Thursday, 16 April 2015

Tips Untuk Membeli Hartanah

Assalamualaikum sahabat semua,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tips untuk membeli hartanah sama ada rumah ataupun tanah. Kitar hidup manusia sudah lazimnya berkeinginan untuk memiliki rumah sebagai sebuah kediaman yang selesa untuk keluarga.Cuma jenis rumah yang dibeli itu bergantung kepada kemampuan pendapatan kita.Ada yang mampu beli rumah kos rendah, ada yang mampu beli rumah kos sederhana dan ada yang mampu membeli rumah banglo atau kondominium.Walau apa pun jenis hartanah yang kita mampu beli sebenarnya tidak mengapa kerana setiap hartanah ini berpotensi untuk melonjak harganya pada masa hadapan jika kita membeli mengikut tips yang akan diberikan nanti.

Lokasi

Lokasi adalah sesuatu yang paling penting dalam pemilihan untuk membeli sesebuah hartanah.Antara lokasi yang baik untuk kita membeli hartanah adalah

1-Berdekatan dengan tempat kerja
2-Berdekatan dengan kemudahan awam seperti pasaraya,balai polis,hospital,sekolah dan sebagainya
3-Tempat yang selamat daripada masalah sosial seperti jenayah,pusat hiburan dan penagihan dadah
4-Tempat yang selamat daripada bencana alam seperti banjir,tanah runtuh dan sebagainya

Ini adalah contoh lokasi untuk kita memiliki rumah kita sendiri.Kalau kita membeli rumah untuk tujuan disewakan pula kita perlu mengikut lokasi di bawah

1-Tempat yang menyediakan pekerjaan kepada ramai orang seperti berdekatan dengan kawasan perindustrian atau pusat bandar.
2-Tempat yang mempunyai pelajar seperti berdekatan universiti,politeknik,kolej swasta dan sebagainya
3-Mempunyai radius 1 jam perjalanan daripada kediaman kita kerana memerlukan kita sentiasa untuk melihat rumah sewa dan menunjukkan rumah kepada penyewa yang berminat.Bayangkan kalau saya berada di Kulim dan membeli rumah di Kuala Lumpur.Jika ada penyewa yang mahu menyewa, saya terpaksa turun ke Kuala Lumpur untuk menunjukkan rumah kepadanya.Ini adalah sesuatu yang amat membebankan saya.Ada juga kes yang sebegini tetapi tuan rumah meminta jasa baik jiran berdekatan untuk menolongnya dan akan diberi saguhati setiap bulan kepada jiran tersebut melalui hasil sewa bulanan.

Kesemua lokasi ini boleh menjadikan rumah sewa kita laris di pasaran dan tidak putus-putus mendapat penyewa setelah penyewa yang sedia ada keluar.Jadi sahabat semua boleh bezakan rumah yang mahu dibeli untuk kegunaan sendiri ataupun untuk disewa.

Harga

Kita mesti memilih hartanah yang ditawarkan lebih murah daripada nilai sebenar supaya kita membuat untung sewaktu membelinya.Saya pernah berpesan bahawa adalah tidak bijak membeli sebuah tanah lot dengan harga RM30 ribu dengan keluasan 8000 kaki persegi sedangkan harga semasa bagi sebuah tanah seluas 1 ekar adalah RM25 ribu sahaja.Senang faham kita boleh membeli 5 buah tanah lot 8000 kaki persegi dengan harga RM25 ribu sahaja.


Untuk membeli hartanah pada harga yang rendah daripada nilai pasaran selalunya kita akan membelinya melalui cara lelong ataupun daripada mereka yang terdesak hendak menjual seperti persengketaan adik beradik,kalah judi, dan sebagainya.Sewaktu inilah kita boleh mendapat harga yang terbaik apabila membeli sesuatu hartanah.

Kita perlu faham istilah "The Power Of Money" apabila membeli sesuatu hartanah.Maksudnya kita mempunyai duit yang banyak dan tidak terdesak pun untuk menghabiskan duit itu.Kalau ada sesiapa yang mahu duit yang kita ada tu boleh tapi mestilah menjual dengan harga yang lebih rendah.Ini terjadi kepada saya sewaktu saya mempunyai RM50 ribu di dalam bank apabila loan MBSB saya lulus.Kalau saya gopoh pada masa itu rasanya saya hanya mempunyai sebuah tanah lot 8000 kaki persegi sahaja di Bandar Baharu dengan harga RM30k.Lagi balance RM20 ribu tidak cukup pun untuk saya membina sebuah rumah di atas tanah lot tersebut.Tanah lot itu juga tidak sesuai langsung untuk saya menanam apa-apa pokok.Tapi dengan perancangan yang betul dan izin Allah SWT RM50 ribu tu cukup untuk membeli sebuah rumah kos rendah, tanah 3 relung dan menyelesaikan hutang saya sebanyak RM10k dengan bank RHB.

Membuat Keuntungan

Kita mesti memilih hartanah yang boleh memberi kita keuntungan sewaktu kita memilikinya.Dalam kes saya sendiri, saya hanya membuat keuntungan sewaktu membeli rumah kos rendah kerana saya mendapat hasil sewa setiap bulan.Tapi saya telah membuat kerugian dengan memiliki tanah yang tidak diusahakan.Tanah saya masih lagi belum memberi apa-apa hasil kepada saya setiap bulan kerana masih belum diusahakan dengan apa-apa tanaman.Ini amat merugikan kerana saya terpaksa menggunakan duit gaji ataupun duit titik peluh saya untuk membayar kepada bank.


Antara faktor yang menyebabkan tanah tersebut masih belum diusahakan bagi saya adalah kerana jarak perjalanan dari Kulim ke tanah tersebut adalah 3 jam.Ini amat menyukarkan saya untuk sentiasa memantau apa-apa sahaja tanaman yang boleh ditanam di tanah tersebut.Jadi sebenarnya saya telah pun membuat kesilapan berkaitan lokasi apabila membeli tanah itu.Mujurlah saya tidak membuat kesilapan berkaitan harga kerana saya membeli tanah tersebut dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

Saya berharap sahabat semua boleh menjadikan 3 tips ini dalam membuat keputusan membeli sesebuah hartanah.Untuk membeli sesebuah hartanah memanglah memerlukan modal yang agak tinggi dan sepatutnya kita tidak melakukan kesilapan dengan membeli hartanah yang boleh merugikan kita.Ditambah pula jika kita membeli hartanah kemudian tidak mampu membayar kepada bank sehingga hartanah kita dilelong.Ini amatlah memeritkan kepada mereka yang pernah berhadapan dengan masalah ini.Semoga masalah ini tidak terjadi kepada kita.

Akhir kata, saya ingin mengajak sahabat semua melakukan solat sunat sebelum Solat Subuh kerana

Diriwayatkan hadith dari Qatadah hadith dari Zurarah b Aufa hadith dari Said b Hisyam hadith dari Aisyah hadith dari Nabi (s.a.w) yang bersabda: ‘Rak’atal fajri khairun minad-dunya wa-ma fiha.’ (Yang bermaksud: Dua rakaat solat (sunat) sebelum Solat Fajr (ie. Subuh) itu lebih baik dari (nilainya dari nilai) dunia dan seisinya.) [Hadith Muslim, Kitab Solat] 

Jadi sesiapa sahaja yang rajin melakukan solat sunat sebelum Subuh ini adalah orang kaya sebenar kerana telah memiliki dunia dan segala isinya.Walau apa sahaja hartanah yang kita miliki ia hanyalah sementara sahaja sewaktu kita hidup di dunia dan tidak boleh dibawa masuk ke dalam lubang kubur.Apa yang boleh dibawa hanyalah amalan kita yang boleh menyediakan hartanah yang terbaik di dalam syurga Allah SWT.


Pemilikan hartanah tidak sepatutnya membawa kita jauh daripada Allah SWT kerana semuanya adalah hakNya yang Maha Esa.Kita hanya meminjamnya yang boleh kita jadikan sebagai alat untuk menyara kehidupan kita di dunia.Matlamat seorang Muslim adalah untuk memiliki kekayaan supaya boleh kita gunakan kekayaan itu ke jalan Allah yang mana kekayaan sebenar adalah apabila kita dimasukkan ke dalam syurga dan menikmati segala kemewahan hidup di sana.Tapi kenapa ramai Muslim yang kaya namun makin jauh daripada Allah SWT.Ini adalah kerana Muslim tersebut tidak selalu mengingati mati.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment