Thursday, 3 September 2015

Kuih Sepit Perindu Tok Kiah Yang Terlajak Laris

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang pengalaman isteri dan ibunya mengusahakan pembuatan kuih sepit secara kecil-kecilan.Idea yang sebenarnya telah pun lama tersimpan kerana masalah masa akhirnya telah pun berjaya direalisasikan pada bulan 5 yang lepas dan dengan tidak disangka-sangka permintaannya amatlah mengalakkan.Sehinggalah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas mak mertua dan isteri terpaksa membuat sehingga 370, 000 keping kuih sepit untuk memenuhi permintaan pelanggan.Isteri saya terpaksa berada di rumah ibunya selama sebulan pada bulan puasa dan saya pula terpaksa berbuka puasa seorang diri di rumah dan pada hujung minggu barulah saya akan balik ke rumah mertua.Inilah pengorbanan yang saya perlu lalui apabila kuih sepit perindu tok kiah laris sampai tak menang tangan nak buat time Raya haritu.Isteri dan mak mertua pula terpaksa bekerja keras satu hari 3 shift daripada pagi selepas makan sahur sampailah ke malam pukul 12 setiap hari untuk menyiapkan kuih.Sekali tengok pun saya dah letih.Huhu.Tapi berkat kesabaran dan ketekunan mereka membuat kuih, pada tahun ini mereka boleh beraya dengan hati yang sangat gembira apabila dapat menikmati hasil keuntungan membuat kuih.Terus terang saya cakap pada raya kali ini isteri saya yang lebih banyak belanja baju raya saya dan anak-anak.Bukan pasal dia banyak duit tapi sebagai cara untuk mengurangkan beban saya sewaktu musim perayaan.


Inilah yang pernah dikatakan oleh Dr Azizan supaya kita jangan memandang sesuatu perniagaan itu sebagai satu perniagaan yang kecil.Kadang-kadang benda yang kecil itulah yang boleh memberi pulangan yang lumayan kepada taukenya.Dia pernah memberi contoh seorang yang berniaga kerongsang.Memanglah kerongsang itu kecil tapi kalau sudah supply satu Malaysia tak ke banyak untungnya.Samalah juga sebuah kedai di Jalan Chai Leng Park Penang yang hanya menjual screw sahaja.Screw ni sebiji baru 1 kupang tak pun 2 kupang.Sekali beli tak habis pun RM10.Tapi berkat kesabaran mereka berniaga sampai ke tua Cina tu hidup dengan menjual screw sahaja.Saya ingat kalau bagitau nama syarikat mereka satu Penang dan Kedah boleh tau.Samala juga masa mula-mula mereka nak menjual kuih sepit.Mereka memandang yang kuih sepit ni kecil dan boleh laku ka.Bila sekali dah mula sekarang ni sampai tak menang tangan nak buat.


Saya memandang kuih sepit perindu tok kiah ni boleh pergi jauh jika betul-betul berusaha untuk mengembangkannya.Kekuatan kuih ini sebenarnya terletak kepada resepinya yang memang sudah turun-temurun tok kiah buat dari dulu lagi sampaikan pelanggan penah tegur yang kuih sepit ni rasa macam kuih sepit Cina dan tekniknya pula macam Cina buat.Mungkin dia penah makan kuih sepit Cina la kot.Huhu.Kuih sepit yang berkualiti mestilah nipis supaya ia ranggup,berkilat, tidak terlebih masak ataupun kurang masak,gebu dan halus.Rasanya pula mestilah tak terlalu manis dan tak terlalu lawar.Sedap-sedap sahaja.


Oleh itu kalau ada sahabat yang mahu order jangan segan-segan ye.


Friday, 10 July 2015

Keperluan Hidup Vs Kehendak Nafsu

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin bercerita tentang kelemahan orang kita iaitu orang Melayu dalam memilih antara keperluan dan kehendak.Kalau dulu-dulu masa saya masih di bangku persekolahan sewaktu tingkatan 2, saya ada belajar tentang keperluan benda hidup iaitu

1-Air
2-Makanan
3-Udara
4-Tempat tinggal

Ini adalah keperluan asas benda hidup dan pada zaman moden ini telah ditambah dengan pakaian dan pengangkutan sebagai 2 perkara asas yang perlu ada untuk melengkapkan kehidupan seorang manusia di muka buni Allah SWT ini.

Air.

Air yang diperlukan oleh tubuh badan kita hanyalah air masak ataupun air putih sahaja.Tetapi manusia telah mengkelaskan keperluan air ini kepada kasta-kasta yang tersendiri yang menyebabkan manusia keliru dengan air yang diperlukan oleh tubuh badan dengan air yang melambangkan kasta.Contohnya orang miskin hanyalah minum daripada air paip yang dimasak.Manakala golongan pertengahan mungkin akan minum air berkarbonat seperti coca cola,pepsi,teh air,kopi air dan sebagainya.Manakala mereka yang daripada golongan atasan akan menikmati espresso,white coffee,jus dan sebagainya yang dihidangkan di tempat-tempat ekslusif seperti restoren mewah dan lounge.Jadi pemilihan air dalam masyarakat sekarang lebih kepada menunjukkan kasta dan bukannya minum untuk keperluan tubuh badan.

Makanan

Tubuh badan kita boleh menampung kehidupan kita tanpa makanan selama 7 hari.Jika selama ini kita tak makan badan akan menggunakan lemak di bawah kulit kita untuk dibakar sebagai tenaga.Dan jika dilihat saiz badan rakyat Malaysia termasuklah saya sendiri menunjukkan yang kita ini sebenarnya terlebih makan dalam kehidupan kita seharian.Makanan juga turut disediakan untuk melambangkan kasta.Selalunya apa yang kita selalu dengar orang miskin akan makan nasi,ikan masin,telur goreng,kicap,ikan temenu dan sebagainya yang menjadi juadah harian mereka.Kalau golongan pertengahan pula mereka akan menikmati ayam,daging,ikan gred A seperti siakap,jenahak,kerapu,merah,tenggiri, dan sekali sekala akan menikmati fast food di Pizza Hut,KFC atau Mc Donald.Manakala golongan atasan akan menikmati makan mereka di restoren mewah yang menyajikan lobster,udang laut yang besar tapak tangan tu (satu set makanan Cina di restoren makanan laut di Bukit Tambun adalah RM788 untuk udang laut),makanan daripada luar negara seperti makanan Barat dan sebagainya.

Udara

Hanya udara yang tidak melambangkan kasta.Semua golongan akan menikmati udara yang sama.Yang membezakannya hanyalah kualiti udara yang disedut sahaja seperti udara di dalam hutan adalah lebih segar daripada udara kampung dan udara kampung adalah lebih segar daripada udara di bandar.

Tempat Tinggal

Tempat tinggal bagi golongan miskin adalah rumah seperti flat,setinggan dan rumah kos rendah.Untuk golongan pertengahan pula mereka akan memilih rumah kos sederhana seperti rumah teres ataupun rumah kembar 2 dan apartment.Manakala golongan atasan pula lebih suka memilih banglo dan kondominium sebagai tempat tinggal mereka.

Pakaian

Pakaian juga boleh melambangkan kasta pemakaiannya.Daripada baju T-shirt yang berharga RM10 sampailah kepada pakaian yang ditempah daripada pereka fesyen tempatan yang mencecah ribuan ringgit.

Pengangkutan

Selalunya mereka yang berpendapatan rendah mungkin hanya memiliki sebuah motorsikal sahaja dan mereka yang berpendapatan pertengahan yang akan menambah kereta sebagai pengangkutan.Mereka yang berada pula akan memilih kereta mewah dan kapal terbang sebagai pengangkutan.

KENAPA KITA MEMILIH KEPERLUAN KITA UNTUK HIDUP SUPAYA IA MELAMBANGKAN STATUS KITA?

Ini adalah satu soalan yang hanya perlukan satu sahaja jawapannya iaitu kita suka bermegah dengan pangkat dan pendapatan kita.Contohnya jika kita bekerja sebagai doktor ataupun jurutera kita rasa malu untuk menaiki motorsikal untuk berulang ke tempat kerja.Kita rasa malu untuk membeli air di tepi jalan.Kita rasa malu untuk makan makanan orang miskin sewaktu kita makan dihadapan kawan-kawan.Kita rasa malu untuk memakai baju bundle dan kita rasa malu untuk tinggal dalam sebuah rumah teres.Kita rasa malu kerana seolah-olah satu dunia tahu apa pekerjaan, pangkat dan pendapatan kita sedangkan tidak pernah lagi saya berjumpa dengan manusia yang keluar dari rumah dan meletakkan signboard di lehernya dengan tulisan "SAYA SEORANG DOKTOR" ataupun " SAYA SEORANG JURUTERA" ataupun "SAYA SEORANG PEGUAM".Akhirnya, jawatan yang disandang itulah yang menjadikan seseorang manusia itu berasa susah dalam kehidupannya kerana setiap apa yang dia perlu ada kena sesuai dengan jawatannya.

Saya juga berjawatan professional dan pendapatan saya juga tidaklah layak untuk menjadikan kehidupan saya ini mewah tapi walau berapa sekalipun pendapatan saya, ia tetap tidak akan mengubah siapa diri saya dan asal usul saya.Saya tidak memilih makanan dalam hidup saya.Daripada makanan yang mewah sampailah ke makanan seorang kuli semua saya pukul rata kerana saya tidak pernah cerewet dalam pemilihan makanan.Saya juga hanya membeli seluar dan jeans bundle sebagai pakaian saya seharian sama ada sewaktu kerja ataupun keluar berjalan.5 helai seluar Dockers bundle saya yang saya pakai ke tempat kerja hanya berharga RM10 sepasang.Saya hanya membeli baju baru kerana saya tidak berapa suka memakai baju bundle.Itupun bukannya yang mempunyai jenama.Seluar jeans bundle saya juga hanya berharga RM20 sepasang sama ada Levi's ataupun Lee.Saya juga hanya tinggal di sebuah rumah teres 3 bilik yang saya sewa dengan bayaran RM170 sebulan.Tidak terlintas pun untuk saya menyewa ataupun membeli sebuah banglo untuk melambangkan status saya.Saya juga hanya berulang alik ke tempat kerja menggunakan motosikal Honda Wave sebagai kenderaan saya.Jika hujan ataupun memerlukan saya memakai kereta barulah saya ke tempat kerja dengan kereta.Saya tidak malu dengan cara hidup yang sebegini kerana tidak semua orang tahu apa kerja dan jumlah pendapatan saya.Malah saya cukup yakin jiran saya pun silap-silap tak tahu pun apa kerja saya.Kalau ada yang tanya saya akan jawab kerja kilang sahaja.Kalau ada kawan-kawan yang tahu pun memang mereka sudah mengenali saya daripada kecil inilah cara hidup saya.Adakah saya perlu mengubah cara hidup saya hanya untuk memuaskan hati masyarakat yang memandang mereka yang berjawatan tinggi perlulah bergaya,makan makanan mewah,mempunyai rumah besar dan kereta besar.TIDAK.Saya adalah saya dan jika saya mahukan sesuatu pun bukan kerana orang tetapi kerana untuk memuaskan diri saya sendiri.Contohnya daripada kecil saya meminati superbike dan satu hari saya akan memilikinya.Memiliki superbike bukan bermaksud saya mahu menunjuk-nunjuk atau melambangkan status saya tapi hanyalah kerana minat saya daripada kecil.Itupun kalau nak diikutkan sudah lama saya mampu untuk memilikinya tapi saya dahulukan perkara lain yang lebih mustahak daripada melayan nafsu saya untuk memilikinya.

Kesimpulannya, kita perlulah berbelanja mengikut keperluan kita dan bukannya kehendak hati.Pedulikan apa sahaja kata orang disekeliling dan hanya menurut kata hati.Kalau kita boros berbelanja hanya untuk memuaskan hati masyarakat jika kita ditimpa masalah kekurangan duit bukannya masyarakat yang hendak tolong memberi duit kepada kita.Pejabat zakat dan badan kebajikan pun takkan menolong kita kerana jawatan yang kita sandang dan pendapatan bulanan kita tidak melayakkan kita menerima bantuan.Dalam minda kita perlu sentiasa untuk menyediakan "payung sebelum hujan" iaitu jumlah simpanan yang cukup untuk menampung kehidupan kita pada masa hadapan.Jangan juga lupa bahawa betapa ramainya orang Melayu di Malaysia yang diistiharkan muflis kerana cuba bergaya melebihi pedapatan mereka.

Saya suka mengkritik gaya hidup golongan pertengahan kerana golongan inilah yang saya lihat paling banyak berbelanja melebihi pendapatan.Kalau golongan miskin memang mereka ni hidup dengan cara miskin.Kalau daripada golongan berada pula kebanyakkannya mereka dahulunya ada datang daripada golongan miskin ataupun pertengahan.Mereka berusaha menjadi usahawan kemudian berjaya mendapat pendapatan yang berjuta sebulan.Dalam diri mereka sebenarnya tidak mahu menunjuk-nunjuk kemewahan yang mereka ada tetapi apakan daya.Mereka perlu memiliki rumah dan kereta mewah untuk mengurangkan cukai perniagaan mereka.Semua barang mewah ini bukannya didaftar atas nama mereka tetapi nama syarikat mereka.Hanya itulah caranya mereka berjimat daripada duit mereka dikebas oleh kerajaan.

Fikir-fikirkanlah gaya hidup sahabat semua dan semoga menjadi pedoman buat semua.

Wassalam.

Friday, 5 June 2015

Dilema Personal Loan

Assalamulaikum sahabat semua,

Saya ini seperti yang telah sahabat semua ketahui amatlah suka share apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan saya.Sekurang-kurangnya apa yang terjadi boleh dijadikan pedoman ataupun sempadan kepada sahabat yang mungkin akan mengalami perkara yang sama dengan saya.Pada kali ini saya ingin bercerita tentang dilema yang perlu saya hadapi untuk memilih jalan yang terbaik dalam membuat keputusan berkenaan menguruskan kewangan saya.

Baru-baru ini ada seorang agen MBSB datang ke company saya dan menawarkan personal loan daripada MBSB.Interest rate masih lagi 3.99% iaitu jumlah yang sama dengan loan yang saya buat sebelum ini.Menurut beliau saya boleh meminjam lagi dalam RM30k dengan separate akaun.Maksudnya saya boleh meneruskan loan daripada akaun lama selama 20 tahun dan akaun baru dengan tempoh pinjaman selama 10 tahun seperti yang telah ditetapkan oleh Bank Negara.Jadi saya pun hantar la segala dokumen yang diperlukan.Kemudian pada minggu lepas saya menerima panggilan daripada MBSB Kuala Lumpur memberitahu saya bahawa loan saya boleh diluluskan tapi saya perlu menutup akaun lama dengan akaun yang baru.Baki akaun lama yang saya perlu tutup berjumlah RM56k dan loan saya lulus hanya sebanyak RM60k.Jadi saya akan mendapat baki sebanyak RM4k dalam tangan.Dengan bahasa mudahnya

Loan yang lulus                                 = RM60k
Baki loan akaun pertama                   = RM56k
Jumlah yang saya dapat                     = RM4k
Bayaran bulanan selama 10 tahun     = RM700

Ini bermakna saya telah menambah komitmen bulanan saya sebanyak RM250 jika saya bersetuju untuk menerima tawaran ini dan hanya mendapat RM4k saja.RM4k tidak cukup untuk saya gunakan samada untuk selesaikan hutang yang lain ataupun sebagai modal pelaburan.Sebelum ini saya hanya membayar RM450 kepada MBSB setiap bulan selama 20 tahun.Ini kes pertama.Ada pula kes yang kedua iaitu MBSB menawarkan pula loan seperti yang kat bawah ni

Loan yang lulus                                    = RM105k
MBSB settlekan hutang kereta             = RM18k
MBSB settlekan hutang loan RHB       = RM2k
MSBS settlekan hutang loan akaun 1   = RM56k
Cas insuran dan lain-lain  6%               = RM6300
Bayaran bulanan selama 10 tahun        = RM1225

Jumlah yang akan saya dapat   = RM22700

Dengan jumlah RM22700 di tangan saya, rasanya saya hanya boleh gunakan duit ini sebagai modal untuk membuat loan ASB sahaja.Jumlah ini tidak cukup untuk saya membeli tanah dusun ataupun apartment di Pulau Pinang secara tunai.Perlu diingat komitment saya telah pun penuh dan tidak lagi boleh membeli hartanah secara berhutang.Saya hanya boleh menambah untuk membeli rumah kedua selepas 10 tahun iaitu selepas hutang MBSB ini selesai.Jika diteliti kalau saya membuat loan ASB pula

Modal di tangan   = RM22700
Layak membuat loan ASB sebanyak = RM200k
Bayaran bulanan selama 30 tahun kepada bank CIMB = RM1098
Jumlah bayaran setahun kepada CIMB = RM1098 x 12 = RM13176
Baki duit di tangan = RM22700-RM13176 = RM9524

Saya hanya perlu mengeluarkan modal selama setahun sahaja kerana pada tahun berikutnya saya boleh menggunakan dividen daripada ASB untuk membayar loan ASB kepada CIMB.

Duit dalam ASB = RM200k
Anggaran dividen ASB = 8%
Jumlah dividen = RM200k x 8% = RM16000
Kadar keuntungan = RM16000 - RM13176 = RM2824

Jadi setiap tahun saya akan memperolehi RM2824 sebagai bonus hasil daripada pinjaman dan pelaburan saya.

Sekarang saya perlu kira untung dan rugi jika saya memilih jalan ini

Loan MBSB = RM105k
Jumlah perlu dibayar = RM1225 x 12 x 10 = RM147k
Kadar kerugian = RM 147k-105k = RM42k

Apa yang saya dapat

Baki dalam tangan = RM9524
Dividen ASB         = RM2824 x 30 tahun = RM84720
Duit selepas 30 tahun = RM200k

Jumlah duit yang saya dapat adalah RM 294244

Kadar keuntungan ROI = (RM294244 - RM147000)/ RM147000
                                      = 100%

Jadi bagi saya ini adalah satu pelaburan yang amat menguntungkan.Jika kita ambil kira kadar inflasi lagi 30 tahun mungkin dalam nisbah 5 kali ganda.Jadi saya masih lagi membuat keuntungan sebanyak 20%.Sebarang pelaburan yang memberi pulangan lebih daripada 8% ia adalah satu pelaburan yang bagus.

Apa effect kepada komitment bulanan saya?

Komitment sekarang = RM1060
Komitment jika saya memilih jalan ini = RM1225
Pertambahan komitment bulanan         = RM1225-RM1060 = RM165

Jadi jika saya mengatakan bahawa pertambahan RM165 ini bukanlah beban bagi saya jadi saya patut meneruskan langkah saya untuk menerima tawaran personal loan daripada MBSB ini.Dan jika saya berkata RM165 adalah membebankan saya dan keluarga saya perlu menolak tawaran ini.Sehingga sekarang saya masih lagi memikirkannya.Tapi sebenarnya loan ASB adalah satu insuran yang paling bagus bagi saya kerana jika saya hilang upaya akibat kemalangan duit RM200k akan terus diserahkan kepada saya.Jika saya meninggal pula RM200k akan terus diberikan kepada isteri dan anak-anak saya.Sebab itu saya katakan kita tak perlu membeli insuran jika kita ada membuat loan ASB ini.Loan ini boleh dijadikan insuran kemalangan, nyawa ataupun simpanan pada masa tua.

Kalau sahabat semua meneliti semua tulisan saya, proses untuk menjadi seorang yang kaya hanyalah apabila kita bijak memanipulasi hutang dan duit yang ada di tangan kita.Buangkan sifat negatif yang mengatakan berhutang itu akan membebankan kita.Tapi jika hutang itu berada di tangan mereka yang pandai mengawalnya ia akan mempercepatkan dia untuk menjadi kaya.

Mmmm....baki RM9524 tu mungkin saya akan gunakan untuk membeli superbike.Huhu..Walaubagaimana pun ini hanyalah perancangan semata-mata.Hanya Allah SWT yang berkuasa untuk memakbulkan segalanya.Tiada kuasa yang lebih hebat daripadaNya.Jadi kena banyak bersyukur dan melakukan solat Dhuha kepada Nya.

Wassalam.

Monday, 11 May 2015

Cara-Cara Membiak Pokok Kucai

Assalamualaikum sahabat semua,


Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang cara-cara untuk membiak pokok kucai.Kita boleh membiak pokok kucai setelah batang kucai ini telah matang dan kalau rumpun pokok kucai telah memenuhi pasu atau plastik beg.Macam kucai dalam beg plastik hitam tu sebenarnya ia telah pun padat dengan batang kucai dan untuk membolehkan batang kucai itu membiak dengan elok maka kita perlulah mengubahnya.Seperti yang telah saya cerita pada posting yang lepas kucai ini membiak melalui belahan dedua iaitu daripada satu batang induk yang telah matang kemudian membelah menjadi 2 batang anak benih.Proses ini akan terus berlaku sehinggalah pasu kita menjadi padat dengan batang kucai.Untuk membolehkannya membelah dan membiak maka kita terpaksa mengubahnya supaya proses pembelahan batang kucai tidak terbantut.




Proses Pertama

Langkah pertama adalah dengan menyediakan medium pembiakan kucai ataupun tanah campuran untuk kita isi dalam pasu sebagai tempat pembiakan kucai.Apa yang kita perlukan adalah

1-1 beg plastik tanah kompos  (RM2.00/pc)
2-1 beg baja organik tulen (RM5.00/pc)
3-pasir sungai 

Tanah kompos dan baja organik boleh kita beli daripada nurseri ataupun kedai yang menjual baja/racun untuk pertanian.Nisbah campuran adalah 3:2:1 iaitu tanah kompos:pasir:baja organik.Macam kes saya mula-mula saya sukat dulu 1 kg baja organik dalam pasu kecil.Bila sukat dapat la 2 pasu kecil.Jadi saya tau la saya perlukan 6 pasu kecil untuk tanah kompos dan 4 pasu kecil untuk pasir.Sahabat semua boleh membeli pasir sungai daripada kedai hardware yang ada jual alatan pembinaan.Macam kes saya, untuk menjimatkan kos saya menggunakan pasir yang ada dalam longkang di depan rumah saya sahaja.Jadi campur sahaja semua ketiga-tiga campuran ni kemudian gaul sama rata.Pastikan tanah campuran tidak berketul-ketul.Kalau nak lagi bagus tambahkan lagi tanah campuran tu dengan habuk sabut ataupun hampas kelapa dengan nisbah campuran 1:1.


Proses Kedua

Langkah kedua adalah kita mula mengembur tanah kucai yang dalam plastik beg yang nak kita ubah tu supaya lembut dan mudah untuk kita mencerai-ceraikan batang kucai tu.Saya telah mencerai-ceraikan batang kucai tu menjadi seperti gambar yang kat atas ni.Saya asingkan batang kucai yang telah matang dengan anak kucai yang masih muda supaya saya boleh tanam yang dah matang serumpun dan yang masih muda serumpun.Proses nak ceraikan batang kucai kena buat dengan cermat pasal kita tak mahu akar kucai yang berserabut tu putus dan akhirnya akan membantutkan pembesaran pokok kucai kita.


Proses Ketiga

Langkah ketiga adalah kita memasukkan tanah campuran ke dalam pasu/beg plastik hitam/apa sahaja bekas yang kita suka cukup setakat setengah daripada bekas tu.Lepas tu kita susun la batang kucai tu dalam bekas tu.Macam kes saya, saya guna pasu yang kecil sahaja.Jadi saya selerakkan menjadi 5 batang pokok kucai dalam setiap pasu.Ada orang jenis suka tanam 1 rumpun terus dalam satu pasu dan sebenarnya cara itu adalah salah.Bila kita tanam 1 rumpun terus kita membantutkan pokok kucai kita untuk membiak.Cara yang betul adalah dengan menanam jarang-jarang supaya nanti kucai tu akan memenuhi seluruh kawasan pasu kita.Bukannya tertunpu di bahagian tengah sahaja.Lepas kita dah susun batang kucai tu maka kita pun kambuslah tanah campuran sehingga ke leher pasu.


Proses Keempat

Langkah yang akhir sekali adalah kita susun pokok kucai yang telah kita ubah kemudian jirus dengan air.Kucai yang telah diubah sepatutnya tidak dibiarkan menerima terus cahaya matahari.Ini akan membuatnya layu.Kena letak kat tempat teduh dahulu kemudian barulah kita ubah kepada tempat yang menerima cahaya matahari secara terus.Jadi kita tunggulah selama 3-4 bulan untuk melihat kucai kita membiak dan memenuhi seluruh pasu kita tu.Selamat mencuba.Saya masih ada lagi 3 induk kucai yang masih belum diubah.Setakat sekrang saya telah ubah 2 beg plastik.Dengan cara ini tanaman kucai kita akan menjadi banyak dan hasilnya juga akan turut berkembang sehinggalah kita berkata cukuplah setakat ni sahaja pokok kucai yang kita mampu jaga.

Wassalam.


Tuesday, 5 May 2015

Cara-Cara Menjaga Pokok Limau Kasturi

Assalamualaikum sahabat semua,




Pada posting yang lepas, saya telah bercerita tentang cara-cara menanam pokok limau kasturi.Saya berharap sahabat semua banyak mendapat manfaat daripada ilmu yang telah saya share.Memandangkan bila saya lihat search keywood daripada google banyak sahabat semua mencari pasal pokok limau kasturi ni, jadi pada kali ni saya ingin berkongsi tentang cara-cara penjagaan pokok limau kasturi ni pula.


Sebelum itu saya ingin berkongsi sikit pesanan tokwan saya bahawa kalau nak tanam pokok yang masam seperti limau dan mangga, tanah yang paling sesuai untuknya ialah tanah yang masam juga.Bahasa orang tua-tua ni tanah masam.Kalau bahasa buku adalah tanah yang berasid tinggi seperti tanah paya,tanah sawah atau bendang atau tanah yang berair.Tanah yang sebegini amat sesuai untuk tanaman limau dan mangga.Tapi hasil dari permodenan, kita boleh mendapatkan baja yang sesuai untuk memberi galakan kepada pokok limau walaupun tanah yang kita tanam adalah tanah lektrik atau tanah merah.Jadi walaupun tanah dihalaman rumah saya adalah tanah lektrik, tapi limau tu tetap juga masam dan bila makan tetap macam kena lektrik jugak.Hehe


Pokok limau ini mempunyai perosak iaitu ulat beluncas.Ulat ni cukup suka makan pucuk daun limau yang muda.Kalau ada sekor ja beluncas ni memang habis la daun muda dia tebas siap sekali dengan batang-batang muda yang lembut tu.Pendek kata seekor ulat beluncas sahaja sudah cukup untuk memberi kesan yang nyata kepada pokok limau kita.Jadi macam mana kita nak hadapi serangan ulat beluncas ni.


Racun Perosak 

Saya menggunakan racun perosak jenis Malathion untuk pokok limau kasturi,limau nipis dan limau purut yang ditanam di halaman rumah.Harga RM6.00 sebotol.Sukatannya 1 penutup botol penuh dicampur dengan 1/2 liter air.Saya akan sembur racun ni 2 minggu sekali bergantung kepada cuaca.Kalau hujan kerap saya akan sembur seminggu sekali.Kesan racun ni akan hilang jika hujan turun dengan kerap.Lagi satu lepas kita sembur racun, apa sahaja seperti buah atau daun tidak boleh kita makan selama 3 hari.Jadi saya memang dah pesan siap-siap kat isteri saya jangan memandai-mandai dok petik buah limau kasturi atau daun limau purut saya untuk buat air atau masak tomyam tanpa pengetahuan saya.Takut-takut saya baru sahaja sembur racun.Racun ni agak kuat bau dia.Boleh menusuk hidung lepas sembur.Tapi memang cukup berkesan untuk halau ulat beluncas ataupun rama-rama daripada bertelur kat daun pokok limau kita.Saya tak pasti samaada belalang pun suka makan daun limau pasal saya tak pernah nampak.Tapi kalau lama tak sembur racun memang ketara sangat kerosakkan yang dihadapi oleh pokok limau saya.

Racun Organik

Kalau kita susah nak dapatkan racun Malathion ini ataupun kita lebih suka kepada cara yang lebih organik, kita boleh membuat racun perosak kita sendiri.

Bahan-Bahan

1-Bawang putih
2-Serai
3-Cabai melaka
4-Minyak masak

Kita boleh blender campuran ni dengan nisbah 1:1:1/4 untuk bawang putih:serai:cabai melaka.Minyak pula kita boleh jek bubuh agak-agak tapi jangan terlalu likat.Campuran ni kita blender sampai lumat pastu kita tapis.Air campuran ni la kemudian kita masukkan ke dalam spray dan sembur kat pokok kita.Cara ni pun berkesan juga.Tapi saya lebih suka pakai racun perosak sahaja kerana malas nak blender dan perah campuran ni semua.Hehe.

Pembajaan

Pokok limau kasturi yang baru ditanam sepatutnya hanya diberi baja pengalak daun sahaja untuk memulihkan akar dan membanyakkan daunnya.Kalau tak silap kena bagi baja ni setiap 2 minggu sekali cukup sekadar 1 sudu teh.Kita kena bagi baja ni sampai lah umur pokok limau kasturi kita cukup 1 tahun.Lepas 1 tahun barulah kita bagi baja buah kat dia.Sukatannya pun sama iaitu 1 sudu teh 2 minggu sekali.


Air

Air adalah satu komponen yang amat penting untuk pembesaran pokok.Saya boleh melihat sendiri macam mana pokok saya bila musim hujan dan musim kemarau.Kalau musim hujan tu pokok nampak segar dan daun dia hijau-hijau ja.Bila musim kemarau nampak macam layu tak bermaya ja.Jadi cukup penting untuk jirus air 2 kali sehari sewaktu pagi dan petang.Kalau musim hujan kita boleh berhenti menjirus air.


Oleh itu, untuk mendapatkan pokok limau kasturi yang sihat dan mengeluarkan hasil yang memberangsangkan semua faktor di atas amatlah penting iaitu tanah,racun perosak,baja dan air.4 elemen ini adalah penentu kepada kesihatan pokok limau kasturi kita.

Wassalam.