Wednesday, 10 September 2014

Rumah Sewaku Telah Pun Menjadi Mesin ATM

Assalamualaikum sahabat semua.

Rasanya sudah agak lama saya tidak update apa-apa dalam blog saya ini.Tetapi harus diingat pelaburan hartanah adalah satu pelaburan yang memang akan mengambil masa sehinga bertahun untuk diselesaikan tetapi akan terus stabil melawan inflasi.Apa yang penting adalah kita sentiasa mengikut segala apa yang telah kita rancang.


Saya akan bercerita tentang pengalaman saya untuk menyewakan rumah saya yang telah siap.Berikut adalah step yang perlu saya ambil untuk menyewakan rumah tersebut.

1-Bermula dengan saya membuat personal loan dari MBSB dan mempunyai wang yang cukup untuk membayar 10% deposit
2-Mencari rumah kos rendah dalam Mudah.com
3-Contact dengan syarikat yang menjual rumah tersebut dan memberi RM500 sebagai duit deposit
4-Isi borang dari Wisma negeri untuk daftar dan tunggu kelulusan untuk layak membeli rumah kos rendah.
5-Tunggu surat pengesahan dan kelulusan dari Wisma Negeri.
6-Memberi 3 bulan slip gaji, penyata KWSP dan penyata bank kepada syarikat tersebut.
7-Tunggu untuk syarikat itu proceed untuk pinjaman perumahan dari bank-bank terpilih
8-Pinjaman saya berjaya diluluskan oleh Bank Muamalat (saya telah memberitahu bahawa saya mahu islamic financial) dan memberi 10% deposit kepada syarikat
9-Datang ke syarikat untuk sign borang bank dan borang purchase rumah dari pemaju
10-Datang ke syarikat untuk sign Borang S&P dan ambil salinan S&P.Kena bayar RM1000 untuk bayaran guaman.
11-Pergi ke KWSP untuk membuat pengeluaran akaun 2 untuk mengambil balik 10% deposit.
12-Tunggu untuk pihak bank membayar kepada pemaju dan selepas bank telah membayar kepada pemaju secara automatiknya kita juga perlu bermula untuk membayar kepada bank.
13-Apabila bank telah membayar kepada pemaju kita juga akan diberi kunci rumah.Kena bayar lagi RM500 untuk bayaran guaman.(balance yang belum setel sebelum ni)
14-Tunggu pihak pemaju membaiki segala kerosakan yang terjadi di rumah tu seperti atap pecah, cermin pecah, syiling bocor,kayu yang telah dimakan anai-anai.
15-Setelah siap repair saya kena pergi untuk check rumah tu telah direpair seperti baru siap dengan cat.
16-Kena sign surat pengesahan yang rumah tu ok setelah repair.
17-Kena tunggu pula untuk pihak pemaju membuat pendawaian elektrik.
18-Membawa salinan S&P, kad pengenalan  ke SADA Sungai Petani untuk masukkan air. Deposit RM100.
19-Membawa salinan S&P, kad pengenalan,lakaran skematik untuk pendawaian dan bayar RM260 untuk pemasangan elektrik di Kedai Elektrik sungai petani.Berdekatan dengan stesen bas.
20-Tunggu pihak SADA masukkan meter air dan TNB pasang meter electrik.
21-Bila air dan electrik dah masuk saya upah kawan saya untuk memasang lampu dan kipas dalam rumah tu.Harga yang dia ambil hanyalah RM150 dengan semua lampu dan kipas saya beli sendiri.Kalau tak silap saya untuk wiring siap lampu harga standard adalah dalam RM1000-RM1400.Terima kasih kepada sahabat saya Sayuti atas kemurahan hati beliau.
22-Cat kembali rumah pada mana-mana tempat yang kotor semasa mereka membuat wiring.


23-Membasuh rumah dan memasang tikar getah.
24-Iklankan di mudah untuk mencari penyewa.
25-Akhirnya rumah saya telah berjaya disewa dengan harga RM280 sebulan.


Inilah step yang telah saya ikuti dalam proses untuk menyewa rumah saya.Nampak memang la senang tapi sahabat semua tahu tak ia memakan masa selama 1 tahun 5 bulan untuk disiapkan.Dalam perancangan saya memang saya akan tumpu kepada rumah sewa dahulu sebelum menanam anak pokok sawit di tanah saya yang juga 1 tahun 5 bulan terbiar menjadi padang ragut lembu-lembu kampung tersebut.Jadi bulan ni saya akan tumpu kepada untuk mengusahakan tanah saya dengan tanaman sawit pula.Saya akan menulis tentang sawit pada posting yang akan datang

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

Merdeka Oh Merdeka

Mereka mereka-reka merdeka
Leka dan luka
Hembusan nafas penjajah durjana
Masih mengisi rongga-rongga jiwa
Perit getir pedih berkudis
Orang lama kian terpinggir
Orang baru kian tersingkir
Iman akhlak bahasa dan pikir

Tanah pusaka sekangkang kera
Tergadai kepada bangsa Cina
Demi mengelak sengketa saudara
Anak dara maruah terdedah
Ketat melekat memikat padah
Politik kotor mainan sandiwara
Janggut panjang dangkal pikirannya
Berkot bertai rasuah umpannya
Akhirnya cucu cicit caci mencela
Roboh persatuan goyah persaudaraan
Hidup makan gaji sekupang
Dijaja merata gaya dijaga
Sedangkan sendiri tak sedar alpa
Onar kemudian dibiarkan sahaja
Kitab lama dibiarkan usang
Kitab baharu dibiarkan bersarang
Labah-labah ketawa mendapat habuan
Umpat keji bomohkan hasad dengki
Mara berniaga maut misteri menanti
Syaitan tersenyum si sepet geli hati
Dara pekan liar di rimba
Dara kampung liar di kota
Arak zina rokok judi dan noda
Amalan harian sarapan jiwa
Terlalu banyak onak dan duri
Belukar hitam untuk diterokai
Namun harapan pada Ilahi
Bukalah hati minda si anak pertiwi

Melayu dulu sopan santunnya terjaga
Melayu dulu gurunya disanjung cinta
Melayu dulu bijak berbahasa kias maksudnya
Melayu dulu kurang cakap pikir lama-lama
Melayu dulu hebat tenunan asli ukirannya
Melayu dulu kapal dibina jelajah satu dunia
Melayu dulu kaya di laut dan di rimba
Melayu dulu tinggi ilmu agama dan dunia
Melayu dulu si penglipurlara teladan ceritanya
Melayu dulu adalah tuan rakyat hambanya
Melayu dulu bersultan taat kasihnya
Melayu dulu gagah pendekar warisannya
Melayu dulu bersilat gerun seterunya
Melayu dulu hanya tinggal kenangannya



Friday, 29 August 2014

Serakah di kala malam jumaat

malam semalam,

sinaran purnama biru kelam,

gelojak nafsu gelora serakah,

penuhi jua jiwa nan merekah,


belalang tempur ditunggang segera,

dinginnya bayu malam memamah tubuhku,

ku capai jaket ku sarungkan padu

biar kemas terlekat satu,

ku gesa ku pulas ku tunduk laju,

biar segera sampai ke tempat yang dituju,

neon menyala warna-warni kerlipannya,

ku lihat ku pandang ku tenung penuh nafsu,

menu-menu  pemikat selera batin dan zahirku,

lama menanti hidangan ku pasti memikat hati,

akhirnya sampai jua nan ditunggu,

ku belek ku sentuh ku raba ku hidu,

mm harumnya wangi mengamit seleraku,

ku tekan-tekan dengan teliti,

lajunya mengalir cairan pekat likat,

ku cicipkan lidah, 

ku rasa mata terpejam,

sedikit masin lemak manisnya bersari madu,

tanpa dapat ku tahan-tahan lagi,
ku terkam ku mamah ku gigit dengan rakus,

burger bakar ayam arnab mat kelang lama,

kau tunggu pastikan ku carimu selamanya,


nukilan rasa: sang  sangkakala rimba


Wednesday, 25 June 2014

Cara-Cara Untuk Berniaga Di Bazar Ramadan

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini, saya akan bercerita tentang selok belok ataupun cara-cara untuk berniaga di bazar Ramadan.Ceritanya bermula apabila Azni, rakan sekerja saya mengajak saya untuk menceburi bisnes makanan di Bazar Ramadan Kulim.Azni pun baru sahaja mula berniaga dengan menjual pizza.Saya pula sebelum ini memang pernah berniaga laksa dan tomyam.Tapi untuk berniaga di Bazar Ramadan, saya tidak mempunyai pengalaman dan masa yang mencukupi kerana saya bekerja makan gaji dalam bulan Ramadan.Cuma kelebihan yang saya boleh gunakan adalah pada bulan ramadan saya pulang pada pukul 4:30pm setiap hari sepanjang Ramadan.Jadi itu sahajalah kelebihan yang saya boleh gunakan dalam bisnes bazar ramadan.

Memandangkan saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan makanan dan hanya boleh berharap kepada isteri saya sahaja untuk sediakan jadi saya memilih untuk berniaga minuman dan dadih sahaja.Antara minuman dan makanan yang terlintas dalam pikiran saya adalah

1-Air limau kasturi dengan asam boi
2-Air Teh bunga
3-Air lengkong
4-Dadih
5-Jelly
6-Puding

Sebagai permulaan, rasanya cukuplah ini sahaja menu yang saya mampu untuk sajikan kepada umat Islam yang berpuasa.Ada juga rakan-rakan yang berkata kalau berniaga air bila tak habis buang sahaja.Saya cuba untuk ubah minda yang berpikiran macam tu.Berniaga di bulan puasa adalah satu ibadah kerana kita menyediakan juadah untuk mereka yang berpuasa.Jika tak habis apa salahnya kalau kita bungkus dan dermakan ke masjid-masjid untuk jemaah berbuka puasa ataupun semasa balik dari terawih.Jadi inilah yang akan saya lakukan dalam bulan puasa ini.Kalau berniaga habis alhamdulillah.Kalau tak habis saya akan dermakan sahaja ke masjid supaya saya boleh mengutip kekayaan di dunia dan kekayaan di akhirat.

Sebenarnya terdapat 5 syarat utama untuk melayakkan kita menjadi peniaga bazar Ramadan iaitu kena bawa bersama dokumen asal dan salinan di bawah ke Majlis Perbandaran.

1-Berdaftar dengan tuan punya tapak Bazar Ramadan.Contohnya, tuan rumah bazar Ramadan di Kulim adalah Majlis Perbandaran Kulim.Kena isi borang yang mereka sediakan.
2-Bawa bersama 2 keping gambar berukuran passport yang terbaru
3-Bawa kad pengenalan
4-Bawa sijil kursus pengendalian makanan.Ada banyak syarikat swasta ataupun Majlis Perbandaran sendiri yang menganjurkan kursus ini.Saya menjalani kursus ini di Sungai Petani dengan bayaran RM50 untuk masa 3 jam kursus.
5-Bawa sijil atau kad pengesahan mendapat suntikan typhoid (TY2) dari klinik kerajaan ataupun swasta.Kalau klinik swasta kena bayar RM20.Minta rujuk klinik kerajaan yang terdekat.tak semua klinik kerajaan ada menyediakan perkhidmatan cucuk TY2 dan kalau ada pun ada hari-harinya.Kalau cucuk kat swasta kena bayar tinggi sikit iaitu RM50 hingga RM75 bergantung kepada klinik.Tapi cucuk TY2 ni hanya untuk 3 tahun sekali.
6-Bayar sewa tapak.Kat kulim kalau jenis jualan makanan/minuman kena bayar RM155 (1 petak 10 x 10 kaki persegi).Kalau jualan jenis berasap/tebu/kelapa kena bayar RM205 ( 1 petak 10 x 10 kaki persegi).

Apabila sahabat semua dah pun cukup 5 syarat di atas ni maknanya bulan puasa ni ataupun tahun depan bolehlah mula start berniaga.Saya doakan supaya rezeki sahabat semua dan rezeki saya ditambahkan lagi dengan keberkatan bulan Ramadan.Insyaallah.

Wassalam


Friday, 13 June 2014

Pendidikan Kewangan Untuk Ibu Bapa dan Anak-Anak

Assalamualaikum sahabat semua,

Untuk posting pada kali ini saya akan menceritakan tentang pendidikan kewangan yang perlu ibu bapa ketahui dan macam mana nak mendidik anak-anak supaya tahu apa itu nilai wang dalam kehidupan.

Kita sering kali mendengar keluhan ibu bapa apabila anak-anak masuk ke alam persekolahan.Nak kena beli baju sekolah, buku, beg, yuran sekolah, dan macam-macam lagi keperluan untuk persekolahan anak-anak.Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya tidak pernah mendengar keluhan arwah abah apabila menyediakan keperluan sekolah saya.Pada tahun 1990, gaji arwah abah yang bergelar ketua chef di Peranginan Gunung Jerai adalah RM1500 setiap bulan.Pada masa tu nasi lemak hanyalah RM0.20 sahaja.Arwah abah pula hanya mempunyai tanggungan rumah RM230 sebulan dan hanya memiliki sebuah motosikal Honda EX5 sebagai kenderaan untuk dia berulang alik dari Pendang ke Gunung Jerai setiap hari.Jika difikirkan gaji arwah abah memang lah besar pada masa tu.Tetapi dia seorang yang sangat berhemah bila berbelanja.Dia mampu untuk membeli sebiji kereta tapi dia tak mahu beli.Saya masih lagi ingat katanya "Naik teksi lagi best dari beli kereta.Kalau beli kereta kita kena bawak sendiri.Kalau naik teksi ada dreber yang bawak".Dengan lebihan RM1270 tu la arwah abah menyimpan duit dan menghabiskan banyak duitnya untuk memberi makanan yang enak-enak kepada kami sekeluarga.Bayangkan pada tahun 90an, saya sudah pun mewah makan udang laut yang berharga RM60 sekilo pada masa tu.Durian yang arwah abah beli hanya durian kawin yang ditimbang kilo, bukannya yang kira longgok.Daging yang arwah beli seingat saya tidak pernah beli yang sejuk beku.Pakaian saya pula pada masa tu adalah jenama kiko dan pakaian arwah abah pula kebanyakkannya jenama Crocodile dan Orlando.Pakaian sekolah saya adalah pakaian yang ditempah dari seorang apek di Pendang.Sekali buat 2 pasang dan tiap-tiap tahun bertukar.Pendek kata cara pengurusan kewangan arwah abah adalah kurangkan hutang bulanan dan bermewah dengan pakaian dan makanan.Terbalik dengan cara kebanyakkan orang kita sekarang yang banyakkan hutang dan kurangkan pakaian dan makanan.Kita lebih suka bergaya dengan kereta mewah tetapi tidak rasa bersalah apabila menjamu anak bini dengan ikan temenu,ayam dan daging import yang lebih murah.Bila ada anak bini yang teringin nak makan makanan yang mahal seperti durian moa sang king Balik Pulau yang berharga RM200 ke atas sebijik tu kita berpikir 10 kali untuk tunaikannya.

Saya mengalami tamparan yang hebat apabila arwah abah meninggal dunia pada tahun 1996.Setelah arwah tiada saya dapat rasakan kehidupan saya sangatlah sempit.Pendapatan ibu hanyalah RM400 sebulan dengan menolong sepupunya di kedai makan.Nasiblah ada elaun dari Socso sebanyak RM300 sebulan.bolehlah ibu menggunakan duit tu untuk bayar rumah.Pada masa tu, rumah yang arwah abah tinggalkan tetap kena bayar kepada bank pasal arwah tak masuk insurans kematian.Dia hanya masuk insuran kebakaran dan kecurian.Tak seperti sekarang yang insurans adalah automatik cover untuk kematian.Jika kita meninggal dunia, automatik rumah tu dapat kat anak bini.Mungkin atas sebab ini jugalah saya bersungguh-sungguh apabila belajar dan bercita-cita tinggi.Walaupun saya sudah kecapi apa yang saya cita-citakan tetapi saya tetap menghadapi tekanan hidup akibat tidak tahu menguruskan wang sebelum ini.

Kita mempunyai 2 pilihan dalam menguruskan kewangan kita.

1-Mempunyai beban hutang bulanan yang sikit
2-Mempunyai beban hutang bulanan yang tinggi tetapi hutang itu dibayar oleh orang lain.Bukannya menggunakan duit gaji kita.

Terpulang lah kepada sahabat semua nak ikut cara yang mana satu.Tetapi janganlah kita biarkan hidup kita ini sempit atas tindakan kita yang tidak tahu menguruskan wang dan membiarkan anak bini turut menerima beban yang sama.

Tips untuk ibu bapa

1-Mulalah menabung untuk anak-anak seawal baru lahir lagi.Saya sendiri telah pun membuka akaun Tabung Haji untuk anak sulong saya Amsyar sejak dari dia baru lahir lagi.Segala duit sedekah kawan-kawan, duit raya,duit ibu atau mertua bagi kepadanya semuanya saya masukkan ke dalam akaun Tabung Haji. Sedar tak sedar walaupun umurnya baru 1 tahun 10 bulan tapi dalam akaun dah ada RM800.Bini saya sendiri pun tak ada duit tabungan sebanyak tu.Hehe.Saya tak salahkannya kerana dia hanyalah suri rumah sepenuh masa.Pendek kata dalam masa 7 tahun sepatutnya ibu bapa tidak boleh mengeluh menyediakan persekolahan anak-anak.Mulalah dengan sekadar yang termampu.Sebulan RM 50.7 tahun kemudian dah jadi RM4200 tak termasuk dividen.

2-Jika ada anak yang dah bersekolah, ajar anak supaya kita hanya memberi duit poket untuk sebulan sekaligus.Contohnya, jika kita sediakan RM 5 sehari jadi kita berikan terus RM150 untuk sebulan kepadanya.Wajibkan dia menyimpan 10% dari duit poket tu kedalam bank setiap bulan.Dengan cara ini kita boleh stimulasikan seolah-olah dia mendapat gaji bulanan dan macam mana dia hendak gunakan duit gaji tu dengan cara yang berkhemah.Ajar dia supaya tahu mana barang yang patut beli dahulu dan mana barang yang boleh beli kemudian.Kita biarkan dia bebas untuk menentukannya dan hasilnya nanti kita duduk dan berbincang dengan dia.Contohnya, jika dia habiskan duit untuk mainan nanti dia terpaksa berlapar apabila ke sekolah.Ibu bapa jangan beri duit tambahan.Tetapi minta dia bekerja untuk kita untuk dapatkan duit tambahan tu.Macam kalau kemas rumah dapat RM10.Jadi lain kali dia akan beringat dan akan mengggunakan duit itu secara berhemah.Masalah anak-anak sekarang tidak tahu nilai duit sama seperti saya pada masa kecil dahulu.Apa saja makanan yang saya minta akan ditunaikan, dan apabila arwah tak ada mulalah rasa tertekan tak dapat makan sedap-sedap macam dahulu.Kita juga boleh terapkan nilai-nilai usahawan ke dalam dirinya sejak dari bangku sekolah lagi.Contohnya, anak kita amatlah minat membaca buku komik Doraemon.Kawan-kawannya juga suka baca komik tu.Apa salahnya jika kita nasihatnya gunakan duit poket beli komik Doraemon kemudian sewakan kepada kawan-kawan untuk membacanya.Sekali baca RM0.50.Jika 10 orang yang menyewa komik tu darinya, dia sudah dapat balik modalnya membeli komik atau dalam maksud yang lain dia membaca komik tu secara percuma kerana kawan-kawannya yang tolong dia membeli komik tu.Ini adalah salah satu contoh untuk mengajar anak-anak tentang wang dan dunia usahawan.

3-Jangan biarkan anak-anak bermewah dengan duit hasil titik peluh kita.Tetapkan dalam mindanya yang duit kita adalah hak kita dan duit dia adalah hak dia.Jika dia hendak lebih dia perlu berusaha sama ada bekerja dengan kita ataupun menjadi usahawan dikalangan kawan-kawannya.Walau bagaimanapun kita janganlah terlalu berkeras.Kita kena pastikan setiap perbuatan kita diterangkan secara terperinci kepada anak-anak supaya mereka faham yang kita hendak dia belajar tentang pendidikan kewangan.Jangan jadi macam kita sekarang yang selalu mengeluh tak cukup wang sedangkan wang itu cukup mudah untuk kita perolehi.Hanya yang diperlukan akal dan usaha sahaja.

Wassalam.