Friday, 6 December 2013

Hakikat Melaksanakan Solat

Assalamualaikum sahabat semua,




  • Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa
  • (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka
Surah Al Baqarah (Lembu Betina) ayat 2 hingga 3.


Yang dimaksudkan dengan melaksanakan solat adalah menunaikan solat dengan fardu-fardunya.Ad-Dahak berkata daripada Ibnu Abbas RA yang dimaksudkan dengan melaksanakan solat adalah sempurna rukuk, sujud, bacaan, kekhusyukkan dan sempurna mengadap kiblat.Qatadah berkata yang dimaksud melaksanakan solat adalah menjaga waktu-waktunya, wuduknya, rukuknya dan sujudnya. Muqatil Bin Hayyan berkata melaksanakan solat adalah menjaga waktu-waktunya, menyempurnakan wuduknya, membaca Al-Quran, tasyahud dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW, inilah yang dimaksudkan dengan melaksanakan atau mendirikan solat.

Ibnu Kasir berkata, "Dalam banyak ayat Al-Quran seringkali Allah SWT mengandingkan solat dan sedekah di dalamnya, hal itu tiada lain kerana solat semata-mata adalah hak Allah dan persembahan seorang hamba untuk beribadah kepadNya.Solat termasuk sebagai pengesaan dan sanjungan, doa dan tawakal seorang hamba padaNya.Manakala sedekah adalah persembahan kebaikkan terhadap sesama makhluk yang memberikan manfaat kepada mereka seboleh yang mungkin.

Orang yang lebih utama untuk menerima sedekah

1-Kaum kerabat
2-Keluarga
3-Hamba sahaya
4-Orang lain

Maksud solat dalam bahasa Arab adalah DOA

Hadis Nabawi

Daripada Muaz Bin Jabal r.a dia berkata "Saya pernah bersama dengan Rasulullah dalam suatu perjalanan. Suatu pagi saya berada dekat dengan baginda, saya berkata "Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang suatu amal yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkan diriku dari api neraka," Baginda menjawab, kamu telah menanyakan kepadaku tentang perkara yang besar, walaupun sesungguhnya ia merupakan perkara yang ringan bagi orang yang telah Allah jadikan ringan baginya, amalan itu adalah kamu beribadah kepada Allah dengan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan Haji di Baitullah".

Lantas Baginda bersabda, "Mahukah kamu aku tunjukkan pada pintu-pintu kebaikkan?Amalan ini adalah puasa, puasa adalah perisai, sedekah akan menghapuskan kesalahan sepertimana air memadamkan api, dan solat seorang lelaki pada pertengahan malam".

Lantas Baginda bersabda lagi ,"Mahukah kamu aku tunjukkan pokok agama, tiang dan puncaknya?"Aku menjawab ya Rasulullah."Baginda bersabda, "Pokok agama adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah jihad". 

Hadis riwayat oleh At-Tirmizi.

Sumber Tafsir Al-Quran daripada Karya Bestari.

Bersama-samalah kita mengambil iktibar dari tazkirah ringkas ini.

Wassalam.


No comments:

Post a Comment