Showing posts with label Faraid. Show all posts
Showing posts with label Faraid. Show all posts

Wednesday, 12 February 2020

Cara-cara untuk dapatkan geran rumah yang telah habis bayar dari pihak bank

Assalamualaikum sahabat semua.

Korang mesti perasan kan yang aku sekarang ni tengah dok selesaikan masalah faraid harta arwah abah aku yang tertunggak sejak tahun 1996 lagi.Cerita panjang dia korang boleh belek balik dalam group faraid.

Sejak arwah abah aku meninggal arwah mak yang bayar kat bank menggunakan duit Socso,duit sewa bulanan yang penyewa duduk rumah tu atau duit dia berniaga kedai makan.Kemudian bila arwah mak meninggal aku dan adik aku pula yang bayar sehinggalah hari ni telah selesai semua hutang rumah tersebut kepada pihak Hong Leong Bank.Kalau ikut logik loan bermula tahun 1990 dan ambik pinjaman untuk 30 tahun jadi tahun 2020 adalah tahunnya rumah itu tamat pinjaman daripada pihak bank.Sekarang saya akan share macam mana nak dapatkan geran rumah dari pihak bank sedangkan geran asal masih nama si mati.

Cara-caranya seperti berikut.Yang pertama sekali korang mesti dapatkan Surat Perintah dari Pusaka Kecil untuk mengesahkan yang korang adalah kepala kuasa yang dilantik untuk mentadbir harta si mati.Bank perlukan surat perintah ini untuk sebagai pengesahan supaya apa saja maklumat sensitif seperti baki pinjaman dan sebagainya dapat diberikan kepada kita.Bank bukanlah satu institusi yang dengan mudah kita boleh dapatkan maklumat sensitif akaun orang lain walaupun orang itu adalah abah kita sendiri.Jadi bila ada Surat Perintah,tiada apa-apa masalah untuk kita dapatkan maklumat sensitif berkenaan akaun si mati dengan pihak bank.

Bila pergi ke bank tunjukkan Surat Perintah yang original dan bagitau kata nak buat full settlement rumah.Dia akan check dengan HQ kat KL berapakah jumlah baki yang perlu diselesaikan oleh kita untuk menutup akaun itu dan membolehkan kita mendapat geran.Macam kes aku jumlah baki untuk full settlement adalah RM342.01 sahaja.Jadi aku pun ambil duit dalam ASB dan bayarlah jumlah tu.Bank Hong Leong cawangan Kulim akan hantar surat kepada HQ untuk minta geran dari simpanan mereka kat HQ Kuala Lumpur la.

Ok.Sebelum bank nak bagi geran kat kita, kita kena lantik seorang lawyer untuk urusan pelepasan gadaian daripada pihak bank.Lawyer inilah yang akan uruskan dengan pihak bank untuk dapatkan geran bagi pihak kita.Kalau nak buat sendiri pun boleh kos dia hanya RM 100 sahaja seperti yang aku baca.Tapi dah pasal aku takde masa untuk uruskan dan bayaran kepada lawyer juga hanya RM 700 jadi aku guna jela khidmat Zarul untuk settlekan bagi pihak aku.Kat bawah ni aku masukkan name card Zarul yang tolong aku selesaikan masalah faraid rumah arwah abah aku ni.



Jadi,sekarang ni aku tunggu jela lawyer aku selesaikan masalah aku ni.

Wassalam.



Sunday, 9 February 2020

Cara-cara menyelesaikan atau membuat faraid 3

Assalamualaikum sahabat semua.

Kita sambung lagi berkenaan macam mana nak selesaikan masalah faraid dekat pusaka kecil.Kat bawah ni aku bagi langkah-langkah dia.

1-Senaraikan dahulu semua kereta,motor,rumah dan tanah yang dalam geran ada nama si mati.

2-Senaraikan atau buat carta semua waris yang ada kaitan dengan si mati.Paling penting ibu bapa,isteri atau suami dan anak-anak.Minta tolong ustaz senaraikan kalau tak berapa faham pasal waris ni.Pasal kes berbeza mengikut individu.

3-Dah semua selesai korang ikut langkah kat bawah ni.Sekarang ni semua online sahaja tak macam dulu lagi.Sebab tu kepala kuasa kena orang yang bijak dan boleh guna semua gajet sekarang ni.Kalau nak buka laman web pun tak reti susah sikit la kepala kuasa tu.

a-Log masuk https://www.jkptg.gov.my/ms/online

b-Daftar akaun baru atau new user.

c-Lengkapkan permohonan untuk pendaftaran tu.Macam-macam la dia tanya sebab tu lebih senang isi kalau semua maklumat ada kat sebelah kita ja.

d-Cetak borang A/borang P.Borang A yang kita cetak ni adalah maklumat yang kita masukkan.Dulu borang A ni kena isi pakai borang.Sekarang isi online dan cetak sahaja.

e-Ambik tandatangan pesuruhjaya Sumpah atau Majistret.Hampa Google la kat tempat hampa kat mana pesuruhjaya sumpah yang dekat.Macam aku dulu buat kat Kulim.Kena bayar cop dia RM5.

f-Hantar permohonan ke Unit Pusaka Kecil Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian.Hampa search ja goggle map kat mana ikut tempat hampa.Kat Kedah ni tentulah di Anak Bukit, Wisma Persekutuan.

4-Nak hantar permohonan ni kena bawak banyak lagi salinan yang nak kena bagi sekali dengan borang A.Senarai dia kat bawah.

a-Borang A yang telah lengkap dan ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah atau majistret.

b-Bukti kematian - salinan sijil kematian/cabutan sijil kematian dari Jabatan Pendaftaran Negara/perintah anggapan kematian dari mahkamah tinggi (untuk kes mati ghaib dalam laut ka)

c-Salinan kad pengenalan pemohon diwajibkan (muka depan dan belakang).Ni kira salinan IC kepala kuasa la.Atau bahasa lembut sikit pentadbir harta pusaka sementara.

d-Salinan kad pengenalan semua waris yang ada dalam carta yang hampa buat awal-awal tu.Salinan IC muka depan dan belakang.Salinan sijil kelahiran untuk waris yang berumur bawah 12 tahun.

e-Salinan sijil nikah/sijil perkahwinan si mati.Kalau si mati ada 4 bini semua jadi 4 salinan la.Hehe.

f-2 salinan hak milik geran.Kalau geran takde kena buat carian dulu kat pejabat tanah.Kalau geran ada kat bank boleh guna S&P masa awal-awal sign beli rumah tu.Sebab tu S&P tu dokumen penting kena simpan.Kalau kereta atau motor bagi salinan geran kereta dan motor la.

g-2 salinan carian persendirian.Yang ni kena pi pejabat tanah.Bayaran RM75 kalau tak silap.Ingat-ingat lupa dah.Yang ni akan tunjukkan lot mana rumah atau tanah tu.

h-2 salinan surat perjanjian jual beli harta yang dituntut/rumah - jika harta tersebut masih belum mempunyai hakmilik.

g-Dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan si mati yang dimasukkan sebagai sebahagian dari tuntutan.Ni macam penyata kwsp,tabung haji kalau si mati tak letak penama la.Atau duit dalam saham ka, dalam bank atau apa-apa jela harta dalam negara dan luar negara Ismet ulam raja.

Dah lengkap semua sekali, hampa tunggu la dalam 6 hingga 12 bulan untuk pusaka kecil proses dan panggil untuk bicara.Hampa kena simpan no unik file kes hampa pasal kalau nak telefon tanya status ka depa akan tanya no unik tu.Pusaka kecil akan hantar Surat untuk bicara kat alamat hampa dan wajib bawak Surat panggilan bicara tu.

Selalunya, bicara akan diadakan di pejabat tanah terletaknya harta tu.Rumah pusaka kat Pendang jadi bicara pun kat Pendang lah.Masa hari bicara kena pastikan semua waris hadir masuk ke dalam bilik bicara tu.Kalau tak dapat hadir kena buat surat perwakilan diri pulak.

Dalam bilik bicara bukan macam bicara kat kandang mahkamah tu.Dalam bilik tu dia akan suruh angkat sumpah semua waris dan cerita salah silah keturunan supaya takde kes sembunyi waris atau saja tak masukkan waris yang lain.Kes ni banyak jadi kalau si mati kawin banyak bini la.Jadi ceritakan benda yang betul kemudian bila pegawai berpuas hati dia akan tanya ni semua setuju ka nak masukkan nama ke dalam geran seperti yang telah dipersetujui.Masa ni lah nak senang semua waris tolak bahagian masing-masing dan hanya masukkan nama seorang sahaja dalam geran.Maksudnya dalam geran hanya ada nama kepala kuasa sahaja.Ni kes kalau nak jual tanah atau rumah.Dah jual boleh dibahagikan duit mengikut faraid.Kalau tak nak jual,kalau ada 40 waris semua nama akan ada kat geran dengan bahagian masing-masing walaupun bahagian hanya 1 kaki persegi.

Macam tulah lebih kurang proses dia.Nak tukar nama kepala kuasa kena dapatkan Surat Dari pusaka kecil dan tukar kat pejabat tanah.Adalah lagi bayaran dia mengikut nilai tanah tu yang pusaka kecil akan cas dan pejabat tanah cas untuk keluarkan geran baru atas nama kepala kuasa.

Dah nama atas kepala kuasa janganlah kepala kuasa dok buat diam pulak.Pastu cakap harta tu la ni hak dia pasal nama dia saja kat dalam geran.Ha.kepala kuasa camni patut kena tembak saja dengan senapang gajah.Kepala kuasa akan jual tanah atau rumah dan bahagikan duit kepada semua waris yang ada mengikut nilai yang faraid tentukan.Jadi selesailah urusan faraid tu.

Tulis nampak macam senang ja tapi proses nak dapatkan dokumen,persetujuan bersama,waris yang ramai atau dok jauh memang mencabar mental dan fizikal.Jadi ikut nasib masing-masing lah.Ada kes yang senang dan ada kes yang susah.Kes yang susah ni pasal si mati dah mati lama sangat dah sampai ke waris yang nak dapat pangkat cicit dah.

Semoga coretan ini sedikit sebanyak menolong sahabat semua.

Wassalam.




Cara-cara menyelesaikan atau membuat faraid 2

Assalamualaikum sahabat semua.

Ok.Kita sambung lagi perbincangan kita mengenai urusan faraid ni.Aku ceritakan start dari si mati meninggal yek.Jadi baca pelan-pelan dan hadam pelan-pelan.Jangan gelojoh dan kalau tengah lapar pi makan nasi dulu yek.Haha.Saja gurau-gurau nak ambik mood untuk menulis pasal topik ni benda berat.

Ok.Apabila sahaja ada kematian ahli keluarga benda pertama sekali kena buat adalah pergi jumpa Tok Iman,tok Bilal atau sesiapa sahaja yang menguruskan kematian kat tempat masing-masing.Ada setengah ada khairat kematian kat tempat tu.Ada yang tok imam uruskan dengan ajk surau atau masjid dan ada jugak hanya orang kampung sahaja yang uruskan.Sebab tu duduk kat mana pun masjid dan surau kena pi berjemaah dan kenal mengenal antara jiran supaya ada hal kematian urusan jadi mudah.

Ada tempat kena beli sendiri kelengkapan mandi dan kapan.Ada jugak yang khairat kematian sediakan kemudian baru bayar kemudian.Bergantunglah kepada kawasan setempat cara depa macam mana.Dah bagitau tok Iman,sedara dan jiran,bila ada orang datang rumah tunggu mayat,waris kena buat 2 report iaitu report polis dan hospital kalau mati kat rumah.Polis akan keluarkan permit mengubur dan hospital akan keluarkan surat punca-punca kematian.Surat-surat ni penting untuk dapatkan sijil mati kat pejabat pendaftaran.

Lagi satu nak pesan,sebelum panggil jiran,saudara atau kenalan masuk rumah pastikan semua benda berharga kumpul dan kunci kat tempat yang selamat.Mesti akan ada barang hilang bila berlaku kematian.Masa arwah mak aku meninggal kerongsang batu dia pun boleh hilang.Duit syiling dalam bekas kecil-kecil buat habuan raya atau tukaran kat kedai makan yang arwah mak aku berniaga pun hilang jugak.Jadi dalam keadaan bersedih dan buntu pasti akan ada orang ambik kesempatan curi barang-barang dalam rumah.

Pendek cerita,dah selesai semua urusan pengkebumian,kalau boleh semua waris yang jauh jangan balik lagi ke rumah masing-masing.Tunggu dulu kat rumah si mati.Sebab tu kilang bagi cuti 1-3 hari kalau ada kematian.Benda pertama kena buat adalah lantik seorang waris untuk jadi kepala kuasa.Selalunya kepala kuasa adalah anak lelaki sulung si mati la.Boleh saja lantik orang lain kalau anak lelaki masih kecil atau takde anak lelaki.Tapi apa yang paling penting kepala kuasa mestilah bijak,jujur,amanah dan boleh selesaikan hal faraid ni dengan semua waris berpuas hati.

Harta si mati ni ada 2 jenis.Jenis pertama boleh terus bahagi macam pakaian si mati,jam,cincin,kelengkapan rumah atau barang kemas,duit ringgit yang tunai dan sebagainya.Yang ni boleh dibahagi terus mengikut persetujuan semua waris.Kalut suruh bahagi malam mati tu juga pasal senang nak bincang.Semua masih ada kat rumah si mati.Kalau dok tunggu tanah kubur hilang merah nanti nak kumpul susah tambah-tambah waris duduk merata tempat dan jauh-jauh.Harta ni boleh dibahagi ikut faraid atau persetujuan bersama saja.Cincin ni kat sapa,jam kat sapa.Sama juga dengan duit atau barang kemas.Tapi kalau ada wasiat dari si mati eloklah ditunaikan wasiat terlebih dahulu dengan syarat ada 2 orang saksi.Kalau takde saksi tak boleh pakai la pasal bab harta ni ada ja manusia yang suka nak bolot kat dia semua.Jenih ni hidup memang tak pikir tanah kubur la walaupun baru saja turun liang lahad pagi tadi atau baru saja lepas dengar talkin.Yang penting barang-barang ni semua boleh dibahagi ikut wasiat,faraid atau persetujuan bersama sahaja tanpa perlu melibatkan orang luar.

Dah selesai bahagi harta ni kepada semua waris sekarang barulah kena buat atau selesaikan harta yang tak boleh dibahagi sesuka hati seperti motor,kereta,tanah dan rumah.Nak letak nama waris kat geran kena buat urusan faraid atau mahkamah.Geran yang masih menggunakan nama si mati sapa pun tak boleh nak jual atau nak guna.Kalau kereta atau motor tak boleh bayar roadtax dan kalau tanah dan rumah pulak nak duduk pun kita dok makan hasil atas bahagian waris yang lain.Harta tu jadi haram untuk kita makan tambah-tambah harta anak-anak yatim.

Jadi kepala kuasa akan senaraikan semua harta macam motor,kereta,rumah dan tanah dan jugak segala duit yang ada dalam asb,kwsp,tabung haji dan bank untuk urusan faraid.Segala duit dalam bank ni kalau tahu no pin lagi senang la pasal terus boleh ambil tanpa perlukan surat perintah dari pusaka kecil.Ok.Kita sambung kat halaman seterusnya pulak.Ni pun dok menulis masa duduk dalam tren on the way nak pi ambik surat perintah kat Wisma Darul Aman la ni.Dari boring dok berdiri dalam tren berjam baik tulis pi la apa ilmu yang patut untuk share dengan semua kan.

Sambungannya kat sini

https://iqsha-gemilang.blogspot.com/2020/02/cara-cara-menyelesaikan-atau-membuat_84.html

Wassalam.

Cara-cara menyelesaikan atau membuat faraid 1

Assalamualaikum sahabat semua.

Pada kali ini aku nak share pengalaman aku menyelesaikan masalah faraid harta arwah abah aku yang dah lama tertunggak.Kenapa tertunggak lama.Ceritanya begini.

Arwah abah aku telah meninggal pada tahun 1996 lagi.Waktu tu aku masih sekolah rendah darjah 6.Tiada apa harta yang ditinggalkan melainkan hanya sebuah rumah taman kembar 2 di Pendang.Arwah abah aku dulu kerja chef kat atas resort Gunung Jerai.Jadi bila dia meninggal dapat lah duit KWSP dalam 15k dan pencen Socso untuk aku,adik dan mak aku sebulan RM600.Jadi kami hidup dengan duit tula pada masa tu dengan income mak aku bekerja kat gerai makan semalam RM15.

Masalahnya,bila arwah abah aku meninggal, rumah tu tak diinsurankan.Abah hanya masuk insuran kebakaran sahaja.Insurans nyawa dia tak ambik jadi bila abah meninggal mak masih tetap kena bayar rumah tu.Rumah tu kena bayar kat bank sebanyak RM210 sebulan.Abah beli rumah tu pada tahun 1990 dengan harga RM45k.Jadi mak la yang bayar setiap bulan sama ada guna duit Socso atau duit kerja dia.Jadi boleh bayangkanlah hidup aku waktu tu memang sempit.Sedangkan hidup aku masa arwah abah hidup agak mewah kerana gaji abah pada masa tu RM1500.Hidup zaman nasi lemak RM0.20 dengan gaji banyak tu boleh dikatakan agak senang la.

Kemudian,baru-baru ni arwah mak aku pulak meninggal pada tahun 2018 dan sepanjang mak aku meninggal aku dengan adik aku yang bayar rumah tu.Mulanya aku nak bayar lumsum kat bank dan ambik geran tapi bank tak bagi pasal aku takde surat perintah dari mahkamah atau dari pusaka kecil untuk melayakkan aku mentadbir harta tersebut.

Kemudian,bermulalah kerja-kerja aku ke Pejabat Pusaka Kecil kat Wisma Darul Aman Kedah untuk uruskan hal-hal berkaitan rumah ni.Nanti Aku ceritakan secara details apa yang perlu hampa buat untuk selesaikan faraid kat pusaka kecil.Kalau tak settle faraid,nama waris tak dapat dimasukkan ke dalam geran rumah dan rumah tu tak dapat dijual jika waris nak jual rumah tu untuk bahagikan bahagian faraid masing-masing.

Pada mulanya aku ni tak berapa faham bab faraid ni.Aku ingatkan rumah tu hanya milik aku dan adik aku sahaja.Sekali pi bicara kat pusaka kecil di pejabat tanah Pendang mulalah sangkut pasal arwah tok aku iaitu ibu arwah abah aku masih hidup masa arwah meninggal.Bila nak bicara kena angkat sumpah jadi kena cerita benda yang betul la.Jangan menipu nanti kalau kita makan harta yang bukan milik kita hampa tau sendirilah hukum dia macam mana dan mati nanti tempat dia kat mana kan.

Jadi pada masa tu gagallah urusan nak masukkan nama aku dan adik aku dalam geran.Geran jugak masih lagi ada kat bank dengan baki hutang ada lagi dalam RM4k.Dari situ barulah aku belajar bab faraid.Bahagian tok aku 1/6.Bahagian mak aku 1/8 dan aku dengan adik lelaki aku 7/8.Masalahnya tok aku telah mati.Mak aku telah mati dan selepas abah aku mati mak aku berkahwin lagi dengan ayah aku Yusoff dan ada dapat anak nama iskandar.Jadi sekarang rumah sebijik tu perlu dibahagikan kepada pak-pak dan mak menakan aku seramai 4 orang kerana depa dapat bahagian tok aku.Ada pulak 2 orang yang dah meninggal iaitu pak ngah dan maksu.Bahagian depa yang dah meninggal dapat pulak kat anak-anak depa.Kira semua waris akan dapat bahagian 1/6 tok aku tu.Belah bahagian mak aku pulak akan dapat balik kat aku,adik,iskandar dan ayah tiri aku.Kemudian 7/8 akan dikongsikan antara aku dan adik aku.Kompleks bukan cerita bahagian faraid ni.

Sebab tulah ustaz-ustaz dok pesan bab faraid ni kena buat masa kubur dok merah lagi.Kalau ada waris yang mati selepas tu jenuh list nama anak-anak dia.Tapi aku tak salahkan arwah mak aku pasal rumah tu masih belum habis bayar dan kalau nak jual rumah untuk selesaikan faraid tok aku,kami ni nak pi hidup kat mana kan.Jadi sekarang ni, adalah menjadi tanggungjawab aku untuk selesaikan masalah ni supaya arwah abah dan mak tenang di dalam kubur.

Atas nasihat pegawai pusaka kecil,dia syorkan aku ambil lawyer untuk selesaikan masalah ni.Kalau nak turun bicara semua sekali rasanya adalah dalam 17 orang waris semua.Jenuh semua nak turun bagi komitment kan.Jadi bila sembang-sembang dengan kawan aku Azni,dia pun bagitau ada sorang kawan dia nama Zarul yang kerja dia uruskan bab-bab faraid ni.Zarul bukanlah peguam tapi dia arif bab selok belok menyelesaikan masalah faraid dan sudah banyak kes yang komplek dapat dia selesaikan.Cerita faraid ni takkan sama mengikut kes.Kes aku macam ni dan confirm kes hampa jugak akan berbeza.Jadi aku pun gunalah khidmat Zarul ni untuk selesaikan masalah faraid ni dengan bayaran RM4k.Dia akan minta deposit dahulu RM1k untuk buka fail kes.

Kemudian,bermulalah kerja-kerja aku mengumpul semua dokumen penting semua waris-waris.Hubungan aku dengan semua waris adalah baik dan tiada masalah untuk aku dapatkan kerjasama untuk dapatkan salinan surat beranak,salinan IC,salinan sijil mati dan salinan sijil nikah.Yang mana takde salinan atau hilang aku minta depa buat kat pejabat pendaftaran dan aku sendiri jugak 2 kali ke pejabat pendaftaran untuk dapatkan salinan surat beranak arwah mak aku dan sijil mati tok belah mak aku.Semua salinan ni kena ada bagi untuk selesaikan masalah faraid ni.Sebab tu korang nanti kena buat carta semua waris yang ada kaitan dengan si mati.Barulah senang nak mintak salinan dokumen penting.Nisbah pembahagian semua Zarul yang akan selesaikan.Aku bercadang nak jual rumah tu dan bahagikan duit kepada semua waris.Berapa banyak dapat setiap orang bergantung kepada harga jual rumah setelah ditolak semua kos faraid yang terlibat.Semua tu Zarul yang akan kira.

Waris ni adalah ayah dan ibu,isteri dan anak-anak.Kalau si mati masih ada ayah dan ibu ada bahagian depa.Lambat buat faraid,depa mati bahagian akan turun ke adik beradik si mati.Adik beradik mati bahagian tu dapat kat anak-anak depa pulak.Jadi lagi lambat selesaikan lagi banyak nama waris yang kena masuk dan bahagian depa wajib kena bagi walaupun RM1.Jadi sekarang korang tahu kan betapa susahnya hidup kalau ada harta sudah lama dibiarkan tak buat faraid cepat-cepat.Aku sendiri pun dah nak masuk 2 tahun masih tak selesai lagi.

Dalam post ni aku cerita bagi faham dulu situasi kes aku.Nanti aku cerita details macam mana nak selesaikan masalah faraid ni kat pusaka kecil.Banyak aku cari kat internet takde sapa nak share pasal kerja-kerja ni.Aku sendiri pun banyak belajar dengan bertanya pegawai pusaka kecil dan pengalaman sendiri sahaja.Jadi aku akan mudahkan korang untuk selesaikan masalah faraid ni supaya roh-roh keluarga kita yang dah mati tenang di dalam kubur.

Satu benda lagi aku nak share,sebelum ni aku tak pernah pun dok mimpi arwah abah aku.Tapi sejak aku mulakan kerja-kerja faraid harta dia ni kerap la pulak mimpi dia walaupun aku tak pikir sangat pun pasal dia.Mungkin ini adalah petanda supaya aku selesaikan semua benda ni dengan segera.

Sambungannya kat sini

https://iqsha-gemilang.blogspot.com/2020/02/cara-cara-menyelesaikan-atau-membuat_9.html

Wassalam.