Monday 19 October 2020

Pengalaman Berkhemah / Camping di Denai Kabus, Kampung Pahat Grik

Assalamualaikum sahabat semua..

Pada kali ini aku nak share pengalaman aku berkhemah bersama anak-anak di Denai Kabus Grik.Ceritanya bermula apabila bini aku komen anak-anak boring tak tau nak buat apa kat rumah.Jadi aku pun terus cakap jom pi camping.Terus bini aku cakap tak mau ikut pasal susah nak bawak anak kecil sorang lagi baru 3 bulan.Dia suruh aku bawak abang-abang dia saja.Jadi boleh lah dia relek sikit dengan Alya dari serabut kepala Amsyar dan Ammar dok buat bising..Jadi aku pun terus wassap Denai Kabus tempah slot untuk khemah.Harga khemah kalau guna yang Denai Kabus punya RM40.Kalau kita bawak khemah sendiri harga RM30.Jadi rasanya ambik khemah Denai Kabus lagi best pasal tambah RM10 jek.Takdelah nanti balik rumah nak kena cuci khemah sendiri kan..hehe..Pastu nanti dia akan bagi senarai makan pagi,tengah hari dan malam.Kalau korang nak camping tapi makanan disediakan boleh la tempah.Macam aku tak ambik pun pasal aku nak masak sendiri.Aku cuma ambil nasi dulang sahaja yang berharga RM50 sedulang.Denai Kabus bagi no akaun Maybank terus aku transfer duit total sebanyak RM90.Dah tempah baru aku kalut dengan barang apa nak bawak.Yela.Aku tempah pun dah pukul 12.Nak pi pun ambik masa 2 jam.Kira boleh jamak solat la pasal jarak nak pi jauh lebih dari 2 marhalah dari rumah.

Antara barang yang aku bawak adalah seperti kat bawah ni

1-Baju,seluar aku dan anak-anak.Baju tidur,baju mandi dan baju pakai seharian.Kain tuala jangan lupa.Sleeping beg juga penting.

2-Benda makan seperti roti,teh & gula,ayam perap untuk BBQ,meggi,jajan & kuaci.

3-Kelengkapan BBQ seperti tempurung kelapa.Aku tak bawak arang pasal tempurung kelapa boleh ambik free jek kat kedai perah santan.Jaring,tempat BBQ,penyepit.Pastu aku bawak minyak tanah dan getah tiub tayar sebagai penghidup api.

4-Kelengkapan nak masak seperti dapur dan gas butane.Pastu segala macam barang nak makan seperti pinggan,sudu & garfu,cawan dan periuk.



















Dah pack dan angkut semua masuk dalam kereta terus aku drive dari Penang ke Denai Kabus di Kampung Pahat menggunakan bantuan google map.Aku sampai di Denai Kabus pada pukul 5 petang.Sampai saja terus daftar dan dapatlah khemah sebiji.Aku pasang sendiri khemah tu.Benda senang jek.Kalau tak reti pasang boleh minta depa pasangkan.Dah siap pasang khemah anak-anak kalut nak mandi kolam.Apa lagi.Sekali aku pun terjun sekali kat kolam budak-budak paras pinggang budak-budak.Selesai main air, pukul 7 aku ajak anak naik untuk aku pasang unggun api bagi panaskan badan yang dah sejuk gedi main air.Kayu api pihak Denai Kabus sediakan tapi kayu api tu habis semua basah daa.Nasib baik aku bawak tempurung kelapa dan getah tiub motorsikal.Jadi awalnya aku cucuh dulu tiub getah dan bakar tempurung dulu.Dah menyala tempurung tu baru aku susun kayu basah tadi dalam bentuk kon.Pastu apa lagi curah minyak tanah la bagi api marak.Tapi dah kayu basah dia marak kejap jek pastu padam la.Jadi aku hanya tambahkan tempurung kelapa sikit-sikit sambil haba tempurung ambil masa untuk keringkan kayu api yang basah tu.Dah lama dalam 2 jam barulah kayu api yang basah tu mula terbakar.


Aktiviti malam hanyalah BBQ ayam sambil anak-anak main api buat ubat nyamuk la,buat main bara macam bunga api la,buat ketuk-ketuk macam buat pisau la.Ikut depa la.Pastu tetiba Ammar cakap.Abah!Best no kalau kita boleh camping setiap minggu.Adik main api abah tak marah.Takde ibu yang nak marah dan berletiaq.Haha...ingatkan abah saja yang nak lari dari leteran ibu rupanya anak-anak pun sama.Haha...nasiblah nak oi...lama tak jumpa ibu satgi hampa cari ibu jugak.Sambil-sambil bakar ayam aku masak air untuk buat teh panas.Cuaca sejuk makan ayam panas-panas sambil minum teh panas amatlah menyegarkan.Ditemani dengan suara katak dan cengkerik.

Dah pukul 11 malam apa lagi mata dah mengantuk jadi bersiaplah untuk tidur.Aku ada bawak sleeping beg sebagai alas.Jadi tidur tu best sikit la.Takdelah tidur atas lantai khemah yang agak lembab.Aku buka kain pintu depan dan belakang khemah.Tinggal net untuk nyamuk sahaja.Tu pun masih rasa agak panas jadi apa lagi.Malam tu kami 3 orang tidur tak pakai baju lah.Tapi bila pukul 3 pagi camtu pakat bangun pakai baju balik pasal rasa amat sejuk.Hehe

Bangun pagi untuk solat dan aku mula siapkan untuk makan pagi.Masak air teh untuk cicah roti dan meggi sahaja.Anak-anak pakat pi mandi kolam.Pukul 8 pagi pi mandi kolam memang la sejuk air dia.Tak lama depa mandi pakat naik pasal sejuk dan lapar.Dah pekena meggi dan teh pakat terjun balik mandi kolam bersama dengan aku.Lama jugak la kami mandi sampai kecut habis kaki tangan.Dah puas pakat naik dan ready untuk jalan sekitar Denai Kabus ni.

Kat sini ada gym.Jadi aku dengan anak-anak acah-acah la try senaman sikit-sikit pastu jalan pi tangkap gambar di kolam mancing dan pondok kat sini.Nak mancing ikan kena bayar RM1 jek.Akan dapat joran dan umpan.Kalau dapat ikan nanti kena bayar ikan berdasarkan berapa kilo dapat.Kalau dapat ikan keli sekilo RM8.Aku tak macing pun pasal kalau dapat ikan aku sorang jugak nak kena masak dan makan.Pastu kami pi naik kayak dengan bayaran RM5.Suka anak-anak naik kayak pasal itu adalah pengalaman pertama mereka berkayak.Kemudian pi melawat ayam piru dan ayam belanda.Tengok burung nuri dan bila dah letih jalan-jalan kami makan air krim yang harga dia sedikit mahal dari luar.Macam aiskrim kat luar harga RM1.50 kat sini harga RM3.Oklah tu.

Pukul 12 kami anak beranak dah ready untuk makan nasi dulang menu orang kampung Grik.Harga setalam RM50.Agak mahal tapi lauk-pauk dia memang sedap dan bagi orang luar kawasan Grik.Ada gulai daging umbut pisang, ayam masak merah, kerabu taugeh dengan pucuk paku,ulam-ulaman dan sambal belacan.Air sirap satu jag.Dah selesai makan jadi aku pun terus check out dan drive balik rumah.Dalam kereta anak-anak ni tidur jela sepanjang perjalanan 2 jam nak balik tu.

Wassalam


Thursday 1 October 2020

Malam sunyi ini...ku coretkan sebuah puisi...untukmu........


Dinihari itu berlalu pergi,
Menyapa kabus yang masih berlabuh,
Dikaki gunung nan sepi,
Dingin sekali ku rasakan,
Pada urat nadi belikatku,
Menusuk jauh ke sum-sum tulangku,
Gendang telingaku kadang-kadang terdengar,
Kokokan ayam jantan dan lolongan anjing hitam,
Sayup-sayup berselang-seli,
Memecah keheningan Subuh,
Tatkala fajar baru menyinsing,
Melebarkan senyuman pada alam buana......
Ku terpandang kelibat persis bidadari,
Berkebaya merah,berkain batik dan bersanggul emas,
Indah sekali ku rasakan,
Pada ikal mayang mahkotanya,
Yang keperangan laksana kilauan akik,
Pada paduan bentuk tubuhnya laksana atlet,
Susun atur langkahnya kemas namun lemah bersantun,
Berselang-seli kiri dan kanan,
Pasti dapat memukau setiap mata yang memerhati,
Termasuklah diriku yang sepi sebegini....
Ku beranikan diri menyapa dirinya,
Hanya senyuman yang terukir tanpa bicara,
Bibirnya yang merekah bak delima,
Putih giginya laksana permata,
Tersusun indah tanpa cacat dan cela,
Sempat juga daku melirik ke matanya,
Bulat dan berkilau tajam jerlingannya,
Seolah-olah telah menusuk jauh,
Ke dasar lubuk hatiku,
Yang telah lama kering tanpa dihujani cinta.....
Ku sampaikan salam pada si cantik manis,
Siapakah geranganmu wahai sang puteri,
Yang begitu indah rupamu,
Berada seorang diri sambil menikmati,
Hawa dindin embun dari dedaunan,
Jikalah dikau sang pontianak,
Nescaya dikau tiada berkaki,
Jikalah dikau sang bunian,
Nescaya dikau menghilangkan diri,
Siapakah geranganmu wahai si dara pujaan....
Dengan senyuman dikau berbicara,
Eh budak ni!
Takde kerja lain ka mengacau pagi-pagi,
Pergi main jauh-jauh,
Tak kuasa ah nak layan,
Keluar sudah suara garau dari tubuh yang begitu rupawan,
Bangsatlah dikau makhluk dua alam,
Kewujudanmu telah menghancurkan,
Hatiku dan sebuah karya cinta,
Yang ku karang dengan begitu puitis....