Tuesday, 14 January 2014

Hobi Menanam Dan Menternak

Assalamualaikum sahabat semua,

Untuk posting saya pada kali ini, saya akan bercerita tentang hobi saya yang suka menanam pokok-pokok dan menternak.Sebenarnya, dalam 4 tahun yang lepas memang saya tidak berminat pun dengan pokok-pokok ni semua.Apa yang tumbuh kat laman rumah dan belakang rumah hanyalah rumput dan lalang sahaja.Bila dah naik sampai paras lutut barulah saya racun dan kemudian 2 bulan lepas tu naik balik sampai paras lutut.Pastu racun lagi.Jadi saya dapat rasakan yang kitaran meracun dan membiarkan tanah terbiar ditumbuhi lalang ni adalah satu kitaran yang sia-sia tanpa memberi satu faedah pun kepada saya.Apa yang saya nampak hanyalah saya perlu mengeluarkan duit untuk membeli racun yang tidaklah murah tu.


Atas dasar nak berbudi kepada tanah saya bermula dengan mencari cara-cara untuk menanam sayur dalam internet.Semua jenis sayur saya baca dan cuba dalami ilmu tentangnya.Akhirnya saya memilih untuk bermula dengan bendi kerana dikatakan bendi ni senang tumbuh dan dijaga.Saya pun belilah benih bendi yang berharga RM1 ja.Dengan adanya bekas plastik yang saya dapat apabila membeli aiskrim, saya isikan tanah yang datang dari bahan bakaran dan longkang sebagai medium semaian.Dalam masa yang sama saya juga mencangkul tanah untuk buat batas.Dalam masa 7 hari, tunas bendi mula tumbuh dan sedia untuk dipindahkan ke batas yang saya telah buat.Saya memilih benih yang lebih cepat pembesarannya berbanding yang lain.Jadi dapatlah dalam 10 pokok bendi.Hari-hari saya siram dan akhirnya dalam masa 3 bulan lebih bendi saya mula mengeluarkan hasil.Dan akhirnya sampai setiap hari saya perlu memetik buah bendi untuk dijadikan ulam ataupun dimasukkan ke dalam gulai.Memang tak larat sangat nak makan bendi time tu sehingga saya hanya sedekahan kepada mak di kampung.Saya juga ada semawa jiran-jiran tapi mungkin mereka segan nak minta.Tapi dari pengalaman saya, memang tak larat makan punya bila dah start berbuah.


Kemudian, saya pun mulalah semai sayur yang lain seperti kacang panjang,kacang buncis dan petola.Tapi pada masa tu yang tumbuh hanyalah kacang panjang sahaja.Saya pun tanam la tunas kacang panjang ni dekat dengan pagar belakang rumah.Pastu mula la dia memanjat sampai penuh satu pagar tu.Belalang kunyit punyalah banyak dok mai makan daun dia.Kadang-kadang ada juga saya tangkap belalang tu dan goreng.Sapa yang pernah makan belalang ni tau la betapa sedapnya belalang ni.Tapi saya pada masa tu masih lagi tidak tahu mengunakan racun.Bila lama-lama dalam 2 bulan kutip hasil, ada binatang apa ntah datang merosakkan daun dia dan batang dan akhirnya pokok kacang panjang saya pun mati.Ini adalah pengalaman saya yang lalu dalam menanam pokok dan sayuran.


Sekarang saya mempunyai pokok petola,pokok limau kasturi, pokok serai, pokok kesum, pokok selom, pokok semamaq, pokok belalai gajah, pokok cabai, pokok limau purut, pokok kucai, pokok kari dan beberapa pokok hiasan.Kebanyakkan pokok hiasan saya beli dari nurseri dan ada juga yang saya dapatkan dari Mak Teh.Dari pengalaman saya, saya dah cuba banyak kali untuk semai pokok kari kat dalam pasu tapi tak pernah berjaya.Mesti mampus punya.Akhirnya saya terus cangkul tanah yang ada anak pokok kari tu lebih kurang 1 kaki pastu terus tanam bersama tanah kebun yang saya beli kat nurseri.Mula-mula memang la pokok kari tu macam nak mati jek, tapi bila akarnya dah merebak ke tanah kebun tu dia mula sihat dan membesar.Tapi masalah daun kari ni bila tumbuh daun muda ulat suka sangat mai makan.Jadi terpaksalah saya menyembur racun kepada pokok ni untuk elakkan pokok kari ni tinggal batang sahaja.Sekarang, pokok kari ni dah pun membesar dan hidup subur dalam pasu.

Saya juga mempunyai masalah untuk meyemai benih kucai.Pula la dah banyak kali saya semai melalui biji benih tapi tak pernah pun tumbuh.Akhirnya, saya telah meminta benih kucai yang dah tumbuh dari Mak Tam.Sekarang, memang tak larat pun nak makan kucai ni.Asal potong jek tumbuh lagi.Asal tumbuh jek mesti kena potong.Sebab itu saya ibaratkan pendapatan pasif ni seperti menanam kucai.Memang payah nak tumbuhkan pokok kucai ni.Tapi sekali dah tumbuh, kita boleh makan kucai hingga akhir hayat kita.Samalah seperti kita nak beli rumah banyak-banyak.Memang la susah dan lambat sikit prosesnya, tapi sekali dah mempunyai 10 biji rumah sewa makanlah hasil sewa tu sampai ke akhir hayat kita.Kalau kita wasiatkan kepada anak kita, dia juga boleh makan hasil sewa ni sampai akhir hayat dia juga.Sebenarnya, ada juga kawan-kawan sekerja yang menjadikan tanaman kucai ni sebagai bahan jenaka selepas keluarnya posting yang sebelum ni berkenaan kucai.Tapi kenapa kucai ni dekat dengan diri saya?

Ceritanya bermula apabila saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (JENAN) masa form 4.Ada seorang cikgu ni bila ada ja assembly dia mesti bagi contoh tentang cina tanam kucai yang rumahnya dekat ja dengan sekolah.Rumah cina ni memang la buruk jek tapi pendapatan harian dia hanyalah dengan menanam kucai sahaja.Tetapi, hasil daripada kucai inilah ramai anak-anak dia yang dah berjaya dalam pelajaran dan menjadi pekerja professional.Sebenarnya, cina ni boleh ja hidup mewah dengan hasil pemberian anaknya tapi dia masih tetap memilih untuk menjual kucai sampai la sekarang.Saya pun tak pasti dia masih hidup ke tidak tapi bila saya lalu depan sekolah saya lihat kebun kucainya masih ada dan terjaga.Dari cerita ini saya belajar cina ni masih lagi menanam kucai kerana minat dan hobinya.Jadi kenapa dia perlu berhenti menanam dan memotong kucai kan.Oleh itu, buatlah bisnes yang kita minat dan jadikanlah business kita sebagai hobi.Insyaallah, kita takkan mudah untuk gulung tikar kerana kita buat benda tu dengan minat dan penuh semangat.

Untuk penmternakan pula sebenarnya tak la susah sangat nak membela puyuh,ayam kampung,arnab ni semua.Tapi masalah yang saya hadapi adalah saya perlu memberi 100% tumpuan kepada mereka.Kena jenguk hari-hari dan beri makan ikut waktunya.Buat masa sekarang saya hanya membela arnab sahaja.Segala rumput-rumput yang tumbuh meliar kat belakang rumah saya bagilah arnab ni makan.Pastu saya kutip la baja tahi arnab ni dan bubuh pada pokok saya supaya subur membesar.Jadi sekarang sahabat semua faham tak tentang kitaran yang sia-sia sebelum ni telah saya tukarkan kepada kitaran yang memberi manfaat.

lalang/rumput ===> arnab ===> baja tahi arnab ===> pokok/sayuran ===> makanan saya

Kesimpulannya, kenapa saya berminat dengan bidang ni semua iaitu pertanian dan penternakan?Saya bercita-cita untuk hidup dalam suasana kampung apabila saya telah mencapai financial free nanti.Saya meletakkan target yang saya akan mencapai financial free masa umur saya 50 tahun.Pada waktu ini, cukuplah jika saya mempunyai sebidang tanah dalam 2 relong, sebiji rumah banglo dan kawasan rumah yang dipenuhi dengan tanaman sayur dan binatang ternakan.Yang paling penting saya perlukan satu kolam ikan yang boleh saya habiskan masa saya untuk memancing.Kerja saya seharian hanyalah melihat binatang ternakan, sayur, memancing dan melepak di masjid sahaja.Saya tidak merancang untuk berkerja sampai ke tua.Jadi pada masa sekarang lah saya belajar menanam dan menternak.Takkan la bila dah umur 50 baru nak belajar kot.Mungkin minat ini turun dari Tokwan saya juga yang dahulunya seorang tukang kebun sekolah.Sebenarnya terlalu banyak ilmu Tokwan saya tu dari pada ilmu menanam, silat dan dukun.Tapi tiada satu pun ilmunya yang benar-benar saya dapat kuasai.Kalau ikut tokwan punya ajaran punyalah banyak pantang larang nak menanam sampaikan perlu kena dengan hari, masa, tarikh dan petua-petua orang tua yang kena saya ikut.Heheh.Tapi saya memilih untuk menggunakan teknik moden sahaja.

Wassalam.

1 comment: