Showing posts with label Resepi. Show all posts
Showing posts with label Resepi. Show all posts

Wednesday, 23 September 2020

Resepi Lidah Lembu Masak Kicap

Assalamualaikum sahabat semua.

Kalau sembang bab lembu semua bahagian yang ada kat lembu aku makan jek seperti hati,paru,jantung,perut,usus,kitab....cuma kat bahagian lembu ada benda yang sedap dimakan tapi tak ramai yang nak makan seperti lidah,otak,tapak kasut dan sehinggalah bahagian yang eksotik seperti telur lembu jantan dan urat k*t* lembu atau ada panggil torpedo..haha...dan ada lagi satu bahagian yang paling susah dapat tapi sedap adalah bena susu atau t*t*k lembu betina...kalau ekor lembu tu ramai la yang berebut

Korban dan akikah baru-baru ni semua pakat tak mau ambik bahagian ni semua...semua nak bagi kat aku pasal aku makan...huhu...masalahnya aku sorang jek makan...tambah dengan malas nak kisah dengan kerja-kerja yang nak kena buat...tapi lepas Pak Tam suruh tanam tapak kasut aku pun ambik la pasal sayang tanam benda sedap...dah ambik sekali lidah kena ambik jugak...last-last yang lain semua pakat bagi kat orang jela dah takde sapa nak ambik...







Jadi lidah ni aku masak kicap sahaja.Resepi ada kat bawah

1-Lidah lembu kena rebus dulu bagi lembut.Rebus agak-agak sahaja janganlah sampai masak pulak.
2-Kikis semua bahagian yang kesat kat lidanh tu.Biar tinggal isi sahaja.
3-Masukkan minyak, masukkan 3 ulas bawang putih, masukkan 3 tangkai cabai hijau dan tumis.
4-Masukkan lidah dan goreng sampai masak
5-Masukkan kicap kipas udang dengan sos tiram adabi dan kacau sebati.
6-Hiris bawang besar tebal-tebal dan masukkan dalam kuali.Masak sampai semua berpalit elok.
7-Last sekali tutup api dan masukkan daun bawang yang hiris panjang-panjang.

Sedia untuk dinikmati bersama nasi panas.

Wassalam.

Monday, 4 May 2020

Resepi memasak gulai ikan sepat atau puyu dalam periuk tanah menggunakan dapur periuk tanah

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ni aku nak share satu resepi gulai atau kari ikan sepat atau puyu dengan masak menggunakan periuk tanah dan tempurung kelapa.

Sebenarnya bila umur makin meningkat ni aku mula rindukan masakan tok aku dulu yang menggunakan dapur periuk tanah dan masak gulai ikan sepat menggunakan dapur kayu.Tapi sekarang ni zaman moden.Mana ada lagi orang buat dapur kayu dan simpan periuk tanah kan.Pastu aku pun mula la dok cadang nak buat satu dapur kayu kat luar rumah.Sambil-sambil tu dok cari kat Shopee kot-kot ada orang jual dapur tanah liat.Last-last aku jumpa jugak satu seller ni jual dapur tanah liat kat melaka.Harga pun murah dalam RM40 jek.Apa lagi terus aku beli.Dah ada dapur tanah liat aku terus ke kedai India untuk beli periuk tanah liat.Harga pun murah jek iaitu RM6.80.Jadi aku pun beli la satu.

Sampai sahaja di rumah, aku terus rendam periuk tanah liat tu dalam baldi semalaman dengan air.Kena rendam untuk hilangkan bau tanah liat dan bagi periuk tanah tu tak retak sewaktu kita masak.Nak guna periuk tanah liat tak boleh terus bakar dia dengan api yang kuat nanti dia retak.Kena start api slow dan bakar pelan-pelan sampai akhirnya guna api yang paling besar.Benda ni kita boleh buat guna dapur gas dahulu sebelum kita guna dapur tanah liat supaya periuk tanah liat kita tahan lama,tidak retak dan hilang bau tanah.


Setelah sampai dapur periuk tanah yang saya order dari Shopee, saya pun mula la ke kedai runcit untuk mencari tempurung kelapa atau orang utara panggil tempughung nyok.Bila jumpa boleh ambil free sahaja pasal tempurung ni takde harga pun.Selalunya tuan kedai akan buang macam tu jek dalam tong sampah.Jadi jimat kan masak pakai tempurung nyok ni.Benda free jadi nak ambik banyak mana pun ikut suka la.Jadi aku bawak balik la 1 guni tempurung ni.


Ok.sekarang nak masak ikan sepat kita ikut sahaja langkah-langkah kat bawah ni.

1-Siang ikan sepat dengan teliti.Ikan ni boleh saja beli kat pasar tani.Kalau takde ikan sepat boleh beli ikan puyu.Buang sisik ikan ni dan buang kepala dia.Sirip yang tajam tu pun buang jugak pakai gunting.Pastu boleh rendam kejap dalam air cuka,pastu cuci lagi dengan asam jawa sampailah hilang bau hanyir ikan sepat tu.Kalau kat rumah ada belimbing buluh pun boleh guna.Ambil belimbing buluh dengan daun dia pastu ramas sekali dengan ikan sepat tu.Kompom hilang bau hanyir dia.

2-Dah siap ikan sepat, hiris bawang merah 3 biji, ketuk bawang putih 5 ulas, daun kari 3 tangkai, bunga cengkih 5, bunga lawang 3, kulit kayu manis 1, buah pelaga 5 dan satu sudu kecil biji sawi.Semua ni kita tumis dengan minyak masak sampai naik bau.


3-Dah naik bau, kita masukkan rempah kari ikan ke dalam bahan tumis ni.Boleh guna rempah kari faiza,adabi atau cap O.Aku slalu guna 2 peket pasal nak bagi kari tu likat sikit.Pastu yang ni paling penting.Kena tumis dengan bara tempurung sampailah pecah minyak.Tak boleh pi jalan mana-mana.Kena tunggu kacau selama lebih kurang 30 minit pasal tak mau rempah hangit.Nak buat gulai benda ni paling penting pasal lagi lama tumis lagi sedap gulai tu.Bagi rempah berul-betul masak dan lait (bahasa Kedah).

4-Dah pecah minyak rempah tu masukkan santan.Santan ni kita perah dari sebiji kelapa.Dah masukkan santau kacau bagi rempah yang duduk kat bontot periuk semua larut dalam santan.Pastu masukkan garam 1 camca besar,gula 2 camca besar dan ajinamoto 1 camca besar.Kalau tak mau masuk ajinamoto pun takpa.Last masukkan air asam jawa dalam besar 2 jari.

5-Dah rasa masin,manis,masam semua dah ok baru kita masukkan ikan.Ada orang dia masukkan ikan dulu baru masuk perasa.Apa yang jadi ikan tu rasa tawar yang rasa hanya kat kuah saja.Tapi kalau ikut cara ni ikan dan kuah akan ada rasa.Jadi bila makan ikan dia lebih sedap la dari ikan rasa tawar kan.Rasa kuah pulak kena bagi kuat sikit pasal kita nak makan dengan nasi.Kalau rasa kurang nanti makan dengan nasi rasa gulai tu terus jadi tawar.

6-Masa ni kita angkat sat periuk tanah dan masukkan tempurung.Tadi kita tumis semua guna bara saja.Sekarang baru kita nak guna api.Bila dah masuk tempurung baru kipas sikit pastu dia akan terbakar.Masa terbakar ni la kita letak balik periuk tanah atas dapur tanah dan masak gulai ikan sepat ni sampai mendidih.Dah mendidih boleh masukkan kacang bendi atau kalau ada kat kampung boleh masukkan buah belimbing buluh.Tapi kalau dah masuk buah belimbing buluh jangan la pulak kita masukkan lagi air asam jawa.Satgi tak jadi gulai jadi kuah asam.Kita jugak boleh masukkan 5 biji cabai melaka kat dalam gulai ni bagi ada rasa pedas-pedas sikit.Tapi cabai tu jangan ketuk ye.Masukkan sebiji-sebiji buang tangkai sahaja.

7-Dah mendidih boleh saja biar gulai ni atas dapur tanah liat tu.Bara kat bawah akan sentiasa buat gulai ni sentiasa panas untuk 1-2 jam.Jadi nak makan nasi memang akan dapat makan dengan gulai panas-panas la.



Ok.Sekian sahaja resepi gulai ikan sepat yang dimasak menggunakan dapur dan periuk tanah liat.Bila makan ni mengalir air mata rindu kat arwah tok dulu.Huhu.

Wassalam.

Friday, 17 April 2020

Cara-cara membuat jeruk maman atau kemaman

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini aku nak kongsi dengan sahabat semua cara-cara macam mana nak buat jeruk maman.Jeruk maman ni boleh dikatakan makanan tradisi orang belah Utara yang dah hampir pupus sekarang ni.Maksudnya orang sekarang ni dah tak makan, dah tak kenal pokok maman dan dah tak tahu macam mana cara nak buat jeruk.Jadi jangan risau, dalam post ni aku share macam mana nak buat jeruk maman ni.


Image may contain: plant

Aku sendiri suka makan jeruk maman ni pasal arwah tok Pah dan abah aku suka sangat makan jeruk maman ni.Yela orang kampung yang ada bendang makanan ni adalah makanan biasa bagi orang utara ni.Bila masa berlalu, sekarang ni susah la pulak nak jumpa jeruk maman ni.Jadi, nasiblah pokok maman ni banyak la pulak tumbuh di sekeliling rumah ni.Jadi aku just ambik dan buat jeruk sahaja.

Pokok maman ni sekali tengok macam pokok rumput sahaja pasal memang pokok ni jenis pokok yang tumbuh merata tanpa perlu ditanam.Selalunya banyak dekat tali air dan kawasan sawah bendang.Orang kampung dulu-dulu sambil depa menjala atau memancing ikan darat seperti puyu,keli,haruan dan sepat untuk dibuat pekasam, mereka jugak akan kutip pucuk maman untuk dibuat jeruk.Jadi jeruk maman ni sedap dimakan bersama ikan pekasam,nasi panas-panas dan cabai.Kat bawah ni aku share pokok maman untuk yang tak berapa kenal.

Pokok Maman | Segalanya Tentang Tumbuhan...

Ok.Sekarang kita belajar cara-cara untuk membuat jeruk maman ni.

1-kerat pucuk dia yang berbatang lembut...ambik sekali dengan daun..kalau yang batang dia dah keras ambik daun sahaja..
2-kerat panjang dalam 2-3 inch dan biar dia layu...yang ni kena biar lama atau jemur bawah panas...
3-blender nasi sejuk dalam segenggam.
4-bubuh maman dalam Tupperware,masukkan garam dan air blender nasi sejuk tadi..pastikan maman tenggelam semua dalam air..
5-peram 2-3 hari...dah lepas 3 hari boleh masukkan dalam peti ais..nak makan boleh ambik dan bubuh bawang dengan cabai untuk makan..



Ok.Setakat ni dahulu perkongsian pada kali ni.Semoga jeruk maman ni boleh mengimbau nostalgia lampau sewaktu orang-orang tua kita masih hidup dulu.

Wassalam.

Wednesday, 12 February 2020

Bagaimana untuk masak nasi dalam buah kelapa

Assalamualaikum sahabat semua.

Kali ni aku nak share satu resepi yang mungkin hampa tak pernah masak dan tak pernah rasa pun sepanjang hidup hampa iaitu macam mana rasanya makan nasi yang dimasak dalam buah kelapa atau orang Kedah panggil buah nyoq.Korang boleh saja guna buah kelapa tua atau buah kelapa muda.Tapi kalau guna buah kelapa muda rasa nasi tu lebih sedap la dari guna buah kelapa tua.


Ok.pertama kita tengok bahan dia

1-Sebiji buah kelapa muda atau tua.
2-beras
3-garam
4-Daun pandan atau pisang

La.ini sahaja ka.Aku buat lawak ke ni.Sabar-sabar.Biar aku cerita.Masak nasi dalam kelapa ni adalah salah satu survival skill yang aku telah belajar semasa berada di dalam hutan.Yela.Dalam hutan mana nak ada periuk belanga kan.Jadi cara nak masak nasi hanya masak menggunakan kelapa atau masak dalam buluh sahaja.Cuma yang berbeza kalau kita masak nasi dalam buluh,rasa nasi tu lebih kurang saja macam kita masak dalam periuk.Cuma ada rasa dan bau buluh jela.Tapi bila kita masak nasi dalam buah kelapa kita akan masak menggunakan air buah kelapa tersebut untuk memasaknya.Jadi korang sekarang dah dapat faham kan pasal apa aku katakan guna buah kelapa muda lebih sedap lagi dari guna buah kelapa tua pasal air kelapa muda lebih sedap dari air kelapa tua.

Ok.sekarang kita belajar cara-cara nak masak nasi dalam buah kelapa.Aku cerita kalau guna kelapa tua dulu.

1-Kupas sebiji kepala tua dan buang sabut dia.Biar tinggal sebijik dengan tempurung.

2-Kat bahagian atas buah kelapa akan ada 1 punat yang boleh kita lubangkan dengan pisau.Jadi tebuk kelapa tu melalui punat tu dan korek lubang tu dalam saiz sebesar jari kelingking.Bila dah tebuk ambik air kelapa yang ada dalam buah tu dan masukkan ke dalam satu bekas.

3-Basuh beras elok-elok dan sukat nisbah beras dengan air kelapa yang kita ambik tu.Nisbah dia 1 cawan air kelapa : 1 cawan beras.Kira sama banyak la air dengan beras.

4-Dah sukat beras masukkan beras ke dalam buah kelapa melalui lubang yang kita tebuk kat bahagian atas tu.Masukkan beras melalui lubang tu guna corong yang kita buat pakai daun saja.Ambik daun pastu pegang bagi daun tu melengkung sikit dan halakan hujung daun ke lubang tu.Letak beras pastu tolak la beras masuk sikit-sikit ke dalam buah kelapa sampai habis semua beras.

5-Dah habis semua beras masuk dalam buah kelapa,masukkan air kelapa yang kita ambik awal tadi ke dalam buah kelapa sampai habis.Jaga-jaga jangan sampai tumpah pulak.Pastu masukkanlah garam secubit untuk bagi nasi tu rasa lemak sikit.Rasa nasi tu nanti akan rasa lemak,masin,manis air kelapa dan bau kelapa bakar,bau pandan dan bau air kelapa.Pendek cerita rasa dan bau dia special dan confirm korang tak pernah rasa sama macam rasa dia kat dunia sebelum ni.

6-Dah habis beras dan air kelapa masuk ke dalam buah kelapa tu kita tutup lubang kat atas yang kita korek tu dengan daun pisang atau daun pandan.Kalau kat hutan boleh ja tutup dengan daun apa pun asalkan daun tu tak beracun la.

7-Kita bakar kayu sehingga jadi bara kemudian kita letak la kelapa yang berisi campuran beras,air kelapa dan garam tadi.Biar ja beras tu masak dalam hangat api bara sampaila daun yang kita sumbat kat lubang tu jadi layu.


8-Bila daun dah layu maksudnya dah masak la nasi kita.Bila dah masak korang belah la buah kelapa tu untuk ambik nasi kat dalam dia.Hidangkan panas-panas confirm tak panggung kepala punya makan.

Ok.Ni kalau guna kelapa tua.Kita kena buang sabut.Kalau guna kelapa muda proses dia sama sahaja tapi jangan buang sabut la.Pangkas bahagian atas dan bahagian bawah saja.Bahagian atas kita pangkas sampai boleh buat sedikit lubang dan bahagian bawah kita pangkas sebagai tapak untuk kita masak.

Kalau buah kelapa tua kita guna bara.Tapi nak masak guna kelapa muda kita guna api.Api pun janganlah besar sangat sampai rentung kan.Cukuplah haba dia sampai ke dalam tempurung untuk masak nasi kat dalam tu.


Secara jujurnya,kalau korang dah rasa nasi dalam kelapa yang kita masak pakai air kelapa ni kompom korang akan teringat punya.Sekian dan terima kasih kerana sudi membaca.Selamat mencuba dan aku gerenti ini adalah pengalaman dalam hidup yang paling indah untuk hampa kalau nasi tu tak mentah,rentung atau hangit la.

Aku share video masa aku masak nasi dalam kelapa dengan ni kawan sekerja kat link di bawah.

https://www.youtube.com/watch?v=wiN82XLuwxg

https://www.youtube.com/watch?v=u6WwVd8ptd4

Wassalam

Saturday, 8 February 2020

Resepi Daging Kambing Bakar BBQ

Assalamualaikum sahabat semua,


Pada kali ni aku nak kongsi satu resepi daging kambing bakar BBQ special yang kalau korang buat kompom takde sapa berani komen kata tak sedap.Kebanyakkan hal masak-memasak BBQ ni selalunya tugas ni digalas oleh aku la sama ada kat tempat kerja atau untuk family kat rumah.Kira aku ni dah jadi macam tukang masak untuk apa-apa event yang melibatkan BBQ ni.



Ok.kat bawah ni aku list barang-barang dia.

1-daging kambing 1kg (dalam 4 slice) - ada 2 jenis nama iaitu mutton dan lamb.Mutton ni daging kambing yang umur dia 2 tahun ke atas.Daging dia lebih pejal,lebih bau kambing dan lebih murah.Yang lamb ni daging anak kambing umur bawah 2 tahun.Daging lebih lembut,kurang bau kambing dan lebih mahal.Ikut citarasa korang nak beli mutton atau lamb.Macam aku,lebih suka lamb.

2- Madu 1 botol - korang beli sahaja madu kat kedai RM2 eko tu.Jimat sikit duit.Madu ni selain bagi rasa manis,dia jugak buat daging tu lebih juicy dan cantik bila kena dengan bara api.

3-Sos lada hitam jenama Bumi Hijau 1 botol.Boleh dapat kat mydin.Ni sos keluaran bumiputera jadi support sos orang kita.

4-Bawang putih 1 labu - kupas dan ketuk saja bagi penyet dengan pisau atas kayu pemotong.Pastu cincang bagi kecik.

6-Garam halus 1 camca besar dan ajinamoto 1 camca besar jugak.

Cara-cara

1-Defrost betul-betul daging kambing dan basuh dengan air.Basuh tak perlu beria sampai jadi putih daging tu.Basuh hilangkan darah saja.

2-Bubuh daging kambing dalam bekas plastik,kaca,stainless steel atau apa saja lah bekas yang korang ada kat dapur tu.Masukkan garam dan ajinamoto gaul bagi rata.Biar ja macam tu selama 30 minit pada suhu bilik.

3-Dah cukup 30 minit,masukkan madu satu botol bersama semua bawang putih yang korang cincang tu.Pastu biar lagi selama 30 minit pada suhu bilik.

4-Dah cukup 30 minit, korang masukkan satu botol sos lada hitam bumi hijau.Beli yang botol kecik tu.

5-Dah gaul sebati, korang masukkan dalam peti ais letak kat bahagian bawah saja.Jangan letak kat freezer pulak.Korang kena pastikan kena perap lebih dari 24 jam.Ni rahsia nak daging tu lembut,berjus dan meresap elok dengan daging.Masa perap ni kepanasan lada dan ajinamoto akan menguraikan protein daging untuk buat daging tu jadi lembut.

Bahan-bahan kuah

1-Beli sup cendawan cheese Campbell kat Mydin harga dalam RM5 lebih...masak sup cendawan tu bersama dengan baki sos lada hitam perap daging kambing tu dan masukkan kicap sedikit kat dalam kuah tu...kicap ni boleh guna kicap Mudim atau Cap Kipas Udang...kicap ni nak bagi kaler kuah tu gelap jek...kalau tak letak kuah tu cerah sangat...dan masukkan juga 3-5 ulas bawang putih bagi naik bau kuah tu...

Ok.Dah cukup 24 jam pelekat bara api kemudian bakarlah.Pastikan daging tu tak hangit dan hanya masak 3/4 sahaja.Tak perlu well done pasal nanti daging jadi keras dan tak berjus.Kalau nak guna dapur ajaib atau kuali rata pun boleh saja...kalau masak kat rumah boleh tambah kacang peas,carrot dan brokoli sebagai hiasan kat atas pinggan untuk bagi nampak menarik sikit....

Bahan-bahan yang simple sahaja tapi hasil dia kompom padu.Cubalah dan ingatlah aku dalam doamu sebagai tukang bagi resepi.Haha..

Wassalam...

Thursday, 2 November 2017

Patin Masak Lemak Tempoyak PPK (Perak,Pahang,Kedah)

Assalamualaikum semua,

Rasanya kali ni nak share la resepi patin masak tempoyak yang saya buat semalam supaya kawan-kawan yang teringin nak makan tu boleh la masak sendiri.Jangan risau, saya akan cerita detail siap dengan teknik masak lagi supaya rasa dia tak la lari dengan apa yang saya masak.Resepi ni macam campuran pasal saya tengok resepi tempoyak Perak tak letak daun kesum.yang letak kesum ni resepi Pahang, tapi resepi Pahang dan Perak tak letak santan.Masak lemak Kedah ja yang letak santan.Jadi sebab tu resepi ni PPK.Haha


Patin Masak Lemak Tempoyak PPK (Perak,Pahang,Kedah)

1-      Tumbuk dengan lesung batu 1 biji bawang putih besar ibu jari, 1/2 biji bawang merah besar 2 jari,kunyit hidup 1  besar ibu jari,cabai hidup warna merah 1 biji, cabai Melaka 5 biji.dan agak2 lumat masukkan 3 sudu besar tempoyak dan gaul sekali dengan bahan tumbuk sampai sebati.Nak tumbuk tu masukkan bawang dulu dah lumat baru masuk cabai dan last sekali baru tempoyak.

2-      Perah setengah biji kelapa asingkan perahan pertama untuk kita masukkan dalam kuah last sekali.kita akan guna perahan ke 2 dan ke 3 untuk masak ikan.Air dalam 4 cawan

3-      Masukkan santan perahan ke 2 dan ketiga dalam periuk dan masukkan sekali bahan tumbuk tadi.Kacau bagi sebati.Masukkan garam 1  sudu besar, gula suku sudu dan ajinamoto suku sudu dan asam keping 1 helai.(kalau ganti dengan limau kasturi 1 biji lagi sedap).Ni kes tempoyak tak cukup masam.

4-      Pastu masukkan isi ikan patin.kalau ada banyak isi ikan tak payah masukkan semua.masukkan cukup isi tenggelam dalam kuah ja.pastu angkat isi ikan yang kita masak selama 5 minit dengan api perlahan tu dan masukkan isi ikan mentah dan masak lagi 5 minit.ni kes kita tak mau buat kuah banyak sangat sehingga perlukan santan dan bahan yang banyak.kita just nak makan isi ikan dan kuah tu gaul sikit ja dengan nasi.bukan nak makan kuah tempoyak buat macam makan bihun sup.yang penting kuah dia tak terlalu banyak dan pekat.

5-      Kita masak macam ni akan buat isi ikan tu sendiri ada rasa garam gula.kalau kita masak dulu last baru letak garam gula akan wat isi rasa tawar.hanya rasa garam gula kat kuah saja.saya suka guna teknik ni bila masak ikan atau ayam.dah masak isi tu kita angkat dan letakkan semua isi dalam mangkuk.

6-      Kuah dalam periuk tu kita masukkan 3 batang serai, segengam daun kesum dan perahan santan pertama tadi.dah masukkan semua dan kacau sebati rasa tengok kuah tu.selalunya rasa garam akan berkurang pasal garam dah masuk dalam isi ikan.Jadi tambah lagi sikit garam,gula dan ajinamoto sesuai dengan rasa kita.Rasa dia paling penting rasa garam kena lebih dari rasa gula dan rasa masam.kalau tak, rasa tak cukup lemak.kalau kuah tu rasa manis memang tak kena la dengan selera orang utara ni.Kalau Kelantan mungkin sedap la bagi depa.Jadi dapatkan rasa lemak masin tu mengatasi rasa manis dan masam.

7-      Dah mendidih kuah tu barulah kita tuang ke dalam mangkuk yang ada isi ikan yang kita angkat sebelum ni.Dah boleh makan dengan nasi.

      selamat mencuba dan wassalam.

Monday, 9 November 2015

Resepi Tomyam Ala Thai

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua satu resepi tomyam yang boleh dikatakan menu kegemaran pelanggan di kedai tomyam mak saya kat kampung.Saya rasa terpanggil untuk menulis tentang resepi ni pasal sekarang ni saya cukup meluat apabila order tomyam kat kedai Thai.Kuah tomyam yang depa buat kompom ceroi dan tak menepati standard citarasa saya.Jadi, mau tak mau saya kena juga masak sendiri kalau teringin nak makan tomyam ataupun minta mak buat semasa saya balik ke kampung.Kedai mak saya masih lagi mengekalkan standard resepi yang dia belajar dan oleh sebab itu pelanggannya sanggup datang dari jauh untuk makan tomyam mak.

Bahan-Bahan

Air-1 gelas plastik putih
Ayam-2 ketul (kalau bahagian tulang lagi sedap pasal lebih berperisa daripada isi)
Perencah tomyam Thai - 1 sudu yang cina guna makan sup
Gula - 3 sudu kecil
Garam - 1 sudu kecil
Ajinamoto - 2 sudu kecil
Air limau - 2 sudu kecil
Carot - 5-10 hirisan
Daun Limau Purut - 2 helai
Bawang besar India ataupun Holland - 1 biji sebesar 2 jari
Tomato - 1/2 biji saiz 2 jari
Solek jagung - 1 batang
Daun bawang - 2 helai dipotong pendek-pendek
Sos cili Ladas - 1 sudu yang cina guna makan sup
Serai - 1 batang
cabai melaka - 3 batang


 Cara-Cara Memasak

1-Masukkan 1 gelas plastik putih air ke dalam kuali.Tak perlu tunggu air mendidih untuk masukkan ayam.Api kena slow saja pasal tak mau air banyak tersejat
2-Masukkan 2 ketul ayam yang telah dipotong sebesar ibu jari.Saya suka masukkan bahagian kepak dan tulang belakang ayam.Kalau bini nak makan sekali baru saya masukkan bahagian dada.
3-Masukkan 1 batang serai yang telah diketuk.Saya gunakan serai kampung.Nak guna serai peha ayam pun boleh.Tapi jadikan 2 batang.Serai kampung lebih wangi daripada serai peha ayam.
4-Masukkan 1 sudu perencah tomyam.Perencah ni la yang kedai tomyam kurangkan pasal mahal.Ni contohnya perencah tomyam yang mak saya guna dan semua kedai tomyam kat Malaysia ni guna.
5-Masukkan 1 sudu sos cili Ladas.Yang ni rahsia utama.Tak masuk sure rasa tak sama.Walaupun semua kedai tomyam guna perencah yang sama tapi tak sama dengan tomyam mak saya pasal sos ini lah.
6-Bila air dah mendidih kita masukkan gula:ajinamoto:garam dengan nisbah 3:2:1 dengan menggunakan sudu kecil.
7-Lepas tu kita masukkan 2 sudu kecil air limau yang daripada Thailand tu.
8-Last sekali kita boleh masukkan carot yang dihiris nipis, daun limau purut,bawang yang dipotong dadu,hirisan tomato,solek jagung dan cabai melaka yang diketuk dengan pisau.
9-Bila semua dah masak last sekali masukkan daun bawang yang dihiris pendek-pendek.

Senang saja kan nak buat tomyam yang sedap kalau kita tahu rahsia resepi dan sukatan yang betul.Tomyam yang saya order kat kedai selalunya depa bubuh perencah sikit sebab tu nampak ceroi.Lepas tu tak letak sos cili pulak.Lagi la ceroi.Lagi satu ni resepi tomyam ayam.Kalau nak masukkan segala macam udang,sotong, dan daging boleh jer tanpa perlu ubah sukatan bahan.Rasa tomyam tu akan lebih sedap kalau kita masukkan jadi tomyam campur.

Saya harap kalau ada sahabat yang hantu tomyam boleh la buat sendiri sahaja.Dah le mahal gila sampai RM5-6  satu mangkuk.Dah bayar mahal pastu tak sedap kuah ceroi pulak lagi la panas.Nak makan tomyam sedap mai kedai mak saya.RM4.00 je semangkuk.Yela jual kat kampung bukan boleh ikut harga standard kedai tomyam.Yang peminat pun penoreh getah dan pekerja kebun kelapa sawit jek.Jual mahal depa kempunan macam tu jela tak dapat nak rasa tomyam mak.

Wassalam.

Thursday, 9 April 2015

Resepi Sup Ayam Ala Thai

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang satu resepi yang selalu juga saya masak setiap kali saya balik kampung.Untuk pengetahuan sahabat semua, bidang masakan bukanlah asing dalam keluarga saya kerana arwah abah saya dahulunya bekerja sebagai chef di pusat peranginan Gunung Jerai.Manakala mak saya pula sampai sekarang masih membuka kedai makanan ala Thai di kampung.Jadi kalau setakat masakan ala Thai macam Tomyam,sup,paprik,masak merah,nasi goreng dan sebagainya memang saya mahir membuatnya.Saya juga mahir dalam membuat laksa.Tujuan saya hendak share dalam blog ini adalah sebagai satu usaha saya untuk memberi resepi masakan yang kebanyakkan orang Melayu amat kedekut untuk share terutama kalau dia ni seorang tauke makanan.Manalah tahu jika ada sahabat semua yang mahu membuka kedai makanan ala Thai bolehlah menggunakan resepi saya ini dan boleh diubahsuai mengikut selera masing-masing.Saya berharap agar perkongsian saya ini dapat memberi ilmu yang bermanfaat kepada sahabat semua dan juga sebagai bekalan yang boleh saya bawa ke alam Barzakh.

Sup Ayam Ala Thai

Bahan-Bahan

1-Ayam 1 atau 2 ketul sama ada bahagian dada atau yang ada tulang (kerat halus-halus sebesar ruas jari)
2-Air 1 gelas plastik
3-1 sudu sos tiram
4-2 sudu kecil Serbuk perencah sup Adabi
5-Gula,garam,ajinamoto
6-2 ulas bawang putih
7-2 biji cabai Melaka
8-Air asam limau
9-Daun sup,daun bawang
10- 1 biji tomato
11-1 biji bawang

Cara-Cara Memasak

1-Masukkan air 1 gelas ke dalam periuk.Gelas pakai yang gelas plastik warna putih tu.Yang kadang-kadang kita tengok ada kedai buat air pakai gelas plastik ni.Kalau kat kedai mak pakai senduk yang besar.Saya ukur air dia lebih kurang penuh 1 gelas plastik

2-Masukkan ayam 1 atau 2 ketul.Ayam ni boleh kita kerat halus-halus.Yang paling penting bila kita masukkan ketulan ayam ni kena tenggelam dalam air.

3-Masukkan 1 sudu sos tiram jenama Ladas.Nak pakai jenama lain pun boleh tapi mungkin berlainan rasa.Macam kat rumah saya pakai sos tiram lembu berlaga.Sudu pakai yang sudu plastik yang Cina selalu pakai untuk hirup sup tu.Kalau pakai camca sukatannya tidak betul.

4-Masukkan perencah sup jenama Adabi yang serbuk tu.Sukatannya 2 sudu kecil.

5-Yang ni bahagian yang paling penting yang orang lain takkan share.Selalunya orang tulis sesedap rasa sahaja.Masukkan 3 sudu kecil gula,2 sudu kecil ajinamoto dan 1 sudu kecil garam halus.Kalau tak bubuh ajinamoto tak pe ker?Boleh tapi tak sedap.Nak rasa macam sup makan kat kedai mesti kena ada ajinamoto.Kalau nak bagi makan kat anak-anak saya akan masukkan 2 sudu kecil gula dan 1 sudu kecil garam.

6-Dah masuk semua ni kita masak dengan api yang slow sampai mendidih.Kenapa pakai api slow?Untuk bagi sup kita tu rasa pati ayam dan kita tak mahu air kita tersejat dengan cepat.Kalau air tersejat rasa sudah berubah pasal air dah kurang.

7-Lepas dah mendidih, kita ketuk bawang putih 2 ulas dengan pisau dan cincang kecil-kecil , ketuk cabai melaka 2 biji dan masukkan ke dalam sup.

8-Masukkan 1 sudu kecil air limau.Air ni saya guna yang buatan Thailand punya.Kalau nak guna limau nipis pun boleh.Tapi pastikan sup tu tak la masam sangat.Rasa macam ada rasa masam sahaja.Kalau terlalu masam tak sedap.

9-Potong  2 helai daun sup, 2 helai daun bawang,1 biji bawang India atau Holland (sebiji besar 2 jari) dan 1 biji tomato.

10-Tomato akan beri rasa masam kepada sup.Jadi kalau saya bubuh tomato saya letak 1 sudu kecil sahaja air asam.Kalau tak bubuh tomato saya letak 2 sudu kecil.

11-Biar sekejap 2 3 minit lepas tu tutup api.

Sup ni hanya sedap dimakan sewaktu masih panas.Kalau dah sejuk memang tak sedap.Kalau kat kampung saya suka masak sup ni guna kaki ayam.Mak akan simpan kaki ayam kalau dia tahu saya nak balik kampung.Bayangkan tengok la sehari mak akan ambil 2 ekor ayam.Kalau dia simpan 1 minggu dah 28 kaki dah.Memang best la buat sup.Tapi kalau nak masak ayam banyak ketul pun boleh.Yang paling penting sukatan air dan perencah.Kalau pakai 3 gelas air semua sekatan kena jadikan 3 kali ganda.Contoh nak buat 1 ekor ayam.Bila letak dalam periuk kita perlukan 20 gelas air.Jadi semua sukatannya kita jadikan 20 kali ganda sahaja.Jadi rasanya pasti akan sama macam kita buat untuk 1 gelas air.

Pak Njang saya yang paling suka makan sup ni.Kalau dia tahu saya ada kat kampung dan dia ke rumah mak saya mesti saya kena buat sup ni.Sup ni sebenarnya mak belajar dari orang Pattani sendiri yang datang bekerja dengan mak suatu masa dahulu.Pada masa itu mak tak reti lagi masak masakan Thai.Jadi dia hanya jadi tauke dan ambil pekerja Pattani untuk masak.Sedikit demi sedikit dia belajar sampailah dia sendiri yang masak sekarang.

Nanti saya akan kongsi lagi resepi masakan mak saya yang ala-ala Thai ni untuk posting yang akan datang.

Wassalam.