Thursday, 19 December 2013

Pelaburan Yang Disyorkan Oleh Allah SWT Melalui Al-Quran

Assalamualaikum sahabat semua,

Untuk posting saya pada kali ini, saya ingin membawa sahabat semua menghayati satu ayat Al-Quran yang Allah terangkan bahawa manusia cinta kepada 6 benda ini di dunia dan berlumba-lumba untuk mendapatkannya.

3:14

Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertimbun dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah.Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik. Surah Al-Imran ayat 14

Betapa ramai umat Islam mengejar 6 perkara ini untuk kesenangan hidup di dunia. Kita bekerja siang malam untuk mengumpul 6 perkara ini dan ada juga yang hanyut dalam kehidupan dunia sehingga lupa kepada kehidupan akhirat yang lebih kekal abadi. Tetapi secara simboliknya, sebenarnya Allah telah pun mengajar kita untuk terlibat dengan 6 perkara ini sebagai pelaburan kita di dunia. Bagi yang buta hati, mereka akan mengumpul 6 perkara ini dan hanyut dengannya tanpa mengingati Allah. Tetapi bagi mereka yang celik hati, mereka akan menggunakan 6 perkara ini untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Pilihan di tangan kita. Kita lah yang akan menggunakan nikmat yang Allah beri untuk kebaikkan atau keburukkan.

1-Perempuan-perempuan atau isteri-isteri. Saya pernah mendengar satu kisah yang ustaz ceritakan dalam tazkirahnya berkenaan seorang sahabat yang hidupnya susah. Dia meminta nasihat dari Nabi Muhammad SAW dan Nabi menasihatkan dia supaya berkahwin. Dia pun berkahwin dengan seorang perempuan tetapi kehidupannya tidak juga berubah dan dia pun datang lagi untuk meminta nasihat dari Nabi Muhammad SAW. Nabi menasihatinya supaya berkahwin lagi.Dia pun berkahwin dengan perempuan yang ke 2.Hidupnya tidak juga berubah dan makin susah.Dia datang lagi meminta nasihat Nabi dan Nabi menyuruhnya berkahwin lagi.Dia pun berkahwin lagi dengan seorang perempuan yang ke 3 dan hidupnya juga tidak berubah malah semakin teruk kerana hendak menanggung 3 orang isteri.Dia datang lagi meminta nasihat dari Nabi dan Nabi Muhammad SAW menyuruhnya berkahwin untuk kali ke 4.Dia pun berkahwin la dengan seorang perempuan untuk kali ke 4 dan yang istimewanya perempuan yang ke 4 ini pandai menjahit baju dan dia mengajar 3 orang lagi madunya menjahit baju.Sekarang sahabat ini mempunyai 4 orang isteri yang pandai menjahit baju dan kehidupannya telah berubah dari hidup yang susah kepada kehidupan yang lebih senang hasil dari jualan pakaian.Bagi mereka yang suka berpoligami,  mereka akan memahami cerita ini sebagai satu sebab untuk berkata kepada isteri mereka bahawa poligami akan membawa banyak rezeki kepada kita. Tapi saya melihat cerita ini mempunyai unsur pelaburan di akhirat kerana lebih banyak isteri lebih banyak tanggungjawabnya. Jika kita berjaya mendidik isteri-isteri kita supaya menjadi isteri yang solehah berjayalah kita di akhirat.Tetapi jika keempat-empat isteri kita banyak ingkar arahan Allah, mereka lah yang akan mengheret kita ke dalam api neraka.


2-Anak-anak.Mempunyai anak yang ramai adalah satu pelaburan kita di dunia dan di akhirat.Jika kita bercadang untuk mengembangkan bisnes kita kepada beberapa cawangan, anak kita adalah seorang manager yang paling layak untuk menjaga bisnes kita.Mereka juga boleh mendoakan kita apabila kita berada dalam alam barzakh.Mempunyai anak yang ramai dan kesemuanya adalah anak yang soleh boleh membuatkan diri kita benar-benar bahagia di dunia dan di akhirat.Tetapi jika kita memberi didikan yang salah dan mereka banyak membuat maksiat, mereka jugalah yang akan mengheret kita ke neraka Allah.


3-Emas dan perak adalah satu logam yang amat berharga di dunia.Tiada siapa pun yang dapat meniru atau mencipta logam ini. Walaupun saintis yang paling bijak cuba untuk menhasilkan logam ini melalui proses kimia tetapi tidak berjaya.Jika kita mempunyai emas dan perak yang banyak kita adalah seorang yang kaya di dunia dan jika kita membayar zakat melalui pemilikannya kita juga akan berjaya di akhirat.Tetapi jika kita hanyut dengan pengumpulan 2 logam ni tanpa berzakat, logam inilah juga yang akan mengheret kita ke dalam api neraka Allah.


4-Kuda pilihan.Ada juga saya baca yang mentafsir sebagai kenderaan. Memang benar kenderaan sekarang ini adalah satu benda yang cukup kita idamkan.Ramai yang berlumba-lumba untuk memakai kenderaan yang paling canggih dan mewah.Tak kurang juga ramai yang terlibat dengan pelaburan yang melibatkan kenderaan seperti lori,bas,treler,kapal,kapal terbang dan sebagainya.Mempunyai kenderaan tidak perlu membayar zakat tetapi mempunyai perniagaan yang melibatkan kenderaan perlu membayar zakat.Bergantung kepada kita untuk menggunakan kenderaan sebagai alat untuk kita bermegah,riak dan sombong atau berniaga dan membayar zakat sebagai pelaburan kita di akhirat.


5-Haiwan ternakan.Haiwan ternakan juga adalah satu pelaburan yang boleh membawa kejayaan di dunia.Kita hanya perlu bermula dengan sepasang haiwan ternakan sahaja.Dengan berkat dari Allah dan ilmu kita tentang ternakan, ternakan ini akan bertambah sehingga di luar kemampuan kita untuk menjaganya.Pelaburan dalam bidang penternakan juga memerlukan kita membayar zakat.Terpulang kepada kita juga mahu hanyut menjaga ternakan sampai tak solat atau menggunakan ternakan kita untuk bersedekah dan membuat amal jariah.


6-Sawah.Ada juga tafsir yang mengatakan ladang dan kebun.Seperti yang kita tahu mempunyai sawah, ladang dan kebun juga adalah satu bentuk pelaburan yang boleh membawa kejayaan kepada kita.Hasil dari pertanian ini juga memerlukan kita membayar zakat.Terpulanglah kepda kita untuk membawa tanah yang kita ada kepada mendekati Allah atau menjauhkan kita dari Allah.

Kesimpulannya, mereka yang ingin berjaya di dunia perlu melibatkan diri dengan 6 perkara yang Allah telah firmankan kepada umat Islam sebagai panduan ini.Allah telah menjamin bahawa memiliki 6 perkara ini akan membawa kesenangan hidup di dunia.Tetapi Allah juga memberi peringatan kepada kita bahawa kita perlu membayar zakat dan menggunakan 6 perkara ini untuk kebaikkan dan membuat amal jariah melaluinya.

Saya ingin juga membawa sahabat semua berfikir tentang ayat ini yang membawa 2 maksud kepada kita iaitu positif dan negatif. Terpulang kepada sahabat semua nak pakai maksud yang negatif atau yang positif. Untuk mereka yang memahami ayat ini secara negatif, mereka akan mengsyorkan kepada kita supaya menjauhi 6 perkara ini kerana 6 perkara ini hanyalah kesenangan hidup di dunia yang mempedayakan.

6:32

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan gurau senda. Sedangkan akhirat itu, sesungguhnya lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mengerti?" (Surah Al-An'Am ayat 32)

29:64

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan kehidupan dunia ini hanyalah gurau senda dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, jika mereka mengetahui." (Surah Al-Ankabut ayat 64)
 47:36

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan ujian. Dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta hartamu." (Surah Muhammad ayat 36)

Berdasarkan 3 ayat Al-Quran di atas, saya mendapati ada para ilmuan Islam sekarang yang menolak dunia dan hanya menumpukan usaha ke arah kehidupan akhirat. Mungkin dari ayat-ayat ini juga kita diajar supaya lebih cintakan akhirat dari dunia kerana hidup di dunia hanyalah permainan, ujian dan senda-gurau. Dengan itu juga ramai yang beranggapan Islam mengajak umatnya supaya mundur dan hidup dalam kemiskinan kerana cintakan akhirat lebih baik dari cintakan dunia.Saya tidak pasti kenapa boleh bertumbuhnya pemikiran yang sebegini sedangkan pada zaman Rasulullah dan sahabat Islam berkembang dengan membawa syiar Islam dan kepesatan ilmu dan teknologi.Betapa ramainya ilmuan Islam yang terkenal dapat dilahirkan melalui pemahaman mereka yang mendalam dalam pengajian Al-Quran.Mereka bukan sahaja ilmuan dalam bidang agama malah ilmuan besar dalam bidang keduniaan seperti matematik,kedoktoran,fizik,astrologi dan sebagainya.Walau bagaimanapun, mari kita berfikir

Sebenarnya ayat ini ditujukan kepada siapa? 
Siapakah yang terlalu asyik dengan dunia sehingga lupa kepada akhirat?

Pada pendapat saya, ayat ini ditujukan kepada mereka yang masih juga tidak mahu memeluk agama Islam dan mereka yang lalai dengan keduniaan.Saya pasti ayat ini tidak ditujukan kepada seorang Islam yang kaya raya yang memiliki 6 perkara di atas dan masih tunduk patuh kepada perintah Ilahi.Saya mengajak sahabat semua untuk menjadi seorang yang kaya di dunia supaya kita boleh gunakan kekayaan kita untuk menegakkan syiar Islam tetapi jika sahabat semua menjadi kaya dan semakin engkar dengan perintah Allah sesungguhnya azab Allah amatlah pedih untuk golongan yang sebegini.

Wassalam.

1 comment: