Wednesday 11 January 2017

Hobi Ternakan Arnab

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang hobi saya iaitu ternakan arnab.Sebenarnya, saya telah pun membela beberapa ekor arnab sebelum ni sewaktu saya bujang dan semasa telah berkahwin.Pada kali pertama saya membela arnab, ada arnab saya yang mati pasal saya bagi makan sayur terbuang hasil daripada pasar malam.Ni idea Pak Omar la ni.Walaupun bawak balik rumah, basuh bersih-bersih dan keringkan tapi bila arnab makan tetap dia mati juga.Huhu.Kali kedua saya membela arnab, saya lebih berhati-hati tentang soal makanannya.Tapi pada waktu itu saya sibuk dengan perniagaan pasar malam jadi saya membuat keputusan untuk sembelih sahaja arnab tu untuk jadi santapan saya.Hehe.Mungkin sahabat semua kata saya ni kejam kerana menyembelih arnab Tapi bagi saya sendiri, saya tiada masalah untuk membela arnab, sembelih arnab tersebut dan makan kerana binatang yang halal dimakan tetap binatang walaupun nampak comel.Lagipun ianya halal di sisi Islam.Cuma hati kena kering sikit la pasal tak ramai orang boleh sembelih binatang comel macam arnab ni.Tambah-tambah sebelum kena sembelih arnab ni akan berbunyi sayu.Tapi sebenarnya arnab adalah haiwan yang paling cepat mati apabila kena sembelih berbanding binatang lain.Kebanyakkan orang kita bila sebut ja daging arnab memang ramai yang tak lalu, tapi bila kita bagi makan tanpa sebut daging apa memang bertambah-tambah selera dia menikmati daging arnab tu. 

Sekarang ni adalah kali ke 3 saya membela arnab.Saya mulakan dengan membeli sepasang arnab kampung dan sepasang arnab mix teddy bear dengan carlifornia white.Yang arnab kampung tu bulu warna coklat, berbulu pendek dan bermata hitam.Bentuk badan biasa untuk arnab kampung.Yang mix tu bulu warna keseluruhannya putih, bermata merah dan berbulu panjang macam arnab teddy bear.Badan pula agak besar berbanding arnab kampung.Sebab tu saya katakan ia mix teddy bear dengan carlifornia white.Saya membeli 2 pasang arnab ini dengan harga RM100 di sebuah kedai binatang dekat Bandar Perda.4 ekor arnab ni saya tempatkan masing-masing dalam sangkar yang saya buat sendiri menggunakan jaring besi.Satu ekor satu sangkar supaya saya boleh kawal kadar pembiakan arnab ni dan supaya arnab ni tidak bergaduh sesama sendiri.Dalam banyak blog pasal penternakan arnab ada diberitahu yang arnab betina lebih bersifat teritorial untuk kawasan sendiri.Kalau kita campur betina dengan jantan nanti yang si jantan tu akan selalu kena cakar dengan yang betina.Jadi baik asingkan biar depa duduk satu sangkar satu ekor.Senang nak jaga dan bela.

Makanannya pula saya ada membeli satu guni palet yang 25kg tu di Padang Serai dengan harga RM24 seguni.Palet ni berwarna koko dan kalau diikutkan kandungannya adalah untuk mengemukkan arnab tu.Ada juga palet yang berwarna hijau yang kandungannya banyak serat tapi palet hijau ni harga mahal sikit la.25kg depa jual RM40 seguni.Memandangkan saya membela arnab untuk makanan jadi saya menggunakan palet koko supaya arnab saya cepat gemuk dengan daging.Walaubagaimanapun, arnab tetap memerlukan serat supaya tidak menghadapi masalah cirit birit.Jadi saya lebih selesa bagi arnab saya daun pisang yang banyak kat sebelah rumah, kangkung kampung yang Pakcik Senapi setiap minggu cari untuk dijual dan rumput israel.Setakat sekarang, arnab saya tiada masalah menghadam semua makanan ni.Ada satu lagi makanan yang saya bagi hanya pada hujung minggu sahaja iaitu alfalfa hay ataupun rumput alfalfa.Rumput ni mahal harganya.3kg depa jual RM18 kat kedai makanan binatang di Taman Selasih, Kulim.Harga mahal jadi kasi makan hujung minggu udah ler.Serat ni semua hanya untuk mengelakkan cirit birit iaitu jika arnab hanya makan palet koko sahaja.Saya juga hanya bagi makanan serat ni di waktu pagi sahaja.Waktu malam 100% palet sahaja.

Arnab betina mix saya telah pun melahirkan 3 ekor anak tapi 2 ekor telah pun mati pasal kena pijak dan lambat makan susu.Yang tinggal hanya seekor sahaja yang paling besar antara depa 3 ekor tu.Memandangkan arnab betina saya masih lagi mentah dan pertama kali melahirkan anak, jadi dia tak reti nak bagi anak ni makan susu.Dah sudah keja saya la pulak asingkan anak ni dengan ibu dia pastu bagi makan anak arnab ni 3 kali setiap hari.Saya kena pegang ibu dia pastu pegang anak dia dan bagi susu ibu arnab secara manual.Selepas dalam 2 minggu, arnab ni pun mula buka mata dan barulah saya letakkan balik anak arnab ni dengan ibu dia pasal bila dah besar anak arnab ni tahu jek cari puting susu ibu dia sendiri.Kebarangkalian untuk anak arnab ni mati dipijak ibunya juga agak rendah.saya letak dengan ibunya pun sebab anak arnab ni tak mahu makan susu kucing yang saya belikan di kedai.Sekarang ni sihat jek dia dengan ibunya.Cuma ibu arnab ni bila ada anak dia mula la garang mengalahkan Joyah.Asyik nak gigit ja tangan kita bila nak letakkan makanan dalam sangkar dia.

Sekarang ni semua arnab saya sihat-sihat dan gemuk-gemuk belaka.Bila dah banyak sangat beranak pinak mungkin saya akan pertimbangkan untuk sembelih.Tapi rasanya saya hanya akan sembelih arnab kampung sahaja.Arnab mix ni terlalu comel jadi rasa kesian sikit nak sembelih.Huhu.(mula sembang kemas hati kering tapi kalah gak dengan arnab teddy bear ni).Mungkin projek lepas ni adalah untuk buat banyak lagi sangkar supaya saya boleh masukkan arnab carlifornia white yang boleh saya jadikan ternakan untuk makanan saya sekeluarga (mungkin saya sorang saja yang makan.Huhu).

Wassalam.