Monday 11 May 2015

Cara-Cara Membiak Pokok Kucai

Assalamualaikum sahabat semua,


Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang cara-cara untuk membiak pokok kucai.Kita boleh membiak pokok kucai setelah batang kucai ini telah matang dan kalau rumpun pokok kucai telah memenuhi pasu atau plastik beg.Macam kucai dalam beg plastik hitam tu sebenarnya ia telah pun padat dengan batang kucai dan untuk membolehkan batang kucai itu membiak dengan elok maka kita perlulah mengubahnya.Seperti yang telah saya cerita pada posting yang lepas kucai ini membiak melalui belahan dedua iaitu daripada satu batang induk yang telah matang kemudian membelah menjadi 2 batang anak benih.Proses ini akan terus berlaku sehinggalah pasu kita menjadi padat dengan batang kucai.Untuk membolehkannya membelah dan membiak maka kita terpaksa mengubahnya supaya proses pembelahan batang kucai tidak terbantut.




Proses Pertama

Langkah pertama adalah dengan menyediakan medium pembiakan kucai ataupun tanah campuran untuk kita isi dalam pasu sebagai tempat pembiakan kucai.Apa yang kita perlukan adalah

1-1 beg plastik tanah kompos  (RM2.00/pc)
2-1 beg baja organik tulen (RM5.00/pc)
3-pasir sungai 

Tanah kompos dan baja organik boleh kita beli daripada nurseri ataupun kedai yang menjual baja/racun untuk pertanian.Nisbah campuran adalah 3:2:1 iaitu tanah kompos:pasir:baja organik.Macam kes saya mula-mula saya sukat dulu 1 kg baja organik dalam pasu kecil.Bila sukat dapat la 2 pasu kecil.Jadi saya tau la saya perlukan 6 pasu kecil untuk tanah kompos dan 4 pasu kecil untuk pasir.Sahabat semua boleh membeli pasir sungai daripada kedai hardware yang ada jual alatan pembinaan.Macam kes saya, untuk menjimatkan kos saya menggunakan pasir yang ada dalam longkang di depan rumah saya sahaja.Jadi campur sahaja semua ketiga-tiga campuran ni kemudian gaul sama rata.Pastikan tanah campuran tidak berketul-ketul.Kalau nak lagi bagus tambahkan lagi tanah campuran tu dengan habuk sabut ataupun hampas kelapa dengan nisbah campuran 1:1.


Proses Kedua

Langkah kedua adalah kita mula mengembur tanah kucai yang dalam plastik beg yang nak kita ubah tu supaya lembut dan mudah untuk kita mencerai-ceraikan batang kucai tu.Saya telah mencerai-ceraikan batang kucai tu menjadi seperti gambar yang kat atas ni.Saya asingkan batang kucai yang telah matang dengan anak kucai yang masih muda supaya saya boleh tanam yang dah matang serumpun dan yang masih muda serumpun.Proses nak ceraikan batang kucai kena buat dengan cermat pasal kita tak mahu akar kucai yang berserabut tu putus dan akhirnya akan membantutkan pembesaran pokok kucai kita.


Proses Ketiga

Langkah ketiga adalah kita memasukkan tanah campuran ke dalam pasu/beg plastik hitam/apa sahaja bekas yang kita suka cukup setakat setengah daripada bekas tu.Lepas tu kita susun la batang kucai tu dalam bekas tu.Macam kes saya, saya guna pasu yang kecil sahaja.Jadi saya selerakkan menjadi 5 batang pokok kucai dalam setiap pasu.Ada orang jenis suka tanam 1 rumpun terus dalam satu pasu dan sebenarnya cara itu adalah salah.Bila kita tanam 1 rumpun terus kita membantutkan pokok kucai kita untuk membiak.Cara yang betul adalah dengan menanam jarang-jarang supaya nanti kucai tu akan memenuhi seluruh kawasan pasu kita.Bukannya tertunpu di bahagian tengah sahaja.Lepas kita dah susun batang kucai tu maka kita pun kambuslah tanah campuran sehingga ke leher pasu.


Proses Keempat

Langkah yang akhir sekali adalah kita susun pokok kucai yang telah kita ubah kemudian jirus dengan air.Kucai yang telah diubah sepatutnya tidak dibiarkan menerima terus cahaya matahari.Ini akan membuatnya layu.Kena letak kat tempat teduh dahulu kemudian barulah kita ubah kepada tempat yang menerima cahaya matahari secara terus.Jadi kita tunggulah selama 3-4 bulan untuk melihat kucai kita membiak dan memenuhi seluruh pasu kita tu.Selamat mencuba.Saya masih ada lagi 3 induk kucai yang masih belum diubah.Setakat sekrang saya telah ubah 2 beg plastik.Dengan cara ini tanaman kucai kita akan menjadi banyak dan hasilnya juga akan turut berkembang sehinggalah kita berkata cukuplah setakat ni sahaja pokok kucai yang kita mampu jaga.

Wassalam.


Tuesday 5 May 2015

Cara-Cara Menjaga Pokok Limau Kasturi

Assalamualaikum sahabat semua,




Pada posting yang lepas, saya telah bercerita tentang cara-cara menanam pokok limau kasturi.Saya berharap sahabat semua banyak mendapat manfaat daripada ilmu yang telah saya share.Memandangkan bila saya lihat search keywood daripada google banyak sahabat semua mencari pasal pokok limau kasturi ni, jadi pada kali ni saya ingin berkongsi tentang cara-cara penjagaan pokok limau kasturi ni pula.


Sebelum itu saya ingin berkongsi sikit pesanan tokwan saya bahawa kalau nak tanam pokok yang masam seperti limau dan mangga, tanah yang paling sesuai untuknya ialah tanah yang masam juga.Bahasa orang tua-tua ni tanah masam.Kalau bahasa buku adalah tanah yang berasid tinggi seperti tanah paya,tanah sawah atau bendang atau tanah yang berair.Tanah yang sebegini amat sesuai untuk tanaman limau dan mangga.Tapi hasil dari permodenan, kita boleh mendapatkan baja yang sesuai untuk memberi galakan kepada pokok limau walaupun tanah yang kita tanam adalah tanah lektrik atau tanah merah.Jadi walaupun tanah dihalaman rumah saya adalah tanah lektrik, tapi limau tu tetap juga masam dan bila makan tetap macam kena lektrik jugak.Hehe


Pokok limau ini mempunyai perosak iaitu ulat beluncas.Ulat ni cukup suka makan pucuk daun limau yang muda.Kalau ada sekor ja beluncas ni memang habis la daun muda dia tebas siap sekali dengan batang-batang muda yang lembut tu.Pendek kata seekor ulat beluncas sahaja sudah cukup untuk memberi kesan yang nyata kepada pokok limau kita.Jadi macam mana kita nak hadapi serangan ulat beluncas ni.


Racun Perosak 

Saya menggunakan racun perosak jenis Malathion untuk pokok limau kasturi,limau nipis dan limau purut yang ditanam di halaman rumah.Harga RM6.00 sebotol.Sukatannya 1 penutup botol penuh dicampur dengan 1/2 liter air.Saya akan sembur racun ni 2 minggu sekali bergantung kepada cuaca.Kalau hujan kerap saya akan sembur seminggu sekali.Kesan racun ni akan hilang jika hujan turun dengan kerap.Lagi satu lepas kita sembur racun, apa sahaja seperti buah atau daun tidak boleh kita makan selama 3 hari.Jadi saya memang dah pesan siap-siap kat isteri saya jangan memandai-mandai dok petik buah limau kasturi atau daun limau purut saya untuk buat air atau masak tomyam tanpa pengetahuan saya.Takut-takut saya baru sahaja sembur racun.Racun ni agak kuat bau dia.Boleh menusuk hidung lepas sembur.Tapi memang cukup berkesan untuk halau ulat beluncas ataupun rama-rama daripada bertelur kat daun pokok limau kita.Saya tak pasti samaada belalang pun suka makan daun limau pasal saya tak pernah nampak.Tapi kalau lama tak sembur racun memang ketara sangat kerosakkan yang dihadapi oleh pokok limau saya.

Racun Organik

Kalau kita susah nak dapatkan racun Malathion ini ataupun kita lebih suka kepada cara yang lebih organik, kita boleh membuat racun perosak kita sendiri.

Bahan-Bahan

1-Bawang putih
2-Serai
3-Cabai melaka
4-Minyak masak

Kita boleh blender campuran ni dengan nisbah 1:1:1/4 untuk bawang putih:serai:cabai melaka.Minyak pula kita boleh jek bubuh agak-agak tapi jangan terlalu likat.Campuran ni kita blender sampai lumat pastu kita tapis.Air campuran ni la kemudian kita masukkan ke dalam spray dan sembur kat pokok kita.Cara ni pun berkesan juga.Tapi saya lebih suka pakai racun perosak sahaja kerana malas nak blender dan perah campuran ni semua.Hehe.

Pembajaan

Pokok limau kasturi yang baru ditanam sepatutnya hanya diberi baja pengalak daun sahaja untuk memulihkan akar dan membanyakkan daunnya.Kalau tak silap kena bagi baja ni setiap 2 minggu sekali cukup sekadar 1 sudu teh.Kita kena bagi baja ni sampai lah umur pokok limau kasturi kita cukup 1 tahun.Lepas 1 tahun barulah kita bagi baja buah kat dia.Sukatannya pun sama iaitu 1 sudu teh 2 minggu sekali.


Air

Air adalah satu komponen yang amat penting untuk pembesaran pokok.Saya boleh melihat sendiri macam mana pokok saya bila musim hujan dan musim kemarau.Kalau musim hujan tu pokok nampak segar dan daun dia hijau-hijau ja.Bila musim kemarau nampak macam layu tak bermaya ja.Jadi cukup penting untuk jirus air 2 kali sehari sewaktu pagi dan petang.Kalau musim hujan kita boleh berhenti menjirus air.


Oleh itu, untuk mendapatkan pokok limau kasturi yang sihat dan mengeluarkan hasil yang memberangsangkan semua faktor di atas amatlah penting iaitu tanah,racun perosak,baja dan air.4 elemen ini adalah penentu kepada kesihatan pokok limau kasturi kita.

Wassalam.