Tuesday, 19 November 2013

Pelaburan Hartanah Dalam Islam

Assalamualaikum sahabat semua.

Saya mulakan posting saya pada kali ini dengan komen daripada isteri saya yang menyatakan saya menulis blog menggunakan bahasa baku. Tak berapa sempoi la pasal banyak blog yang dia baca dalam bahasa yang lebih ringkas. Apa yang saya boleh katakan, saya menulis bukan hanya untuk rakyat Malaysia. Blog saya boleh diakses dari seluruh dunia. Dengan menggunakan bahasa yang betul kita hanya perlu guna Google translator untuk paham apa isi kandungan dalam blog saya. Saya harap sahabat semua dapat memahami kenapa saya menggunakan bahasa penulisan. Korang baca novel pun dalam bahasa baku gak kan. Saya juga mungkin akan mula menulis dalam bahasa Inggeris memandangkan saya juga boleh membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik. Cuma cakap Inggeris saja broken.Hehe.

Dalam posting saya yang lepas mungkin sahabat semua memandang yang saya ini hanya fokus macam mana mahu menjadi kaya sahaja. Adakah saya telah hanyut dengan dunia sahaja. Tapi pernahkah sahabat semua terfikir yang Nabi Muhammad SAW juga pernah menyebut pasal pelaburan dalam satu daripada hadisnya yang femes.

"Bekerjalah Kamu Seperti Mana Kamu Akan Hidup Selama-lamanya, Dan Beribadatlah Kamu Seperti Mana Kamu Akan Mati Keesokkan Harinya."

Saya tak pasti siapa periwayatnya dan tolong betulkan saya jika saya salah. Pada kebanyakkan Muslim yang tak paham hadis ini, dia akan bekerja bersungguh-sungguh (work hard) untuk hidup kat dunia. Kerja kuat banting tulang, siang malam untuk hidup kat dunia. Pastu bila bab ibadah pula asyik duduk masjid saja buat qiamulai, baca Quran dan solat. Kiranya mereka yang ikut hadis ni takkan bermasyarakat dengan orang lain. Siang kerja kuat untuk dunia dan malam ibadat kuat untuk akhirat.

Pada pandangan saya, jika kita mempunyai pendidikan kewangan kita akan paham hadis ini sebegini. Allah menyuruh kita bekerja seperti kita akan hidup selamanya. Dalam hadis ni tak la pulak diberitahu yang umur kita takkan meningkat. Maknanya kalau kita diberi peluang untuk hidup selamanya di dunia kita tetap akan jadi tua. Siapa yang larat bekerja jika umur panjang tapi makin hari makin tua. Jawapan untuk hidup di dunia selama-lamanya dengan umur yang makin meningkat dan tanpa perlu bekerja ada dalam ilmu hartanah. Contoh yang saya boleh bagi adalah dengan mempunyai rangkaian rumah sewa. Selagi ada penyewa yang boleh membayar sewa tiap-tiap bulan kepada saya, anda letakkan saja berapa lama sahabat semua mahu saya hidup di dunia. Saya boleh hidup di dunia selamanya dengan umur yang makin meningkat. Ini adalah cara yang betul untuk amalkan 5D (Duduk Diam-Diam Dapat Duit). Dapatkah sahabat semua kaitkan hadis ini dengan pelaburan hartanah?



Saya suka kaitkan kata-kata 'Beribadatlah Kamu Seperti Mana Kamu Akan Mati Keesokkan Harinya." dengan satu lagi hadis Nabi Muhammad SAW yang juga cukup femes.

"Apabila terputusnya nyawa anak Adam maka terputuslah segala amal kebajikannya kecuali tiga perkara iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa dari anak yang soleh"

Bayangkan jika Allah mengutuskan malaikat mautnya untuk mencabut nyawa saya dan tiba-tiba malaikat maut memberitahu saya, aku akan cabut nyawa kamu esok pagi. Kamu ada 24 jam lagi untuk mati. Jika sahabat semua mendapat peluang ini apakah yang sahabat semua akan buat (sebenarnya tiada siapa pun yang akan dapat peluang ini kerana nyawa kita akan dicabut tanpa lengah walau sesaat pun). Jika saya mendapat peluang ini saya akan mengamalkan hadis di atas. Saya akan mencurahkan ilmu bermanfaat, bersedekah dengan kekayaaan yang saya miliki dan berwasiat kepada anak saya agar sentiasa mendoakan saya setiap hari. Dapatkah sahabat semua kaitkan kewujudan blog ini adalah satu usaha saya untuk menyebarkan ilmu yang bermanfaat sebagai persedian untuk saya mati esok hari?.


Sekarang dapatkah anda kaitkan 2 hadis ini dengan ilmu pasal pelaburan. Nabi telah pun mengajar kita tentang pelaburan di dunia dan di akhirat. Kenapakah kita tak mahu ikut dan masih lagi tidak mahu sedar yang kita ini jahil dalam ilmu pendidikan kewangan dan ilmu agama.

Ini adalah pandangan saya sendiri dan pandangan ini tidak saya perolehi dari ustaz-ustaz. Saya amat memerlukan pandangan dari sahabat semua berkenaan hal ini. Tapi apa yang pasti saya cuba untuk mengamalkan hadis Nabi Muhamad SAW ini dengan sebaiknya.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment