Perjalanan ku
Di alam ini,
Teriakku terpinga-pinga,
Buta hati dan nuraniku,
Pada zaman pertama dan terakhir,
Tiada rindu yang menjelma,
Kerana dikau belum sempat ku kenali,
Sayup-sayup jiwaku dibelai,
Pada desiran kalimah cinta,
Bisikan pawana mengalunkan,
Nyanyian agung namamu kasih,
Bergetar kalbu longlai tubuhku,
Mengenangkan tulusnya cintamu,
Pada diriku yang hanya secebis cuma,
Hama di persinggahan ini,
Ku datang tanpa siapa dan apa-apa,
Tiada teman tiada arah tuju dan hala,
Kau tebarkan jaringan perlindunganmu,
Pada diriku si insan kerdil,
Yang menumpang berteduh di bawah payungmu,
Sehingga masa yang kau tentukan,
Kembali ke pangkuanmu wahai kasih
Kekasihku,
Janganlah kau biarkan,
Diriku yang hanyut dilambung ombak duniawi,
Sambutlah tanganku yang hampir tenggelam,
Pada asyiknya nikmat yang sementara,
Kau sematkanlah pada diriku,
Ombak kasih sayang nan tiada bertepian,
Sehingga membasuh segala lumpur di pantai amalku,
Kau taburkanlah pada diriku,
Manik-manik cinta yang tiada berpenghujung,
Sehingga menerangi jalan hidupku,
Yang penuh onak dan ranjau,
Dalam berkelana mencari sinar kasihmu,
Wahai kekasihku,
Nantikan aku dihujung sana,
Rindu dendamku yang semakin membengkak,
Berilah aku peluang walau sejengkal,
Agar dapatku menatap ayunya wajahmu,
Yang selama ini tidak jemu mencurahkan kasih,
Pada diriku hambamu yang hina,
Ketemu kamu di sana….
Nukilan Rasa,
Sang Sangkakala Rimba
No comments:
Post a Comment