Tuesday, 10 May 2016

Bayaran SSM dan Denda Jika Lewat Perbaharui Lesen

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya memperbaharui lesen berniaga saya baru-baru ini.

Saya sedar yang saya telah pun terlewat selama 2 bulan untuk memperbaharui lesen perniagaan saya.Mungkin saya sendiri pun tidak tahu yang kalau lewat memperbaharui lesen tersebut akan di denda sebanyak RM30 untuk 1 bulan.Jadi apabila hendak memperbaharui lesen perniagaan saya baru-baru ini saya telah didenda sebanyak RM60 kerana lewat selama 2 bulan.

Kalau sebelum ni harga untuk 1 tahun lesen perniagaan adalah RM30 tetapi sekarang telah naik sebanyak RM60 selama 1 tahun.Jadi saya telah membayar sebanyak RM120 untuk memperbaharui lesen selama 1 tahun dan denda lewat selama 2 bulan.

Saya ingin berpesan kepada semua yang telah berdaftar lesen perniagaan dengan SSM supaya jangan lewat memperbaharui lesen kerana dendanya bagi saya agak tinggi.Contoh jika lesen kita tamat pada 10/5/2016 kita kena perbaharuinya pada tarikh 9/5/2016.Jika lewat 1 hari sahaja (11/5/2016) kita kena bayar denda RM30.

Jadi beringat yek sebelum kena macam saya.Huhu...

Wassalam.

Friday, 6 May 2016

Daun Cenohom atau Kesum-Tumbuhan Terbiar Yang Boleh Menjadi Sumber Pendapatan

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua satu situasi yang pada pandangan mata kasar ia biasa sahaja tetapi rupanya boleh mendatangkan sumber pendapatan kepada sesiapa.

Ceritanya bermula apabila tok saya menghadapi masalah kebocoran longkang dari rumah sedara tok juga.Jadi setiap kali sesiapa menggunakan bilik air di rumah tok nek, air itu akan tiris sehingga masuk ke halaman rumah tok.Jadi tanah di depan halaman rumah tok sentiasa sahaja lembab dengan air punca dari bilik air tok nek ni.Lepas tu tok pun dah tengok tanah ni sentiasa lembab jadi dia pun mula la menyucuk batang pokok cenohom (daun yang orang guna untuk buat kuah laksa dan asam pedas) di setiap tanah yang lembab ni.Jadi hidup subur la pokok cenohom ni apabila sentiasa sahaja mendapat air yang banyak setiap hari.



Kalau tengok pada gambar kat atas pokok cenohom ni tumbuh sehingga hampir menutup tangga yang selalu saya gunakan untuk naik ke tempat parking kereta di kawasan rumah tok nek.Akhirnya, saya pun cuba lah tanya kedai runcit sama ada mereka mahu beli ke tidak daun cenohom ni pasal saya tengok ada satu kedai runcit ni dia hanya jual bunga kantan sahaja.Nak beli daun cenohom kena beli kat market Penanti.Bila tuan kedai dengar saya nak tolak kat dia daun cenohom memang pucuk dicita ulam mendatang la jawabnya.Tuan kedai ambil daun ni RM5.00 untuk satu kilo.Saya dah jual dekat 1kg lebih dah daun ni selama 2 minggu lepas.Duit hasil jualan daun cenohom saya bagi kat Tok pasal dia yang tanam.Gembira sangat dia kerana hasil kerjanya yang nampak macam tidak seberapa tapi boleh mendatangkan hasil.Inilah yang dikatakan dalam setiap musibah ada hikmahnya.

Selain daun cenohom, tok juga ada menyucuk batang kangkung kampung.Tak la banyak tapi kalau setakat nak makan sendiri memang cukup la.Kalau kat gambar yang belah kiri sekali.

Sekarang ni kerja saya tunggu pokok ni semak sahaja sebelum dituai untuk dijual ke kedai runcit.Kerja yang senang bagi saya kerana tak perlu menjirus air,tak perlu baja dan tak perlu letak racun.Biar sahaja sampai semak kemudian jual.

Wassalam.


Thursday, 31 March 2016

Cerita Hobi Isteri Yang Dijadikan Sumber Pendapatan

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi tentang hobi yang boleh dijadikan sumber pendapatan.Dalam kes sekarang ni adalah hobi isteri saya yang suka bakar kuih moden dan tradisional.Ianya bermula apabila saya cakap kat isteri yang saya boring dengan masakannya.Yela asyik masak benda yang sama sahaja.Jadi untuk sahut cabaran saya tu dia pun mula la google untuk buat kuih dan masuk group masakan kat Facebook.Bila dah dapat resepi dia pun mula la buat kuih karipap,apam,roti,kek,masalodeh dan sebagainya.Ada yang dia buat saya makan dan ada yang saya tak makan sangat pasal saya tak suka sangat makan makanan yang manis.Hehe




Nak dijadikan cerita, saya ada sebut yang family kami ni dah lama tak berniaga sejak daripada isteri saya melahirkan anak kami yang kedua.Jadi, saya pun cadangkanlah untuk dia jual kuih ataupun roti.Percubaan pertamanya adalah membuat roti sosej.Ada la banyak kali juga dia try untuk cuba dapatkan resepi yang terbaik nak bagi roti lembut dan gebu.Kemudian bila dah berjaya saya pun bertanya lah kepada pakcik kat Taman Mutiara yang jual kuih setiap pagi.Pakcik tu bagitau kalau harga roti sosej tu kita jual dengan harga RM1 maka komisyen yang dia ambil adalah 20 sen.Jadi daripada hobi, bini saya telah menukarkannya menjadi sumber pendapatan dengan menjual 15 keping roti sosej setiap hari.


Walau bagaimanapun, bisnes roti sosej itu hanya sempat bertahan 3 bulan sahaja kerana saya berpindah daripada Taman Mutiara ke Penanti.Walau bagaimanapun, sekarang ini isteri masih lagi menjadikan hobinya sebagai pendapatan iaitu menjual kuih lapis.Boleh la satu hari RM8 dengan menjual 10 keping kuih lapis di kampung.Memang sudah menjadi kerja saya sekarang setiap pagi kena bangun mesin kelapa untuknya buat kuih setiap hari.

Wassalam.

Tuesday, 8 December 2015

Salamku


Tujahan sinar mentari senja,
Terasa salju di mata hatiku,
Desiran ombak mengilap pasir,
Terasa baldu di cuping benakku,
Keletah si lumba-lumba menari,
Terasa shahdu di rambut sarafku,
Leka dan alpa,
Nikmat dan hikmat...

Ada tikus hitam dan putih menggigit temali,
Tatkala aku terdongak menghirup sari pati madu,
Tak ku sedar hayat ku kian rapuh untuk ku berpaut,
Menjadi santapan Sang Belang dan Sang Lilit,
Begitulah ibarat Pak Imam Ghazali iktibarkan,
Malam dan siang silih berganti,
Menghakis sisa-sisa nyawa abdi,
Tatkala tiba masa yang pasti,
Si malaikat maut menghampiri,
Si tanah kubur menemani,

Embun menitis membasahi pipi,
Mengilap mata yang lama kabur,
Kabus berlabuh di kaki gunung,
Dedaun jatuh menyembah bumi,
Sayup-sayup suara berbisik,
Luahan naluri,
Luahan nurani,
Luahan hakiki,
Sambutlah salamku Ilahi...

Nukilan Rasa,

Sang Sangkakala Rimba




Friday, 4 December 2015

Duka Lara


Larut malam itu,
Dicelah-celah remang sirna biru,
Menerpa di cermin tempayan kaku,
Pungguk mendayu merindu purnama,
Bagaikan uda mendambakan kasih si dara,
Ada embun menitis lesu,
Dari dedaun durian tua,
Suci, murni, tulus dan sejati,
Merenung daku ke luar jendela,
Ada mega berarak lembut,
Seiring sejalan pawana sepoi-sepoi bahasa...

Ku usap ku dakap potret lama,
Tersimpan kukuh terkunci di hatiku,
Ku hafal setiap garis dan lekuk,
Pada ukiran serasa baldu diwajahnya,
Tersenyum ayu merenung mataku,
Menatapku merentap kalbuku,
Ada sinar kasihnya waktu itu...

Kini yang tinggal hanyalah lara,
Sepi dan sunyi tanpa berita,
Sedih dan pilu tanpa cerita,
Sendiri dan sayu tanpa derita...

Mendongak ke langit menadah tangan,
Ku mohon keredhaan Tuhan,
Agar dilembutkan hatinya,
Ampunkan dosa sesama insan...

Nukian Rasa,

Sang Sangkakala Rimba