Monday, 20 October 2014

Apa Maksud Kaya

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin menjawab satu pertanyaan yang mungkin kita semua mempunyai pendapat yang berbeza mengenai mereka yang digelar orang kaya.

Cerita Pertama

Saya mengenali seseorang (arwah) yang dikatakan sangat kaya.Dia mempunyai bendang kalau tak silap 20 relong dan duit yang banyak di dalam bank.Sebenarnya bendang ini diwarisi daripada arwah pak dia yang dulunya seorang Penghulu.Jadi jawatan sebagai Penghulu ni kalau dulu-dulu memang terkenal la dengan mempunyai tanah yang banyak.Tapi tabiat arwah sedikit berbeza.Hanya dia yang akan mengusahakan bendangnya tanpa meminta seorang pun menolongnya.Kesemua kerja dari segi membajak, menabur benih, meracun dan sebagainya dilakukannya seorang diri sahaja.Duit yang diperolehinya akan disimpan ke dalam bank.Cara hidupnya juga sangatlah daif.Dia hanya makan ikan temenu sahaja dan kalau dia nak makan hebat sikit dia akan makan bila waktu kenduri.Apabila dia meninggal, harta yang diperolehi oleh anak-anak sangatlah banyak sehingga boleh disiapkan banglo atau membeli kereta mercedes secara tunai.Adakah arwah seorang yang kaya?

Cerita Kedua

Saya juga mengenali seseorang yang suka menyimpan duit gaji yang diterima setiap bulan ke dalam bank.Setiap bulan dia akan menyimpan tak kurang daripada RM1000 sebulan.Tabiat menyimpannya membuatkan dia berjaya menyimpan sebanyak RM200k dan duit itu digunakan untuk membeli sebiji rumah secara tunai.Cara hidup dia juga lebih kurang arwah cerita 1.Hanya makan ikan pekasam dengan cabai sahaja.Itu yang lebih menyelerakannya.Segala macam sayur, buah dan ikan darat dia sendiri yang membelanya ataupun menanamnya.Adakah dia seorang yang kaya?

Cerita Ketiga

Saya juga mengenali seseorang yang berjawatan professional termasuklah isterinya.Mereka mempunyai rumah banglo,kereta mewah dan motorsikal berkuasa tinggi.Gaya hidupnya hanya membeli barangan yang berjenama sahaja dan banyak wangnya dihabiskan untuk melancong ke luar negara.Daripada segi penampilan semua yang melihat pasti akan beranggapan yang mereka ini sangat kaya tetapi sebenarnya mereka membayar semuanya menggunakan hasil gaji bulanan sahaja.Adakah mereka seorang yang kaya?

Cerita Keempat

Saya juga mengenali seseorang tok guru yang mengajar agama di pondok beliau.Tiada gaji bulanan dan hanya hidup berdasarkan wang hadiah daripada masyarakat ataupun anak muridnya.Setiap tahun ada sahaja individu yang akan membawa dia ke Mekah mengerjakan umrah bersama.Makanan juga diperolehi hasil daripada berkebun, membela ayam itik dan sayur juga ditanam sendiri.Adakah tok guru ini seorang yang kaya?

Kenapa saya bercerita mengenai mereka?Kerana masyarakat memandang 3 orang yang pertama sebagai orang kaya dan menganggap orang yang ke 4 adalah miskin.Itu daripada kaca mata masyarakat.Tetapi sebenarnya apakah maksudnya kaya di dunia dan kaya di akhirat.

Apa maksud kaya di dunia?

Robert Kiyosaki menerangkan seseorang itu layak digelar orang kaya apabila pendapatan pasif incomenya telah melebihi keperluannya.Hanya kita sahaja yang boleh set sendiri berapa tahap duit yang diperlukan untuk memenuhi keperluan kita.Ada orang yang jika ada RM1000 sahaja sudah cukup untuk hidup.Ada yang RM5000, ada yang RM10,000 dan sebagainya.Contohnya keperluan saya adalah saya memerlukan RM2000 untuk hidup dengan selesa dan bahagia di dunia buat masa ini.Ia mungkin berubah bersama dengan masa.Jika pendapatan pasif saya telah melebihi RM2000, jadi saya layak digelar orang kaya kerana saya mempunyai pendapatan yang akan masuk setiap bulan tanpa perlu bekerja.Jika saya bekerja pun bukan kerana saya memerlukan duit gaji untuk hidup tetapi hanya kerana saya suka mengerjakannya.Pada masa sekarang pendapatan pasif saya adalah RM100 setiap bulan dan saya hanyalah mempunyai 5% pendapatan pasif income.Saya memerlukan lagi 95% pasif income untuk bergelar orang kaya.Masih jauh lagikan perjalanan yang perlu saya tempuh.Pendek kata hanya kita sendiri sahaja yang boleh menilai adakah kita kaya dan bukannya orang lain yang melihat kita dari sudut material.

Apa maksud kaya menurut Islam?

Kaya menurut Islam bukanlah segala material yang kita kumpulkan tetapi kaya yang sebenar adalah berapa banyak harta yang telah kita gunakan ke jalan Allah.Nabi Muhammad SAW pernah menceritakan tentang harta ini dalam satu hadis.Baginda berkata manusia mempunyai 3 rakan kongsi di dunia ini iaitu harta, isteri dan anak dan harta yang dibelanjakan ke jalan Allah.Apabila terputusnya nyawa anak adam harta akan ditinggalkan untuk dibahagikan kepada waris, isteri dan anak kan pulang setelah mengantar kita ke kubur.Yang tinggal hanyalah harta yang kita belanjakan ke jalan Allah.Harta inilah yang akan membela kita daripada seksaan kubur, kesengsaraan padang Mahsyar dan neraka Allah.Seperti pada posting yang lepas juga saya telah menceritakan mereka yang layak digelar orang kaya di sisi Allah adalah mereka yang mengajarkan ilmu yang bermanfaat, mempunyai anak yang soleh dan membelanjakan harta yang diperolehi ke jalan Allah.Pendek kaya segala harta yang kita kumpul bukannya harta kita selagi kita tak tukar harta itu menjadi aset kita di akhirat.Harta yang susah payah kita kumpul hanya akan kita tinggalkan untuk anak isteri kita merebutnya setelah kita mati.Yang tinggal hanyalah keimanan dan amal kebajikan kita sahaja.

Apa maksud kaya di akhirat?

Maksud kaya di akhirat adalah apabila kita terus dimasukkan ke dalam syurga tanpa perlu diseksa dahulu di dalam neraka.Kenikmatan syurga yang akan kita terima adalah berbeza mengikut amalan kita.Walaupun kenikmatan yang diterima berbeza tapi kita tetap digelar orang kaya di syurga selagi kita tak kena seksa walau satu saat pun di neraka Allah.Setiap umat Islam akan dimasukkan ke dalam syurga kerana keimanan mereka tetapi ada juga yang diseksa dahulu akibat perbuatan maksiat yang kita buat tanpa sempat bertaubat kepada Allah sebelum dimasukkan ke dalam syurga.

"Berusahalah mencari rezeki seperti mana kita akan hidup selama-lamanya dan beribadahlah kepada Allah seperti mana kita akan mati esok hari"

Saya doakan kepada Allah agar sahabat semua berjaya di dunia dan di akhirat.Percayalah, jika kita memilih untuk menjadi kaya di akhirat, kekayaan dunia akan tunduk di bawah tapak kaki kita untuk mendapatkannya.Kita boleh mendapatkan ilmu secara percuma tetapi hanya mereka yang mengamalkannya sahaja yang akan berjaya.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment