum sahabat semua,


Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang cara-cara untuk membiak pokok kucai.Kita boleh membiak pokok kucai setelah batang kucai ini telah matang dan kalau rumpun pokok kucai telah memenuhi pasu atau plastik beg.Macam kucai dalam beg plastik hitam tu sebenarnya ia telah pun padat dengan batang kucai dan untuk membolehkan batang kucai itu membiak dengan elok maka kita perlulah mengubahnya.Seperti yang telah saya cerita pada posting yang lepas kucai ini membiak melalui belahan dedua iaitu daripada satu batang induk yang telah matang kemudian membelah menjadi 2 batang anak benih.Proses ini akan terus berlaku sehinggalah pasu kita menjadi padat dengan batang kucai.Untuk membolehkannya membelah dan membiak maka kita terpaksa mengubahnya supaya proses pembelahan batang kucai tidak terbantut.




Proses Pertama

Langkah pertama adalah dengan menyediakan medium pembiakan kucai ataupun tanah campuran untuk kita isi dalam pasu sebagai tempat pembiakan kucai.Apa yang kita perlukan adalah

1-1 beg plastik tanah kompos  (RM2.00/pc)
2-1 beg baja organik tulen (RM5.00/pc)
3-pasir sungai 

Tanah kompos dan baja organik boleh kita beli daripada nurseri ataupun kedai yang menjual baja/racun untuk pertanian.Nisbah campuran adalah 3:2:1 iaitu tanah kompos:pasir:baja organik.Macam kes saya mula-mula saya sukat dulu 1 kg baja organik dalam pasu kecil.Bila sukat dapat la 2 pasu kecil.Jadi saya tau la saya perlukan 6 pasu kecil untuk tanah kompos dan 4 pasu kecil untuk pasir.Sahabat semua boleh membeli pasir sungai daripada kedai hardware yang ada jual alatan pembinaan.Macam kes saya, untuk menjimatkan kos saya menggunakan pasir yang ada dalam longkang di depan rumah saya sahaja.Jadi campur sahaja semua ketiga-tiga campuran ni kemudian gaul sama rata.Pastikan tanah campuran tidak berketul-ketul.Kalau nak lagi bagus tambahkan lagi tanah campuran tu dengan habuk sabut ataupun hampas kelapa dengan nisbah campuran 1:1.


Proses Kedua

Langkah kedua adalah kita mula mengembur tanah kucai yang dalam plastik beg yang nak kita ubah tu supaya lembut dan mudah untuk kita mencerai-ceraikan batang kucai tu.Saya telah mencerai-ceraikan batang kucai tu menjadi seperti gambar yang kat atas ni.Saya asingkan batang kucai yang telah matang dengan anak kucai yang masih muda supaya saya boleh tanam yang dah matang serumpun dan yang masih muda serumpun.Proses nak ceraikan batang kucai kena buat dengan cermat pasal kita tak mahu akar kucai yang berserabut tu putus dan akhirnya akan membantutkan pembesaran pokok kucai kita.


Proses Ketiga

Langkah ketiga adalah kita memasukkan tanah campuran ke dalam pasu/beg plastik hitam/apa sahaja bekas yang kita suka cukup setakat setengah daripada bekas tu.Lepas tu kita susun la batang kucai tu dalam bekas tu.Macam kes saya, saya guna pasu yang kecil sahaja.Jadi saya selerakkan menjadi 5 batang pokok kucai dalam setiap pasu.Ada orang jenis suka tanam 1 rumpun terus dalam satu pasu dan sebenarnya cara itu adalah salah.Bila kita tanam 1 rumpun terus kita membantutkan pokok kucai kita untuk membiak.Cara yang betul adalah dengan menanam jarang-jarang supaya nanti kucai tu akan memenuhi seluruh kawasan pasu kita.Bukannya tertunpu di bahagian tengah sahaja.Lepas kita dah susun batang kucai tu maka kita pun kambuslah tanah campuran sehingga ke leher pasu.


Proses Keempat

Langkah yang akhir sekali adalah kita susun pokok kucai yang telah kita ubah kemudian jirus dengan air.Kucai yang telah diubah sepatutnya tidak dibiarkan menerima terus cahaya matahari.Ini akan membuatnya layu.Kena letak kat tempat teduh dahulu kemudian barulah kita ubah kepada tempat yang menerima cahaya matahari secara terus.Jadi kita tunggulah selama 3-4 bulan untuk melihat kucai kita membiak dan memenuhi seluruh pasu kita tu.Selamat mencuba.Saya masih ada lagi 3 induk kucai yang masih belum diubah.Setakat sekrang saya telah ubah 2 beg plastik.Dengan cara ini tanaman kucai kita akan menjadi banyak dan hasilnya juga akan turut berkembang sehinggalah kita berkata cukuplah setakat ni sahaja pokok kucai yang kita mampu jaga.

Wassalam.


Tuesday, 5 May 2015

Cara-Cara Menjaga Pokok Limau Kasturi

Assalamualaikum sahabat semua,




Pada posting yang lepas, saya telah bercerita tentang cara-cara menanam pokok limau kasturi.Saya berharap sahabat semua banyak mendapat manfaat daripada ilmu yang telah saya share.Memandangkan bila saya lihat search keywood daripada google banyak sahabat semua mencari pasal pokok limau kasturi ni, jadi pada kali ni saya ingin berkongsi tentang cara-cara penjagaan pokok limau kasturi ni pula.


Sebelum itu saya ingin berkongsi sikit pesanan tokwan saya bahawa kalau nak tanam pokok yang masam seperti limau dan mangga, tanah yang paling sesuai untuknya ialah tanah yang masam juga.Bahasa orang tua-tua ni tanah masam.Kalau bahasa buku adalah tanah yang berasid tinggi seperti tanah paya,tanah sawah atau bendang atau tanah yang berair.Tanah yang sebegini amat sesuai untuk tanaman limau dan mangga.Tapi hasil dari permodenan, kita boleh mendapatkan baja yang sesuai untuk memberi galakan kepada pokok limau walaupun tanah yang kita tanam adalah tanah lektrik atau tanah merah.Jadi walaupun tanah dihalaman rumah saya adalah tanah lektrik, tapi limau tu tetap juga masam dan bila makan tetap macam kena lektrik jugak.Hehe


Pokok limau ini mempunyai perosak iaitu ulat beluncas.Ulat ni cukup suka makan pucuk daun limau yang muda.Kalau ada sekor ja beluncas ni memang habis la daun muda dia tebas siap sekali dengan batang-batang muda yang lembut tu.Pendek kata seekor ulat beluncas sahaja sudah cukup untuk memberi kesan yang nyata kepada pokok limau kita.Jadi macam mana kita nak hadapi serangan ulat beluncas ni.


Racun Perosak 

Saya menggunakan racun perosak jenis Malathion untuk pokok limau kasturi,limau nipis dan limau purut yang ditanam di halaman rumah.Harga RM6.00 sebotol.Sukatannya 1 penutup botol penuh dicampur dengan 1/2 liter air.Saya akan sembur racun ni 2 minggu sekali bergantung kepada cuaca.Kalau hujan kerap saya akan sembur seminggu sekali.Kesan racun ni akan hilang jika hujan turun dengan kerap.Lagi satu lepas kita sembur racun, apa sahaja seperti buah atau daun tidak boleh kita makan selama 3 hari.Jadi saya memang dah pesan siap-siap kat isteri saya jangan memandai-mandai dok petik buah limau kasturi atau daun limau purut saya untuk buat air atau masak tomyam tanpa pengetahuan saya.Takut-takut saya baru sahaja sembur racun.Racun ni agak kuat bau dia.Boleh menusuk hidung lepas sembur.Tapi memang cukup berkesan untuk halau ulat beluncas ataupun rama-rama daripada bertelur kat daun pokok limau kita.Saya tak pasti samaada belalang pun suka makan daun limau pasal saya tak pernah nampak.Tapi kalau lama tak sembur racun memang ketara sangat kerosakkan yang dihadapi oleh pokok limau saya.

Racun Organik

Kalau kita susah nak dapatkan racun Malathion ini ataupun kita lebih suka kepada cara yang lebih organik, kita boleh membuat racun perosak kita sendiri.

Bahan-Bahan

1-Bawang putih
2-Serai
3-Cabai melaka
4-Minyak masak

Kita boleh blender campuran ni dengan nisbah 1:1:1/4 untuk bawang putih:serai:cabai melaka.Minyak pula kita boleh jek bubuh agak-agak tapi jangan terlalu likat.Campuran ni kita blender sampai lumat pastu kita tapis.Air campuran ni la kemudian kita masukkan ke dalam spray dan sembur kat pokok kita.Cara ni pun berkesan juga.Tapi saya lebih suka pakai racun perosak sahaja kerana malas nak blender dan perah campuran ni semua.Hehe.

Pembajaan

Pokok limau kasturi yang baru ditanam sepatutnya hanya diberi baja pengalak daun sahaja untuk memulihkan akar dan membanyakkan daunnya.Kalau tak silap kena bagi baja ni setiap 2 minggu sekali cukup sekadar 1 sudu teh.Kita kena bagi baja ni sampai lah umur pokok limau kasturi kita cukup 1 tahun.Lepas 1 tahun barulah kita bagi baja buah kat dia.Sukatannya pun sama iaitu 1 sudu teh 2 minggu sekali.


Air

Air adalah satu komponen yang amat penting untuk pembesaran pokok.Saya boleh melihat sendiri macam mana pokok saya bila musim hujan dan musim kemarau.Kalau musim hujan tu pokok nampak segar dan daun dia hijau-hijau ja.Bila musim kemarau nampak macam layu tak bermaya ja.Jadi cukup penting untuk jirus air 2 kali sehari sewaktu pagi dan petang.Kalau musim hujan kita boleh berhenti menjirus air.


Oleh itu, untuk mendapatkan pokok limau kasturi yang sihat dan mengeluarkan hasil yang memberangsangkan semua faktor di atas amatlah penting iaitu tanah,racun perosak,baja dan air.4 elemen ini adalah penentu kepada kesihatan pokok limau kasturi kita.

Wassalam.

Thursday, 26 March 2015

Kucai Oh Kucai

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin bercerita tentang hobi baru saya iaitu menanam kucai.Kucai ni sebenarnya jenis tanaman macam bawang.Maknanya cara pembiakan dia adalah dengan melalui penduaan bawang tersebut.Senang paham mula-mula kita tanam 1 ja bawang kucai tapi bila dah lama-lama bawang kucai tu akan bercambah menjadi 2.Jadi dapatlah 2 bawang kucai.Proses ini akan berterusan sampailah penuh pasu atau beg poli kita tu dengan kucai.Apabila sampai tahap yang macam ni kita perlulah mengubah bawang kucai ke tempat baru untuk proses percambahan berterusan.




Saya pernah mencuba untuk menanam kucai melalui tanaman biji benih tetapi setelah 3 kali mencuba semuanya gagal.Mungkin ilmu saya untuk menanam melalui biji benih masih belum cukup kerana ada seorang makcik kat kampung saya cakap dia tanam senang sahaja.Tabur saja mesti tumbuh punya.Dia cakap dia menggunakan tanah campuran tanah elektrik + tanah bakar + baja tahi arnab.Saya sendiri pun masih belum cuba untuk tanam mengikut petua makcik ni.Jadi kalau sahabat semua hendak mencuba apa salahnya.Syabas saya ucapkan kalau sahabat semua boleh menanam kucai menggunakan biji benih.

Oleh kerana gagal menanam menggunakan biji benih, saya mengambil keputusan untuk menanamnya melalui benih kucai iaitu bawang.Mak Tam saya yang berada di Bakar Kapur, Seberang Prai adalah insan pertama yang memberi benih kucai kepada saya.Kalau tengok dalam gambar kat atas, benih pertama saya adalah yang dalam bekas orang ceduk simen tu.Benih ni saya dapat tahun lepas lagi dan pada mulanya memang la subur dengan kucai tapi selepas kemarau melanda negara kita pada bulan 4 tahun lepas ia mula sedikit demi sedikit menyusut.Di tambah pula dengan keadaan saya yang sibuk kerja dan berniaga membuatkan saya tidak ada masa untuk menjirusnya sewaktu kemarau.Tapi walaupun saya ingat 3 bulan tidak jirus dengan air, kucai ini cukup tahan lasak dan masih hidup sehingga ke hari ini.Yang sebelah lagi tu (dalam pasu hitam) adalah benih yang saya telah ubah untuk dicambahkan.Setiap pagi saya jirus dengan air dan hasilnya saya boleh melihat anak-anak kucai mula tumbuh di tepi rumpun yang telah saya ubah tu.Sebenarnya, kalau nak diikutkan hendak makan kucai memang dah tak larat dah nak makan dengan adanya 2 pasu kucai tu.Tapi memandangkan saya mempunyai perancangan untuk membekalkan sayur kucai kepada kedai pasar borong di Taman saya, saya telah membeli 5 beg poli benih kucai sebagai permulaan.



Saya membeli 5 rumpun kucai ini dengan harga RM20 dari adik beradik saya juga di Bakar Kapur.Sebenarnya Mak Tam saya juga membeli benih pertama kucai darinya.Isteri saya yang membelinya apabila dia balik ke kampungnya di Penaga.Saya bercadang untuk membeli lagi 95 beg untuk mencukupkan jumlahnya menjadi 100 beg.Baru-baru ini saya telah pun menuai kucai ini dan mendapat hasil sebanyak 1/2 kilo.Jadi saya membuat andaikan ataupun pengiraan kasar, jika saya mempunyai 100 beg benih kucai hasil yang akan saya perolehi adalah (1/2kg/5) x 100 = 10kg.Kucai yang saya telah tuai saya jual kepada kedai borong dengan harga RM3.50 sekilo.Jadi dapatlah RM 1.80 untuk dimasukkan ke dalam tabung anak-anak saya.

Contoh pengiraan Return Of Investment (ROI)

Modal= RM4 /pc

Jumlah Modal = RM4 x 100 beg
                        = RM400

Hasil = 10kg x RM3.5
         = RM35/tuai

Balik modal = RM400/RM35 
                    = 12 kali tuai

Jadi  (12 kali tuai hasil x 20 hari (tempoh matang) )/ 30 = 8 bulan


Kesimpulannya, 8 bulan adalah masa yang saya perlukan untuk mendapat balik modal saya.Ini adalah pengiraan kasar dan masih belum termasuk dengan kos baja dan air.Sebenarnya, saya cukup teruja dengan cerita Aziran pasal pak sedara dia yang hidup sebagai usahawan kucai yang berjaya.Hasilnya setiap hari adalah RM60 sehingga dengan hasil kucai boleh membawanya setiap tahun ke Tanah Suci.Saya tidak lah dapat menjadikan kucai sebagai pendapatan utama kerana terikat dengan kerja makan gaji.Jadi cukuplah saya menjadikan kucai sebagai hobi dan hasil sampingan sahaja.

Wassalam

Thursday, 26 February 2015

Cara-Cara Menanam Pokok Limau Kasturi

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang cara-cara untuk menanam pokok limau kasturi.Kawan-kawan yang mengenali diri saya sudah tentu akan mengatakan bahawa saya tidak akan membuat sesuatu tanpa sebab dan alasan.Jadi alasan saya menanam pokok limau kasturi adalah kerana saya suka makan air limau asam boi dan jualan buah limau kasturi juga amatlah mengalakkan.Kalau tak silap saya harga semasa sekarang adalah sekilo RM12.Sebenarnya sudah 6 bulan saya menanam pokok ini dan selepas melihat pokok kasturi ini hidup subur barulah saya teringin untuk share macam mana saya tanam pokok ni.Takkan la nak share kalau saya tanam pastu mati pulak kan.

Masalah Tanah

Tanah di halaman rumah saya memang terdiri daripada tanah lektrik yang keras.Kalau diikutkan memang tak sesuai langsung untuk menanam apa-apa jenis pokok pun.Tanah yang paling sesuai adalah tanah jenis gambut.Jadi ilmu yang saya nak share ini adalah macam mana nak tanam pokok di atas tanah yang tidak sesuai langsung untuk tanaman.

Langkah-langkah menanam

1-Beli anak pokok limau kasturi yang berharga RM6 sepokok dari nurseri.

2-Beli tanah hitam satu beg daripada nurseri ataupun pasaraya.

3-Korek lubang jarak 1 kaki keliling tanah dalam plastik beg hitam dan sedalam 1 kaki.

4-Masukkan dahulu tanah hitam ke dalam lubang yang telah digali kedalam lubang yang kita dah korek tu.Masa saya mengorek lubang ni teruk juga la pasal tanah keras.

5-Barulah tanam pokok limau kasturi dan tutup dengan tanah yang kita korek tu.

6-Siram dengan air setiap hari 2 kali pada waktu awal pagi dan petang.

Cara menanam ini bolehlah diibaratkan seperti kita menanam dalam pasu tanah.tanah yang keras tu seperti pasu dan kita masukkan tanah hitam sebagai medium pembesaran pokok.Anak pokok yang dibiak dalam plastik hitam membuatkan akarnya mengikut bentuk plastik hitam sahaja.Bila kita tanam dalam tanah barulah akarnya merebak.

Pokok akan cepat mati bila akarnya tidak dapat merebak dengan baik iaitu akar gambut susah untuk menembusi tanah yang keras.Jadi akarnya akan merebak ke dalam tanah hitam yang kita isi dahulu dan memberi masa untuk pokok itu membesar.Apabila pokok sudah membesar, tiada masalah untuk akarnya menembusi dinding tanah lektrik yang keras.Cara ini juga dapat membuatkan air bertakung di dalam pasu tanah dan memberi kelembapan yang lama untuk pembesaran pokok.

Wassalam.

Monday, 16 February 2015

Cara-Cara Menanam Serai

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada mulanya, saya berkira yang menanam serai ni adalah mudah sahaja dan sesiapa sahaja boleh menanamnya.Tapi selepas jiran saya sendiri bertanya macam mana nak tanam sedangkan dia sudah 2 kali tanam tapi tidak berjaya membuatkan saya perlu menulis cara-cara yang betul untuk menanam serai.Kita sebagai masyarakat Melayu sebenarnya telah pun menjadi darah daging kita dalam ilmu tanaman dan ternakan.Tetapi dengan lahirnya generasi Melayu sekarang yang hanya tahu membeli tapi tidak tahu menanam membuatkan menanam serai adalah susah.Tapi tak mengapa, jangan risau.Saya akan menerangkan cara-cara untuk menanamnya dengan terperinci mengikut pengalaman saya.

1-Mendapatkan anak benih

Kita boleh mendapatkan anak benih daripada pasar tani atau kedai-kedai runcit sahaja.Sebelum beli rancang dahulu berapa rumpun kita nak tanam.Contohnya kalau nak buat 10 rumpun, setiap rumpun kita letak 5 anak benih.Jadi kita kena beli 50 batang serai sebagai anak benih kita.Kita juga boleh memilih mahu menanam serai peha ayam ataupun serai kampung.Saya menanam serai peha ayam di halaman rumah saya.

2-Merendam anak benih dalam air

Saya pernah mencuba tanam terus benih serai ke tanah tapi ada yang hidup dan ada yang mati.Selalunya benih yang kita beli dari pasar tani telah dibersihkan dan tiada akar membuatkan anak benih kita susah nak hidup.Jadi kita perlu merendam semua benih kita dalam jag air.Kenapa perlu dalam jag air?Kerana jag air dibuat daripada kaca dan lutsinar.Jadi kita boleh melihat takat air yang kita masukkan ke dalam jag.Nak pakai jag plastik pun boleh asalkan lutsinar.Kita tegakkan semua benih serai dalam jag dan masukkan air cukup setakat sampai perut anak benih serai sahaja.Kebiasannya akar benih anak serai akan tumbuh selepas 4 hari kita merendamnya.

3-Menyediakan tanah untuk tanaman serai

Serai memerlukan tanah yang sedikit padat untuk membolehkan anak benih berdiri tegak dan tidak mudah tumbang.Tanah yang baik adalah campuran tanah lektrik / tanam merah dengan tanah bakaran sampah.Jangan guna tanah hitam yang kita beli dari nurseri pokok atau pasar raya tu.Tanah tu jenis poros dan tidak dapat menyokong anak benih serai.Buatlah 10 longgok tanah dengan jarak 3x3 kaki sebagai jarak minimum.Nak jarak yang lebih besar pun ok.

4-Menyiram air ke longgokan tanah

Kita perlu menyiram longgokan tanah terlebih dahulu sebelum kita menanam anak benih supaya tanah longgok ini menjadi lembut dan sedikit melekit-lekit.Ini penting untuk memastikan anak benih boleh ditanam dengan elok dan sebagai medium untuk serai mengeluarkan daun.Pastikan longgokkan tanah ini kita jadikan seperti doh dan diletakkan di atas tanah.Tanam serai tidak memerlukan kita mencangkul tanah atau mengoreknya.Cukup sekadar letakkan longgokan tanah sahaja.Kalau tanah di rumah kita jenis tanah yang keras, barulah kita mencangkul sedikit untuk melembutkannya.Kita juga boleh menanamnya dengan membuat batas-batas.Nak tanam dalam pasu pun boleh.


5-Menanam benih serai ke longgokan tanah atau batas.

Ini adalah satu proses yang amat penting.Pastikan kita menanam serai dengan kedalamannya cukup sekadar tenggelam akar sahaja dan bukannya sampai habis perut serai.Serai akan mati jika kita menanam dengan terlalu dalam menyebabkan anak serai susah nak tumbuh keluar dari benih serai.Yang akan hidup adalah anak serai yang akan keluar daripada benih serai dan bukannya benih serai itu sendiri yang akan tumbuh.Kita boleh menanam benih itu secara menegak ataupun serong.Jika kita tanam menegak, nanti di tengah rumpun serai kita akan ada lompang kerana benih serai akan mati.Yang akan hidup hanyalah anak serai yang keluar daripada benih sahaja.Sebab itu tanah yang padat dan melekit amat pentng untuk menampung berat benih serai supaya tidak tumbang kerana kita tidak tanam serai dengan dalam.Cukup sekadar tengelam akar di bawah perut serai sahaja.Lagi banyak benih serai yang kita letak, lagi besar rumpun serai yang akan jadi.Sebab itu kita boleh meletakkan lebih daripada 5 anak benih pada setiap longgokan tanah.

6-Kekerapan menjirus air.

Kita perlu menjirus sekurang-kurangnnya 2 kali sehari iaitu semasa awal pagi dan petang untuk memastikan serai kita tumbuh dengan sihat dan cepat.Selepas 7 hari barulah kita boleh mengurangkan siraman air kepada 1 kali sehari.Pastikan sewaktu menyiram, anak benih tidak tumbang daripada tanah.

7-Pembajaan

Serai yang saya tanam tidak menggunakan apa-apa baja.Tapi kalau nak guna bolehlah guna baja pengalak daun sahaja.Belilah apa-apa sahaja jenis baja tapi baja yang terbaik adalah baja yang bersifat larutan dan bukannya baja yang berbentuk pepejal atau pun butiran.Baja dalam bentuk larutan lebih mudah diserap oleh serai berbanding butiran.

8-Pantang larang serai

Jangan sesekali kita mengerat rumpun daun serai sewaktu serai dalam proses pembesaran.Kadang-kadang orang kita lebih suka mengerat daunnya supaya nampak cantik dan tidak semak.Tetapi akibatnya membuatkan serai kita tumbuh melidi dan tidak gemuk kerana serai akan menggunakan tenaganya untuk kembali menumbuhkan daun.Biarkan sahaja rumpun serai membesar dan menjadi semak sehinggalah sampai masa untuk kita menuainya.Kita boleh menuainya apabila melihat daunnya sudah bertukar menjadi hijau tua dan kasar.Batang-batangnya juga sudah besar dan gemuk-gemuk.

9-Cara menuai serai

Pastikan kita memakai baju lengan panjang,seluar panjang,kasut bertutup dan sarung tangan jenis kain sewaktu mahu menuai serai.Ini adalah untuk mengelakkan kita mendapat miang daripada daun serai.Kita juga mahu mengelak daripada mendapat luka kerana daun serai ini tajam.Kita mulakan menuai dengan mengerat semua daun yang ada di rumpun serai.Kita boleh menggunakan pisau ataupun gunting.Selepas kita ketepikan daunnya, barulah senang untuk kita mencangkul rumpun serai itu.Kita cangkul rumpun serai biar keluar serumpun terus.Sebenarnya tidak teruk pun nak cangkul rumpun serai ni kerana serai tidak tumbuh dalam.Ia tumbuh hanya sekadar di permukaan tanah sahaja.Dari rumpun serai inilah kita asingkan setiap batang serai dengan menggunakan pisau.


10-Mengasingkan serai

Dalam satu rumpun serai pasti ada batang serai yang gemuk, yang masih muda dan batang yang kurus melidi.Kita kena asingkan serai yang gemuk dan serai yang kurus ni.Serai yang gemuk bolehlah kita jualnya di pasar tani ataupun pasar borong.Harga bagi sekilo serai di tempat saya adalah RM2.00 sekilo.Jika kita menjualnya sendiri di pasar tani, harganya dikira menggunakan batang.I batang kalau tak silap RM10 sen hingga RM20 sen.Satu rumpun serai kita boleh dapat dari 1kg hingga 2 kg serai.Bergantung kepada baja dan air yang kita beri kepada serai kita.Serai yang kurus melidi jangan la pula kita buang.Kita boleh menggunakannya untuk projek tanaman serai fasa 2 pula.Jadi kita hanya perlu beli benih sekali sahaja seumur hidup.Benih serai untuk kali kedua tanaman dan seterusnya hanya menggunakan benih dari rumpun serai itu sendiri.

11-Benih daripada rumpun serai

Benih yang kita ambil daripada rumpun serai tidak perlu lagi kita merendamnya dengan air kerana sudah mempunyai akar.Jadi kita boleh tanam terus ke tanah dengan mengikut sahaja dari langkah 3 hingga seterusnya.Jadi langkah ini akan berterusan sehinggalah kita tengok serai pun sudah muak.

Saya berharap ilmu yang saya kongsi ini boleh memberi manfaat kepada sahabat semua.Walaupun ia hanya sekadar serai tetapi sebenarnya sudah ramai yang berjaya meraih pendapatan yang lumayan melaluinya.Setakat artikel ini ditulis, tidak pernah lagi mana-mana peruncit atau pemborong yang akan menolak untuk membeli serai saya walaupun serai yang saya mahu jual hanyalah sekadar 1kg dan ditanam dihalaman rumah sahaja.Serai amat penting dalam kehidupan saya kerana saya suka makan tomyam,ikan masak stim,sate dan buat bbq ayam.Semuanya amatlah memerlukan serai.

Wassalam.

Tuesday, 14 January 2014

Hobi Menanam Dan Menternak

Assalamualaikum sahabat semua,

Untuk posting saya pada kali ini, saya akan bercerita tentang hobi saya yang suka menanam pokok-pokok dan menternak.Sebenarnya, dalam 4 tahun yang lepas memang saya tidak berminat pun dengan pokok-pokok ni semua.Apa yang tumbuh kat laman rumah dan belakang rumah hanyalah rumput dan lalang sahaja.Bila dah naik sampai paras lutut barulah saya racun dan kemudian 2 bulan lepas tu naik balik sampai paras lutut.Pastu racun lagi.Jadi saya dapat rasakan yang kitaran meracun dan membiarkan tanah terbiar ditumbuhi lalang ni adalah satu kitaran yang sia-sia tanpa memberi satu faedah pun kepada saya.Apa yang saya nampak hanyalah saya perlu mengeluarkan duit untuk membeli racun yang tidaklah murah tu.


Atas dasar nak berbudi kepada tanah saya bermula dengan mencari cara-cara untuk menanam sayur dalam internet.Semua jenis sayur saya baca dan cuba dalami ilmu tentangnya.Akhirnya saya memilih untuk bermula dengan bendi kerana dikatakan bendi ni senang tumbuh dan dijaga.Saya pun belilah benih bendi yang berharga RM1 ja.Dengan adanya bekas plastik yang saya dapat apabila membeli aiskrim, saya isikan tanah yang datang dari bahan bakaran dan longkang sebagai medium semaian.Dalam masa yang sama saya juga mencangkul tanah untuk buat batas.Dalam masa 7 hari, tunas bendi mula tumbuh dan sedia untuk dipindahkan ke batas yang saya telah buat.Saya memilih benih yang lebih cepat pembesarannya berbanding yang lain.Jadi dapatlah dalam 10 pokok bendi.Hari-hari saya siram dan akhirnya dalam masa 3 bulan lebih bendi saya mula mengeluarkan hasil.Dan akhirnya sampai setiap hari saya perlu memetik buah bendi untuk dijadikan ulam ataupun dimasukkan ke dalam gulai.Memang tak larat sangat nak makan bendi time tu sehingga saya hanya sedekahan kepada mak di kampung.Saya juga ada semawa jiran-jiran tapi mungkin mereka segan nak minta.Tapi dari pengalaman saya, memang tak larat makan punya bila dah start berbuah.


Kemudian, saya pun mulalah semai sayur yang lain seperti kacang panjang,kacang buncis dan petola.Tapi pada masa tu yang tumbuh hanyalah kacang panjang sahaja.Saya pun tanam la tunas kacang panjang ni dekat dengan pagar belakang rumah.Pastu mula la dia memanjat sampai penuh satu pagar tu.Belalang kunyit punyalah banyak dok mai makan daun dia.Kadang-kadang ada juga saya tangkap belalang tu dan goreng.Sapa yang pernah makan belalang ni tau la betapa sedapnya belalang ni.Tapi saya pada masa tu masih lagi tidak tahu mengunakan racun.Bila lama-lama dalam 2 bulan kutip hasil, ada binatang apa ntah datang merosakkan daun dia dan batang dan akhirnya pokok kacang panjang saya pun mati.Ini adalah pengalaman saya yang lalu dalam menanam pokok dan sayuran.


Sekarang saya mempunyai pokok petola,pokok limau kasturi, pokok serai, pokok kesum, pokok selom, pokok semamaq, pokok belalai gajah, pokok cabai, pokok limau purut, pokok kucai, pokok kari dan beberapa pokok hiasan.Kebanyakkan pokok hiasan saya beli dari nurseri dan ada juga yang saya dapatkan dari Mak Teh.Dari pengalaman saya, saya dah cuba banyak kali untuk semai pokok kari kat dalam pasu tapi tak pernah berjaya.Mesti mampus punya.Akhirnya saya terus cangkul tanah yang ada anak pokok kari tu lebih kurang 1 kaki pastu terus tanam bersama tanah kebun yang saya beli kat nurseri.Mula-mula memang la pokok kari tu macam nak mati jek, tapi bila akarnya dah merebak ke tanah kebun tu dia mula sihat dan membesar.Tapi masalah daun kari ni bila tumbuh daun muda ulat suka sangat mai makan.Jadi terpaksalah saya menyembur racun kepada pokok ni untuk elakkan pokok kari ni tinggal batang sahaja.Sekarang, pokok kari ni dah pun membesar dan hidup subur dalam pasu.

Saya juga mempunyai masalah untuk meyemai benih kucai.Pula la dah banyak kali saya semai melalui biji benih tapi tak pernah pun tumbuh.Akhirnya, saya telah meminta benih kucai yang dah tumbuh dari Mak Tam.Sekarang, memang tak larat pun nak makan kucai ni.Asal potong jek tumbuh lagi.Asal tumbuh jek mesti kena potong.Sebab itu saya ibaratkan pendapatan pasif ni seperti menanam kucai.Memang payah nak tumbuhkan pokok kucai ni.Tapi sekali dah tumbuh, kita boleh makan kucai hingga akhir hayat kita.Samalah seperti kita nak beli rumah banyak-banyak.Memang la susah dan lambat sikit prosesnya, tapi sekali dah mempunyai 10 biji rumah sewa makanlah hasil sewa tu sampai ke akhir hayat kita.Kalau kita wasiatkan kepada anak kita, dia juga boleh makan hasil sewa ni sampai akhir hayat dia juga.Sebenarnya, ada juga kawan-kawan sekerja yang menjadikan tanaman kucai ni sebagai bahan jenaka selepas keluarnya posting yang sebelum ni berkenaan kucai.Tapi kenapa kucai ni dekat dengan diri saya?

Ceritanya bermula apabila saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (JENAN) masa form 4.Ada seorang cikgu ni bila ada ja assembly dia mesti bagi contoh tentang cina tanam kucai yang rumahnya dekat ja dengan sekolah.Rumah cina ni memang la buruk jek tapi pendapatan harian dia hanyalah dengan menanam kucai sahaja.Tetapi, hasil daripada kucai inilah ramai anak-anak dia yang dah berjaya dalam pelajaran dan menjadi pekerja professional.Sebenarnya, cina ni boleh ja hidup mewah dengan hasil pemberian anaknya tapi dia masih tetap memilih untuk menjual kucai sampai la sekarang.Saya pun tak pasti dia masih hidup ke tidak tapi bila saya lalu depan sekolah saya lihat kebun kucainya masih ada dan terjaga.Dari cerita ini saya belajar cina ni masih lagi menanam kucai kerana minat dan hobinya.Jadi kenapa dia perlu berhenti menanam dan memotong kucai kan.Oleh itu, buatlah bisnes yang kita minat dan jadikanlah business kita sebagai hobi.Insyaallah, kita takkan mudah untuk gulung tikar kerana kita buat benda tu dengan minat dan penuh semangat.

Untuk penmternakan pula sebenarnya tak la susah sangat nak membela puyuh,ayam kampung,arnab ni semua.Tapi masalah yang saya hadapi adalah saya perlu memberi 100% tumpuan kepada mereka.Kena jenguk hari-hari dan beri makan ikut waktunya.Buat masa sekarang saya hanya membela arnab sahaja.Segala rumput-rumput yang tumbuh meliar kat belakang rumah saya bagilah arnab ni makan.Pastu saya kutip la baja tahi arnab ni dan bubuh pada pokok saya supaya subur membesar.Jadi sekarang sahabat semua faham tak tentang kitaran yang sia-sia sebelum ni telah saya tukarkan kepada kitaran yang memberi manfaat.

lalang/rumput ===> arnab ===> baja tahi arnab ===> pokok/sayuran ===> makanan saya

Kesimpulannya, kenapa saya berminat dengan bidang ni semua iaitu pertanian dan penternakan?Saya bercita-cita untuk hidup dalam suasana kampung apabila saya telah mencapai financial free nanti.Saya meletakkan target yang saya akan mencapai financial free masa umur saya 50 tahun.Pada waktu ini, cukuplah jika saya mempunyai sebidang tanah dalam 2 relong, sebiji rumah banglo dan kawasan rumah yang dipenuhi dengan tanaman sayur dan binatang ternakan.Yang paling penting saya perlukan satu kolam ikan yang boleh saya habiskan masa saya untuk memancing.Kerja saya seharian hanyalah melihat binatang ternakan, sayur, memancing dan melepak di masjid sahaja.Saya tidak merancang untuk berkerja sampai ke tua.Jadi pada masa sekarang lah saya belajar menanam dan menternak.Takkan la bila dah umur 50 baru nak belajar kot.Mungkin minat ini turun dari Tokwan saya juga yang dahulunya seorang tukang kebun sekolah.Sebenarnya terlalu banyak ilmu Tokwan saya tu dari pada ilmu menanam, silat dan dukun.Tapi tiada satu pun ilmunya yang benar-benar saya dapat kuasai.Kalau ikut tokwan punya ajaran punyalah banyak pantang larang nak menanam sampaikan perlu kena dengan hari, masa, tarikh dan petua-petua orang tua yang kena saya ikut.Heheh.Tapi saya memilih untuk menggunakan teknik moden sahaja.

Wassalam.