Assalamualaikum sahabat semua,
Sesungguhnya Allah tidak malu menjadikan nyamuk atau yang lebih kecil daripada itu sebagai perumpamaan. Bagi orang-orang yang beriman, mereka mengetahui bahawa itu adalah kebenaran dari Tuhan. Tetapi mereka yang kafir berkata, "Apa maksud Allah membuat perumpamaan ini?" Menerusi (perumpamaan) itu, ramai orang yang dibiarkan-Nya sesat dan ramai juga yang diberi-Nya petunjuk. Namun tidak ada yang disesatkan-Nya dengan (perumpamaan) itu melainkan orang-orang yang fasik.
Kecerdikan yang mengkagumkan dimiliki oleh beberapa jenis haiwan seperti serigala, lalat dan labah-labah.Serigala ketika lapar dan tidak mendapat seekor buruan, ia berpura-pura mati. Ia mengembungkan perutnya sehingga burung menyangka ia telah mati lalu turun untuk memakan bangkainya. Ketika itulah ia akan menerkamnya.Perhatikan pula kecanggihan tipu daya labah-labah, dia membuat jaring sebagai perangkap mangsanya dan dia bersembunyi di tengah-tengahnya.Apabila ada nyamuk atau lalat yang terperangkap, ia akan melompat dan menghisap darahnya.Haiwan ini memakai cara memburu dengan memgunakan jaring dan perangkap.
Janganlah kamu meremehkan pengajaran dari sesuatu yang remeh, seperti biji sawi dan nyamuk. Sebabnya, satu makna yang berharga dapat diambil dari sesuatu yang remeh. Meremehkan pengajaran dari sesuatu yang hina adalah warisan dari orang yang akalnya tidak boleh menerima kenapa Allah SWT membuat perumpamaan dengan lalat, labah-labah, anjing dan keldai sehingga Allah SWT menurunkan surah Al-Baqarah 2:26 ini.
Alangkah banyaknya hikmah yang terkandung pada haiwan-haiwan yang mungkin kamu remehkan dan hinakan ini. Berapa banyak dalil yang terkandung di dalamnya yang menyatakan tentang Pencipta, dan juga mengenai kasih-sayang dan hikmah-Nya. Tanyalah kepada orang yang ingkar siapakah yang mengilhamkan kepada haiwan-haiwan itu untuk membuat tipu daya dan bertindak secara mengkagumkan untuk menangkap mangsa? Siapakah yang memberinya kecerdikan ini sebagai ganti dari kekuatan dan kemampuan yang tidak dipunyainya? Sehingga dengan kecerdikan itu ia dapat hidup walaupun tidak diberi kekuatan? Tiada yang melakukannnya selain Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemberitahu.
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Apabila seekor lalat hinggap pada tempat minum salah seorang dari kalian, hendaklah dia menengelamkannnya ke dalam minuman tersebut kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit, dan pada sayap yang lainnya terdapat penawarnya.'(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Penjelasan ini dikaitkan dengan hadis yang lain. Daripada Abu Sa'id Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda, " Pada salah satu sayap lalat itu mengandungi racun, dan yang satunya lagi mengandungi ubat. Kerana itu, apabila ia jatuh pada makanan, maka benamkanlah ia ke dalamnya kerana sesungguhnya ia jatuh mendahulukan racun dan mengakhirkan penawarnya" (Hadis Ibnu Majah)
Sumber tafsir Al-Quran Karya Bestari.
Bersama-samalah kita mengambil iktibar dari tazkirah ringkas ini
Wassalam.
No comments:
Post a Comment