Thursday 19 November 2020

Sanubari


Di sini sendirian,
Ku termanggu kaku,
Ada batu di telapak punggung,
Kerasnya serasa kesal di hatiku,
Ada bayu menyapa cuping,
Bagaikan mengesat lembut,
Beningnya air yang mengalir,
Yang membasahi pipi,
Ku pejamkan mata,
Ku lihat bayangan semalam,
Ku bukakan mata,
Ku lihat harapan sedalam,
Rasa cintaku padamu…
Disini sendirian,
Ku termenung beku,
Ada merdu kicauan burung,
Lunaknya serasa belai di kalbuku,
Ada lalang melambai memanggil,
Bagaikan mengundang pulang,
Langkah kakiku menapak,
Yang telah lama longlai,
Ku tutupkan bibir,
Ku fahami riak kasihmu,
Ku bukakan bibir,
Ku fahami teriak namamu,
Rasa sayangku padamu...
Ada ranting itu mula rapuh,
Ada daun itu mula gugur,
Ada akar itu mula goyah,
Ada dahan itu mula sungkur,
Yang tinggal hanya sinar mentarimu,
Yang tinggal hanya warna pelangimu,
Yang tinggal hanya kerdip kejoramu,
Yang tinggal hanya cahaya rembulanmu,
Namun tidaklah abadi,
Kerana diriku pastikan mati,
Yang tinggal hanyalah nanti,
Nirwanaku yang suci…..
Nukilan Rasa,
Sang Belantara Rimba



Monday 16 November 2020

Perjalanan ku

Perjalanan ku



Di alam ini,
Teriakku terpinga-pinga,
Buta hati dan nuraniku,
Pada zaman pertama dan terakhir,
Tiada rindu yang menjelma,
Kerana dikau belum sempat ku kenali,
Sayup-sayup jiwaku dibelai,
Pada desiran kalimah cinta,
Bisikan pawana mengalunkan,
Nyanyian agung namamu kasih,
Bergetar kalbu longlai tubuhku,
Mengenangkan tulusnya cintamu,
Pada diriku yang hanya secebis cuma,
Hama di persinggahan ini,
Ku datang tanpa siapa dan apa-apa,
Tiada teman tiada arah tuju dan hala,
Kau tebarkan jaringan perlindunganmu,
Pada diriku si insan kerdil,
Yang menumpang berteduh di bawah payungmu,
Sehingga masa yang kau tentukan,
Kembali ke pangkuanmu wahai kasih
Kekasihku,
Janganlah kau biarkan,
Diriku yang hanyut dilambung ombak duniawi,
Sambutlah tanganku yang hampir tenggelam,
Pada asyiknya nikmat yang sementara,
Kau sematkanlah pada diriku,
Ombak kasih sayang nan tiada bertepian,
Sehingga membasuh segala lumpur di pantai amalku,
Kau taburkanlah pada diriku,
Manik-manik cinta yang tiada berpenghujung,
Sehingga menerangi jalan hidupku,
Yang penuh onak dan ranjau,
Dalam berkelana mencari sinar kasihmu,
Wahai kekasihku,
Nantikan aku dihujung sana,
Rindu dendamku yang semakin membengkak,
Berilah aku peluang walau sejengkal,
Agar dapatku menatap ayunya wajahmu,
Yang selama ini tidak jemu mencurahkan kasih,
Pada diriku hambamu yang hina,
Ketemu kamu di sana….
Nukilan Rasa,
Sang Sangkakala Rimba

Kembara Rimba

Kembara Rimba


Di keheningan jiwa ini,
Ada bayu yang membelai,
Deruan kali membisikkan,
Kata-kata sejarah hitam,
Tatkala ku tersentak,
Pada irama mergastua,
Ada sinar dari rembulan,
Memantulkan cahaya,
Menyuluh sukma,
Kerdipan bintang di angkasa,
Bagaikan menghitung,
Langkahku menapak,
Dalam raba dan gelita….
Dalam payah ku mendongak,
Mengadah wajah ku menanti,
Akan sirna warna pelangi,
Ku biarkan rintik hujan,
Membasahi tubuh,
Agar dapatku terus,
Menikmati dinginnya,
Kabus salju ini….
Ku temukan kelip-kelip,
Ku turuti jejaknya,
Membawaku ke hujung sana,
Ada perasaan hangat ku rasakan,
Membalut tubuhku,
Yang dah lama kesejukkan,
Ku mahukan api mentari,
Bebaskan rantai,
Yang membelenggu,
Jasad kaku,
Alpa ini….
Perjalanan ini masih jauh,
Dalam kembara mencarimu,
Ada api dalam sekam,
Yang perlu ku padam,
Agar tidak melarat,
Selagi ada kudrat,
Dan iradat darimu….
Nukilan Rasa,
Sang Sangkakala Rimba

P/S: setiap pemuisi ada gaya masing-masing.Dalam puisi yang kebanyakkan aku tulis selalunya ada ceritanya...dalam cerita itu ada maksudnya...dan dalam maksud itu ada maknanya yang tersendiri...jadi pembaca perlu menafsir sehingga 3 layer....sebab tu aku tak pernah kisah ramai yang cakap tak paham apa benda yang aku tulis...selalunya layer pertama dan kedua pemahaman boleh dikatakan sekata atau sama...cuma layer yang ketiga tu masing-masing akan mentafsir berdasarkan pengalaman hidup atau cerita sendiri secara personal...kerana aku suka meletakkan ayat-ayat yang samar-samar sehingga puisi aku terlihat seperti lukisan abstrak...