Wednesday, 28 July 2021

Tanggal

Puisi ini aku tujukan khas buat sang suami yang sering terlupa tarikh harijadi isteri...

Sekarang masih ingat 17/7...tapi nanti bila sampai masa boleh pulak terlupa no...haha

Ilahi,
Aku hampir mati,
Jiwaku berkelahi,
Seolah dipinggir temali,
Memamah bergerigi,
Diriku ini,

Ilahi,
Nerakamu ku temui,
Genderang perang berbunyi,
Pantas aku dilukai,
Diamnya seribu kali,
Kerna aku melupai,
Tanggal harijadi isteri...

Nukilan Rasa,
Sang belantara rimba

Perjalanan abadi

Puisi ini ku tujukan khas buat perisau covid 19

Perjalanan abadi

Kita tiada apa-apa,
Kita tiada siapa-siapa,
Kita entah di mana-mana,
Kita lupa merata-rata,
Kita tiba tanpa apa,
Kita bisa menjadi flora untuk dikunyah fauna,
Kita bisa menjadi fauna untuk dimamah pemangsa,
Kita ditakdir menjadi manusia...

Teriak dalam terlanjang,
Riak wajah dalam ranjang,
Kaku, beku, takut dan sangkut,
Lemah longlai dan kemah pokai,
Lesu,layu,sayu dan pilu....

Lalu dia memberi rezeki,
Untuk kau sumbat sehingga mati,
Lalu dia memberi jodoh,
Untuk kau cintai walaupun hodoh,
Lalu dia memberi harta,
Untuk kau bangga walaupun papa,
Lalu dia memberi pangkat,
Untuk kau tayang walaupun singkat...

Kita dibuai mimpi,
Kita hanyut dan kalut,
Kita alpa dan leka,
Kita mabuk diratah usia...

Lalu kau duga dengan sekecil hama,
Masjid sepi,
Peniaga mati,
Pesakit sendiri,
Petugas maki,
Ah...biarkan daku menyendiri...

Aku memilih mencintaimu dalam sukar,
Kerana sukar mengajar aku erti syukur,
Aku memilih mencintaimu dalam payah,
Kerana payah mengajar aku erti pasrah,
Aku memilih mencintaimu dalam susah,
Kerana susah mengajar aku erti tabah...

Tiada aku menukar dunia dengan syurga,
Walaupun maut menjemput,
Kerana disana kan ku kecapi nikmat hakiki,
Bersama kekasih si jantung cinta abadi,
Ku menanti....

Nukilan Rasa
Sang belantara rimba



Tuesday, 13 July 2021

Diawangan rindu

Tatkala sirna mentari melukis mega,
Tersenyum sang suria tersipu malu,
Melamar ilham keajaiban mimpiku,
Yang menguntum mekar khayalkanmu,
Ada pawana meriak kali,
Bersama merdunya kicauan beburung,
Embun salju membening,
Ku selusuri hawa pagi,
Setiap nafas yang ku hela,
Bagaikan pengirim warkah,
Menuju ke jendela hatimu...

Sang rembulan dipagari bintang,
Masih tiada henti ketawa,
Pada daku yang masih asyik bercumbu,
Mendakap wanginya bayangmu,
Tiada jemu ku memujamu,
Menari kata dalam balutan puisi,
Membingkai rasa dalam bait,
Walaupun tiada insan yang mengerti,
Namun kau tahu ertinya tulus dan kudus....

Oh angin sampaikan rinduku,
Oh ombak lagukan shahduku,
Oh gunung gemakan kasihku,
Oh bunga mekarkan sayangku,

Senja nan merah menulis nota,
Sebagai khabar hujungnya masa,
Daku mengadah mendongak ke sana,
Kekasihku kan datang bersua,
Membawaku pergi dari alam buana,
Menuju ke lembah abadi selamanya,
Ku bersuka ria...

Nukilan Rasa,
Sang belantara rimba



Thursday, 24 June 2021

Pelayaran pulang


Kesunyian malam membalut tubuhku,
Dinginnya terasa ke sum-sumku,
Bayu menyapa pipiku lembut,
Menyikat rambut kelamku,
Asyikku dibuai mimpi,
Tiada bunyi cengkerik,
Tiada suara burung hantu mendayu,
Tiada bisik kali mengalir lesu,
Yang ada hanyalah aku dan gelita...
Betapa jerihnya satu pelayaran,
Hujan batu pedih menimpa tubuhku,
Pawana berlari merempuh batinku,
Gelora ombak mengoncang benakku,
Ku cuba bertahan dengan kemudi,
Bintang kejora arah panduan,
Agar dapatku sampai ke pulau impian...
Ku dapati ada sinar api,
Berkilau memercikkan manik-manik halus,
Ku cuba mendekati bahangnya,
Agar dapat memberi aku faham,
Akan suatu perasaan hangat,
Namun ku tahu bahayanya,
Kelak kan membakar diriku,
Jika asyik bermain denganmu...
Ku merenung jauh ke sana,
Apakah aku telah terlupa,
Pada keindahan warna pelangi,
Atau kerana telah terlalu lama,
Aku bergayut dalam kegelapan,
Sehingga membuang deria rasa,
Pada kemanisan sakar madu,
Atau kelembutan sutera baldu,
Ah...betapa bodohnya aku...
Oh tuhan tolonglah aku,
Ku melutut berteleku,
Mengadah wajahku mencariMu,
Mengangkat tanganku mengadu,
Agar diriku masih ada tersisa,
Akan warna-warna keinsafan,
Atau sebuah cahaya kemaafan,
Atas segalanya,
Yang telah berlaku...
Nukilan Rasa
Sang belantara rimba



Monday, 14 June 2021

Nur Alya Mikayla

Nur Alya Mikayla

Di suatu masa sewaktu musim bersemi,
Alunan bayu menerpa lembut,
Membisik khabar ke corong telinga,
Kuntum-kuntum mekar tersenyum bugar,
Indah melagukan irama semerbak,
Pasangan burung cinta bergurau senda,
Berkicau ria menyanyi mesra,
Mengikut melodi merangkai berita,
Tentang dirimu bidadari sukma...

Kau datang dengan penuh pengharapan dewiku,
Di Hijir Ismail makbul doaku,
Atau di Raudhah juga di Kaabah,
Tidakku pasti di mana ku meminta,
Namun yang pasti,
Ilahi juga merasa lelah,
Mendengar rintihanku yang tak kunjung padam,
Lalu dikurniakan olehNya kepadaku,
Sebutir cahaya dari syurga,
Menghuni alam di rahim bonda...

Ketawamu mengukir senyumanku,
Tangismu mengundang resahku,
Kenakalanmu mencuit kalbuku,
Keletahmu menghilang penatku,

Rambutmu lembut membelai pipiku,
Halus kulitmu serasa baldu,
Lirik matamu mengoncang hatiku,
Mungil bibirmu menawanku,

Di kala masa silih berganti,
Pabila suria mengundur diri,
Purnama pula mencermin diri,
Dikau juga akan semakin menjauh,
Pada lelahnya pelajaran,
Pada akrabnya kawan-kawan,
Pada mabuknya seorang kekasih,
Ku fahami semuanya,
Namun kenanglah puisi ini,
Kerana aku sukar melafazkan cinta,
Bukan sahaja kepada kekasih,
Namun kepadamu juga,
Sayangku...

Nukilan Rasa,
Sang belantara rimba