Kesunyian malam membalut tubuhku,
Dinginnya terasa ke sum-sumku,
Bayu menyapa pipiku lembut,
Menyikat rambut kelamku,
Asyikku dibuai mimpi,
Tiada bunyi cengkerik,
Tiada suara burung hantu mendayu,
Tiada bisik kali mengalir lesu,
Yang ada hanyalah aku dan gelita...
Betapa jerihnya satu pelayaran,
Hujan batu pedih menimpa tubuhku,
Pawana berlari merempuh batinku,
Gelora ombak mengoncang benakku,
Ku cuba bertahan dengan kemudi,
Bintang kejora arah panduan,
Agar dapatku sampai ke pulau impian...
Ku dapati ada sinar api,
Berkilau memercikkan manik-manik halus,
Ku cuba mendekati bahangnya,
Agar dapat memberi aku faham,
Akan suatu perasaan hangat,
Namun ku tahu bahayanya,
Kelak kan membakar diriku,
Jika asyik bermain denganmu...
Ku merenung jauh ke sana,
Apakah aku telah terlupa,
Pada keindahan warna pelangi,
Atau kerana telah terlalu lama,
Aku bergayut dalam kegelapan,
Sehingga membuang deria rasa,
Pada kemanisan sakar madu,
Atau kelembutan sutera baldu,
Ah...betapa bodohnya aku...
Oh tuhan tolonglah aku,
Ku melutut berteleku,
Mengadah wajahku mencariMu,
Mengangkat tanganku mengadu,
Agar diriku masih ada tersisa,
Akan warna-warna keinsafan,
Atau sebuah cahaya kemaafan,
Atas segalanya,
Yang telah berlaku...
No comments:
Post a Comment