Nur Alya Mikayla
Di suatu masa sewaktu musim bersemi,
Alunan bayu menerpa lembut,
Membisik khabar ke corong telinga,
Kuntum-kuntum mekar tersenyum bugar,
Indah melagukan irama semerbak,
Pasangan burung cinta bergurau senda,
Berkicau ria menyanyi mesra,
Mengikut melodi merangkai berita,
Tentang dirimu bidadari sukma...
Kau datang dengan penuh pengharapan dewiku,
Di Hijir Ismail makbul doaku,
Atau di Raudhah juga di Kaabah,
Tidakku pasti di mana ku meminta,
Namun yang pasti,
Ilahi juga merasa lelah,
Mendengar rintihanku yang tak kunjung padam,
Lalu dikurniakan olehNya kepadaku,
Sebutir cahaya dari syurga,
Menghuni alam di rahim bonda...
Ketawamu mengukir senyumanku,
Tangismu mengundang resahku,
Kenakalanmu mencuit kalbuku,
Keletahmu menghilang penatku,
Rambutmu lembut membelai pipiku,
Halus kulitmu serasa baldu,
Lirik matamu mengoncang hatiku,
Mungil bibirmu menawanku,
Di kala masa silih berganti,
Pabila suria mengundur diri,
Purnama pula mencermin diri,
Dikau juga akan semakin menjauh,
Pada lelahnya pelajaran,
Pada akrabnya kawan-kawan,
Pada mabuknya seorang kekasih,
Ku fahami semuanya,
Namun kenanglah puisi ini,
Kerana aku sukar melafazkan cinta,
Bukan sahaja kepada kekasih,
Namun kepadamu juga,
Sayangku...
Nukilan Rasa,
No comments:
Post a Comment